Ferrari GTC4 Lusso pengganti FF – kuasa 680 hp

Ferrari_GTC4Lusso_PTBM_2

Maranello telah pun mengumumkan Ferrari FF tidak akan disambung, sebaliknya bakal digantikan oleh GTC4 Lusso dengan ledakan kuasa yang lebih hebat.

Kalau nak diikutkan, GTC4 Lusso ini sebenarnya model facelift bagi FF tetapi telah diterapkan rekaan yang lebih evolusi dengan perubahan kosmetik yang sedikit berbeza, serta namanya turut diubah. Rekaannya juga banyak perubahan termasuk bahagian bampar hadapan yang direka semula dengan pengambilan udara terbina dalam, bersama corong udara belakang, spoiler yang terpasang di bumbung dan lampu belakang yang diperkemaskinikan. Malah Ferrari turut menampilkan peresap belakang dan berkata perubahan pada bahagian badannya mampu membantu meningkatkan lagi aerodinamik yang lebih efisien.

Menjengah bahagian kabinnya, GTC4 Lusso menampilkan sistem hiburan terkini dengan skrin paparan 10.25-inci dan juga roda stereng yang lebih kecil untuk menempatkan beg udara yang lebih kompak. Malah butang kawalan baharu turut melengkapi elemennya.

Paling menguja, GTC4 Lusso ini dijanakan oleh enjin 6.2-liter aspirasi-natural V12 yang diangkat dari model FF tetapi dipertingkatkan lagi kuasanya menjadi 680 hp dan tork 697 Nm (berbanding 651 hp/683 Nm pada FF). Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat, namun kelajuan maksimumnya masih kekal pada 335 km/h.

Selain itu, GTC4 Lusso turut menampilkan Slip Side Control yang bekerjasama dengan peredam dan kawalan perbezaan elektronik. Menurut Ferrari, teknologi ini membolehkan jentera ini memiliki pengendalian yang lebih bertenaga dengan kuasa tork tambahan termasuk ketika dipandu pada “pemukaan jalan yang dilitupi salji, basah atau kurang cengkaman”.

Ferrari GTC4 Lusso ini dijangkakan bakal didedahkan pada umum pada Mac ini di Geneva dan kebarangkalian harganya juga lebih mahal berbenading FF kerana menampilkan elemen yang diperkemaskinikan dan dinaiktaraf.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required