PANDU UJI: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G di Melbourne – bakal dilancarkan 8 Dis ini, adakah ia berbaloi?

Mazda CX-3 12

The English version of this story: DRIVEN: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G in Melbourne, was published on 26 September 2015.

Sejak lima tahun kebelakangan ini, pasaran crossover segmen-B semakin menarik perhatian. Pengeluar telah lama memberikan petanda bahawa dengan gabungan supermini dan SUV, hatchback yang lebih tahan lasak ini akan menjadikan jentera sebegini seakan produk yang cukup sempurna.

Mengimbas sejarah dahulu pada ketika Nissan Juke dilancarkan pada tahun 2010, para pengkritik tidak dapat menerima pengayaan yang ekstrovert, tetapi pembeli menyukainya dan ternyata jualan yang diperoleh jauh mengatasi jangkaan Nissan sendiri.

Sejak itu, beberapa pesaing mula mengambil langkah yang sama, terutamanya di Eropah, di mana permintaannya begitu mendadak dalam masa yang agak singkat. Tetapi situasi di Malaysia sangat berbeza. Di sini, Juke tidak pernah dipasarkan, walau bagaimana pun beberapa pesaingnya termasuk Peugeot 2008 dan Ford EcoSport memasuki pasaran tempatan, sayangnya kedua-duanya tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Mazda CX-3 34

Tetapi selepas memandu uji Honda HR-V pada awal tahun ini, kami mendapati bahawa ia memberikan praktikaliti yang mengagumkan dan rasa pemanduan yang memberangsangkan. Malah kami menjangkakan ia bakal memperoleh sambutan yang memberangsangkan apabila memasuki pasaran kita. Dan ternyata, ia menjadi kenyataan apabila HR-V berjaya memperoleh jualan sebanyak 16,115 unit sejak ia dilancarkan bulan Februari lalu, dengan tarikh menunggu selepas tempahan sehingga enam bulan pada satu ketika.

Hari ini, semakin banyak syarikat pengeluar kenderaan saling berlumba-lumba untuk bersaing dengan Honda, menghasilkan SUV dari kelas yang lebih besar (termasuk Mazda CX-5 GL dan Kia Sportage 2WD) dan juga dari kelas yang sama (seperti Renault Captur yang merupakan crossover terlaris di Eropah).

Namun masih tiada yang mampu mencabar kedudukan HR-V setakat ini, melainkan Mazda CX-3 baharu yang mempunyai senarai spesifikasi yang banyak serta mungkin boleh dianggap sebagai pencabar terdekat. Tetapi adakah ia benar-benar mampu mengugat kedudukan Honda? Kami telah memandu ujinya di Melbourne untuk mengetahui adakah ia menepati citarasa penggemar crossover di Malaysia.

Sekali pandang, CX-3 memiliki rekaan seperti yang didambakan. Seperti model-model terkini Mazda, ia turut menerima sentuhan bahasa rekaan Kodo tetapi mempunyai sedikit sentuhan berbeza untuk menampakkan kelainannya. Garisannya jelas kelihatan pada beberapa sudut, khususnya pada bahagian lampu utama trapezoid yang kelihatan sedikit berbeza dari model Mazda yang lain.

Lampu ini memberikan fokus yang ‘lebih tajam’, ditambah pula dengan lampu utama dari jenis projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED yang memberikan CX-3 gaya yang lebih mantap berbanding dengan reflektor halogen seperti Mazda 2 bagi pasaran Malaysia. Ia juga dipadankan dengan gril hadapan lima-jejari dengan bampar yang turut digandingkan bersama lampu kabus LED.

Garisan tajam turut merentangi daripada bahagian lampu utama hingga ke gerbang roda serta menurun ke bawah sedikit ke bahagian rusuk kenderaan, membuatkan CX-3 tampil lebih maskulin. Malah nilai estetika turut ditampilkan menerusi pemilihan rim bersaiz 18-inci dengan rekaan lima-jejari bersama dua-tona.

Mazda CX-3 3

Padanan tiang-D pula telah menimbulkan penggayaan umpama memiliki “bumbung terapung”, membezakannya daripada CX-5. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan lampu yang lebih nipis berbentuk badam (termasuk padanan LED untuk pasaran kita) dengan plat nombor yang sedikit rendah dan kepingan plastik berwarna hitam di sekitarnya.

Untuk pasaran global, CX-3 ini turut ditampilkan dengan pelbagai pilihan warna termasuk Dynamic Blue Mica serta warna baharu Ceramic Metallic. Walau bagaimana pun, warna-warna ini tidak akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Hanya warna biasa termasuk warna signatur Mazda iaitu Soul Red, Deep Crystal Blue Pearl, Meteor Grey Mica dan Jet Black Mica sahaja yang ditawarkan.

Bahagian kabinnya juga mirip pada rekaan dalaman Mazda 2 termasuklah bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Ia turut dipadankan dengan roda stereng tiga-jejari dengan corong penghawa dingin berkembar. Sementara pada tempat duduk penumpang pula dilengkapi dengan barisan corong penghawa dingin melintang.

Mazda CX-3 7

Mungkin segelintir orang tidak menyukai persamaan ini (ruang dalaman HR-V memiliki imej tersendiri yang memang tidak mirip dengan City dan Jazz), tetapi rekaan kabin bagi Mazda 2 mempunyai kekemasan yang lebih premium seperti bentangan kulit pada bahagian papan pemuka. Jadi kami melihat tiada masalah dengan persamaan ini.

Walau bagaimana pun, pereka dalamannya telah memberikan sedikit sentuhan istimewa buat CX-3 ini. Ia termasuklah sentuhan baharu seperti kekemasan merah berkilat pada lingkaran corong udara dan sedikit sentuhan kulit dari rona yang sama pada bahagian perehat tangan. Bermaz telah mengesahkan elemen ini juga akan ada pada CX-3 di Malaysia.

Akan tetapi, kekemasan kulit berwarna putih dengan Alcantara pada panel tengah serta piping kontras berwarna merah yang sangat menarik tidak akan ditawarkan di pasaran kita. Bermaz mungkin berasa pembeli Malaysia tidak begitu ‘menerima’ kekemasan upholstery berwarna cerah ini kerana berpendapat ia susah hendak dijaga, jadi ia turut menawarkan balutan kulit berwarna hitam sebagai ganti.

Mazda CX-3 9

Selain itu, CX-3 turut mewarisi satu lagi jejak langkah Mazda 2 iaitu ia memiliki kekangan ruang dalaman. Walau bagaimana pun terdapat sedikit ruang kaki pada bahagian tempat duduk belakang berbanding dengan Mazda 2, tetapi masih tidak begitu luas. Dengan garisan bumbung yang agak landai membuatkan ruang kepala juga sedikit terhad. Namun berbeza dengan pesaingnya iaitu HR-V yang ternyata memiliki ruang dalaman yang lebih luas.

CX-3 ini juga memiliki ruang kargo berkapasiti 350 liter dan mampu mencapai 1,260 liter sekiranya tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara nisbah 60:40 dibaringkan sepenuhnya. Keluasannya ternyata ‘bolehlah tahan’ tetapi masih tidak dapat menandingi keluasan ruang kargo HR-V iaitu 437 liter. Tetapi jika tempat duduk belakang HRV dibaringkan sepenuhnya, ia hanya berkapasiti 1,032 liter sahaja, bermakna CX-3 lebih luas untuk bahagian tersebut.

Tetapi walau pun CX-3 mempunyai kedudukan lantai yang mampu meningkatkan ruang bagasi, namun ia masih tidak mampu menandingi HR-V yang memiliki tempat duduk lebih praktikal iaitu Magic Seat yang boleh memberikan ruangan yang lebih termasuk jika ingin meletakkan barangan yang lebih tinggi.

Mazda CX-3 13

Malah untuk membuka ruang but juga antara isu apabila ingin meletakkan barangan, lingkaran pintunya yang sedikit tinggi dan membuatkan proses meletakkan barangan sedikit sukar berbanding HR-V.

Memiliki ukuran 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, CX-5 ini 19 mm lebih pendek, 7 mm lebih sempit dan 55 mm lebih rendah berbanding HR-V. Malah jarak rodanya pula 2,570 mm iaitu 40 mm lebih pendek berbanding HR-V. Berbanding Mazda 2, ia 215 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 50 mm lebih tinggi serta mempunyai jarak roda yang sama.

Diimport dari Jepun, CX-3 hanya boleh didapati dengan satu varian sahaja iaitu 2.0 liter pacuan dua roda. Sebelum ini, harga jangkaannya adalah RM120k, namun ia telah berubah iaitu antara RM130k-RM135k, iaitu lebih tinggi berbanding model spesifikasi tertinggi HR-V 1.8 V iaitu RM118,299. Secara ironinya, Mazda CX-5 GL iaitu varian paling rendah berharga RM125,766, lebih murah daripada adiknya sendiri.

Oleh sebab itu, Bermaz mengambil keputusan untuk membawa masuk CX-3 dengan spesifikasi yang hampir lengkap. Selain pencahayaan LED, roda 18-inci dan upholstery material kulit, unit untuk pasaran Malaysia juga dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci, system hiburan MZD Connect dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci dan tombol Commander Control, kamera undur, penghawa dingin automatik, pedal penukar gear dan bumbung matahari.

Bagi elemen keselamatan, sayangnya ia tidak akan dilengkapi dengan i-ActivSense iaitu keselamatan aktif, yang merangkumi Sokongan Brek Pintar Bandar (SCBS), Amaran Penukaran Lorong (LDW), Pemantauan Titik Buta, Kepekaan Lintasan Trafik Belakang dan Kawalan Lampu Tinggi. Walau bagaimana pun, varian pasaran tempatan masih menerima enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan cagak Isofix, sesuai dengan harga yang ditawarkan.

Setakat ini tiada kenyataan rasmi untuk penggunaan bahan apinya bagi varian pasaran Malaysia. Tetapi untuk varian versi Australia ini, dianggarkan 6.1 liter bagi setiap 100 km.

Satu lagi, CX-3 versi Malaysia juga tidak akan dipadankan dengan sistem brek regeneratif i-ELOOP, tetapi menampilkan enjin automatik i-stop.

Seperti model-model terbaharu Mazda yang dijual di Malaysia, CX-3 ini juga menampilkan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan, sama seperti Mazda 2. Ia turut menampilkan butang pemilihan mod pemanduan untuk mendapatkan kuasa lebih responsif termasuk mod Sport.

Selain memiliki paras rupa yang hensem, CX-3 dibina dengan SkyActiv-Body, sama seperti Mazda 2, dengan struktur bingkai yang lurus, struktur lingkaran di sekeliling badan, dan ketebalan optimum pada kepingan keluli berketegangan tinggi untuk mengurangkan berat badan di samping mengekalkan tahap yang tinggi bagi ketegarannya.

Mazda CX-3 31

Buat setakat ini, Bermaz masih belum mendedahkan beratnya secara rasmi, namun bagi pasaran Australia, ia seberat 1,226 kg dengan penjana kuasa yang sama dan spesifikasi 2WD. Ia hampir menyamai berat HR-V iaitu 1,249 kg tetapi Mazda memiliki enjin yang lebih besar.

CX-3 juga dipadankan dengan topang MacPherson pada bahagian hadapan dan palang torsion untuk suspensi belakang – model AWD sedikit berbeza, dengan palang torsion yang melengkung ke atas untuk memberi ruang kepada propshaft. Mazda turut memberi penambah baikan berbanding Mazda 2 termasuk kepingan pada palang torsion dinaikkan sedikit bagi mengurangkan impak hentakan.

Laluan uji pandu adalah seperti berikut – bermula dari kota raya Melbourne, kami melalui lebuhraya yang berjarak pendek, sebelum memasuki laluan bandar hingga ke Lembah Yarra. Kemudian, CX-3 diuji dengan laluan berliku sebelum memasuki lebuhraya semula untuk memasuki pusat bandar.

Mazda CX-3 36

Pemanduan CX-3 tidak begitu dirasai lebih cepat berbanding HR-V, walaupun mempunyai lebihan enam kuasa kuda. Tetapi Mazda memiliki kerahan kuasa yang lebih memuaskan, berbanding Honda yang sedikit mengambil masa untuk dipecut selepas kelajuannya dinaikkan sewaktu merentasi lebuhraya.

Transmisi automatik CX-3 lebih bercenderung pada nisbah yang lebih tinggi (untuk mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi) dan tindakan balas juga tidak begitu pantas. Hanya selepas memberikan lebih tekanan pada pedal pendikit, barulah tindak balas berlaku dengan lebih pantas.

Apa pun, anda boleh memilih mod manual untuk menukar gear sendiri, sama ada menggunakan pedal penukar gear di belakang roda stereng (tidak terdapat pada unit pandu uji) atau pun penukaran gear dengan tuil gear secara ‘naik-turun’, membuatkan ia lebih responsif.

Mazda CX-3 41

Walau bagaiamana pun, bagi pemanduan yang lebih bersemangat, penggunaan mod Sport lebih ditagih. Ia seolah-olah memberikan kuasa transmisi berganda – dalam mod ini, ia bergantung pada anjakan gear hingga ke redline dan downshift sekiranya anda menekan brek. Ia sangat diperlukan terutamanya ketika melalui jalan yang anda tidak biasa.

Satu-satunya isu yang dihadapi bagi mod Sport ini ialah ia menjadi agak agresif apabila memandunya sehari-hari dalam keadaan normal dan mungkin kotak gearnya perlu dilaraskan, seperti pelarasan Comfort yang ada pada model baharu BMW yang berada di pertengahan antara mod Sport dan Eco Pro. Sekurang-kurangnya enjinnya sendiri cukup responsif dan bertenaga. Ia juga menghasilkan bunyi yang memuaskan walau pun enjinnya gigih dikerah.

Bercakap mengenai bunyi, CX-3 memantulkan sedikit bunyi angin apabila berada dalam kelajuan tinggi, tetapi bunyi yang dihasilkan oleh tayar 215/50 Toyo Proxes R40 jauh lebih kuat, walau pun pada permukaan rata seperti di lebuhraya Australia ini. Mungkin ia disebabkan faktor padanan tayar besar.

Mazda CX-3 40

Walau bagaimana pun, roda 18-inci ini tidak menggambarkan rasa kurang selesa, sebaliknya rasa redaman agak terasa apabila melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Berbanding HR-V yang dipadankan dengan roda yang sama besar tetapi rasa hentakannya lebih keras.

Melalui permukaan jalan yang pelbagai sifat di sepanjang Lembah Yarra, pemanduan CX-3 masih meyakinkan. Ia memiliki sifat yang berubah-ubah mengikut cara pengendalian, terima kasih kepada daya redaman yang hebat. Melalui selekoh memang agak sempurna biar pun sedikit terasa olengan badan, namun casis berjaya mengawal pergerakan badan mengembalikan kestabilannya.

Selain itu, ia juga memiliki kuasa cengkaman yang jitu – hanya sedikit understeer dapat dirasai apabila dipandu laju. Stereng berkuasa elektrik begitu cekap bertindak tetapi terasa sedikit keras. Ini memang lumrah kebanyakan sistem masa kini. Namun sekurang-kurangnya cakera brek bagi keempat-empat roda memang mantap, tegar, progeresif serta mampu bertindak cemerlang walau pun secara mendadak.

Mazda CX-3 39

Secara keseluruhannya, Mazda CX-3 ini memiliki pakej yang hebat, ia merupakan kenderaan yang seronok dipandu, dan mempunyai gaya yang menawan. Walau bagaimana pun, ia kelihatan tidak begitu sepadan dengan prospek harga yang ditawarkan. Kerana kebanyakan pengguna mahukan kenderaan yang praktikal dengan harga yang berpatutan serta mampu dijadikan pengangkutan harian yang cukup selesa buat seisi keluarga, seperti HR-V.

Walau bagaimana pun, penggemar kenderaan Mazda sememangnya tidak menjadikan perkara ini sebagai isu (walau pun penurunan harga Mazda 3 CKD begitu mendapat sambutan). Biarpun kekangan bahagian kabin menjadi isu utama seperti dalam Mazda 2, 3 dan 6, tidak seperti model pesaingnya iaitu Honda Jazz, Honda Civic/Toyota Corrola dan Honda Accord/Toyota Camry/Nissan Teana, namun pasti ada yang akan membelinya.

Mazda CX-3 38

Bagi kami, sesiapa yang membeli CX-3 ini pastinya tidak menjadikan isu praktikaliti sebagai alasan atau melihat akan adanya kekurangan lain. Tetapi mereka mahukan sesuatu yang lebih memuaskan dan Mazda ada menawarkannya.

Apa pun, secara konklusinya, CX-3 merupakan sebuah jentera yang hebat dan selayaknya diletakkan sebagai pesaing terdekat HR-V, namun ia bergantung pada harga yang ditawarkan. Tunggulah pelancarannya pada 8 Disember nanti untuk melihat perkembangan selanjutnya.

Artikel ini diterjemah daripada ulasan ringkas Jonathan Lee, bertarikh 26 September 2015.


GALERI: Mazda CX-3 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • jim labu on Nov 24, 2015 at 7:23 pm

    Tidak.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 11
    • Moving Forward on Nov 24, 2015 at 11:55 pm

      At first I I feel awkward. But I continue reading and surprisingly I can finish it without much hassle. A link is also provided for those prefer reading the original English article.

      Sometimes I feel proud for being able to communicate with businessmen in Indonesia with Bahasa. Likewise, doors of opportunity also open for me to close deal with people from People Republic of China and Taiwan. Not to mention good command of English can lead you to most parts of the world. An multi lingual candidate always has the advantage in the ever competitive market.

      Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 2
  • bunny on Nov 24, 2015 at 9:48 pm

    Wowww a review in bahasa.. way to go paultan! Memartabatkan bahasa melayu.

    Like or Dislike: Thumb up 19 Thumb down 2
  • Mmg terbaik. Bila nak masuk Msia nih?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • Nissan on Nov 24, 2015 at 10:08 pm

    Jaguah Kg? U care about other readers of ur block? Sarawakian had chosen E as their national language yet u chose to moving back!

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 30
    • kzm (Member) on Nov 24, 2015 at 11:06 pm

      It is bolehland national language. Nothing wrong there..

      Like or Dislike: Thumb up 8 Thumb down 2
    • Nissansohai on Nov 24, 2015 at 11:36 pm

      Dafuq is your problem? There’s also an English version of this story clearly linked there http://paultan.org/2015/09/26/driven-mazda-cx-3-2-0l-skyactiv-g-in-melbourne/

      Like or Dislike: Thumb up 7 Thumb down 1
  • Hvannees on Nov 24, 2015 at 11:19 pm

    Pandu uji dalam bahasa Malaysia/Melayu. Sebelum ni dalam laman web paultan versi BM. Namun tak salah jika beberapa artikel dimuatkan dalam laman paultan.org. Tahniah team paultan. Pilihan alternatif utk pembaca paultan yg berbilang bangsa.

    Like or Dislike: Thumb up 13 Thumb down 3
  • sham serena on Jan 12, 2016 at 6:01 pm

    setuju sgt2….. paultan.org versi BM
    terus terang kata… saya mmg tak pandai BI…
    tapi minat terhadap web paultan.org mmg dari dulu lagi… rasanya dah bertahun ikut… tapi sekadar tengok gmbr dan faham sikit2 saje…. hihi…..

    TAHNIAH TEAM PAULTAN.ORG !!!

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required