Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dilancarkan – RM329k

GLC 250 4MATIC (5)

Sebuah lagi SUV baharu dari Mercedes-Benz telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia yang pastinya mampu menambat hati golongan kelas atasan. Mercedes-Benz GLC 250 4Matic telah pun dilancarkan semalam di KLPAC, dengan tag harga RM328,888 (bersama GST dan tanpa insurans).

Tampil dengan falsafah reka bentuk yang lebih sensual dan memiliki kemodenan estetika pada sudut padangan klask yang lasak, GLC 250 4Matic turut mempunyai sedikit sentuhan gaya model seniornya, G-Class, tetapi lebih berciri moden.

Daripada sudut pandangan hadapan, karakteristiknya juga terserlah dengan gril radiator tiga-dimensi bersama satu ram berkembar serta menempatkan logo jenama ini pada garisan rekaan baharu. Malah padanan lampu hadapan LED bersama Sistem Pencahayaan Pintar turut memberikan pandangan yang cukup mantap buat SUV ini. Bampar hadapan dengan ‘underguard’ bersepadu turut didatangkan dengan ciri tambahan bagi versi off-road dengan satu sudut tuju yang lebih besar serta ditambah dengan versi AMG yang bergaya.

Bagi profil sisinya pula, ia kelihatan umpama model coupe namun masih mengekalkan imej yang elegan. Garisan sisinya lebih landai dan mantap.

Pada bahagian belakangnya pula, terserlah imej penuh maskular dengan garisan kontur yang berorientasi melintang dan padanan lampu belakang LED. Ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang bagi memberikan imbasan penuh sporty.

GLC 250 4MATIC (2)

Menjengah bahagian kabinnya, rekaan penuh elegan merajai segenap ruang. Malah rekaannya juga telah dipertingkatkan dengan gaya yang lebih moden dan mewah. Padanan material berkualiti tinggi yang memberikan ilham gaya mewah turut dapat dilihat menerusi kekemasan kayuan pada papan pemuka serta pilihan kulit nappa. Bumbung matahari yang boleh dibuka turut menjelmakan imej elegan dan serba mewah itu.

Rekaan utama pastinya lebih tertumpu pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem hiburan Audio 20 CD, skrin paparan bersaiz tujuh-inci, sistem navigasi Garmin Map Pilot, sistem Burmester Surround Sound dengan 13 speaker dan kamera belakang 360-darjah.

GLC 250 4MATIC (35)

Walau pun kelihatan agak kecil daripada pandangan luaran, namun ruang kabin dan tempat penyimpanan barang di bahagian belakang amat memuaskan. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 40/20/40 dengan menawarkan ruang kargo yang lebih luas iaitu mencecah 1,600 liter iaitu lebih 500 liter dalam keadaan normal. Pintu kargo juga boleh dibuka secara automatik dengan sistem ‘HANDS FREE ACCESS’.

Bagi aspek keselamatan, SUV ini turut dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus, Crosswind Assist, Attention Assist dan Active Parking Assistant sebagai standard.

GLC 250 4Matic ini dipadankan dengan enjin 2.0-liter dengan hamburan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 350 Nm antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

Padanan enjin dan transmisi ini membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya tercatat sekitar 6.5 hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km (menurut ujian European NEDC).

Terdapat lima mod permanduan bagi Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual dengan tombol kawalannya terletak pada konsol tengah. Manakala Pakej Kejuruteraan Off-Road juga ditampilkan termasuk fungsi Aturan Kelajuan Menurun Bukit, off-road, dan laluan licin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required