Lotus Elise Cup 250 – paling laju, 200 unit setahun

lotus-elise-cup-250-01

Ringan dan paling laju. Itulah yang dipertaruhkan buat model baharu Lotus Elise Cup 250. Dengan penyingkiran berat sebanyak 21 kg dari model Elise terdahulu, kini Elise Cup 250 menambah lagi kuasanya sebanyak 26 hp. Kini ia hanya seberat 931 kg, Elise Cup 250 boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 248 km/j dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 4.3 saat. Secara tidak langsung merekodkan Elise Cup 250 sebagai model Elise yang paling laju.

Model pengganti bagi Elise Cup 220, Cup 250 ini telah mengurangkan berat bateri lithium-ion sebanyak 10 kg, tempat duduk gentian karbon hanya seberat 6 kg dan rim aloi pula dikurangkan sebanyak 1.5 kg. Manakala Pek Karbon Aero (pemisah hadapan, sayap belakang, peresap belakang dan penambahan lantai sisi) telah dikurangkan beratnya sebanyak 10 kg. Jentera ini juga merupakan roadster pertama sebagai model standard dengan hard top sebagai pilihan.

Dijanakan oleh enjin 1.8 liter supercharged bagi versi baharu, Elise Cup 250 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 243 hp pada 7,200 rpm dan tork 250 Nm antara 3,500 dan 5,500 rpm. Jentera ini pernah dipandu uji di trek Hethel dan mencatatkan masa 1 minit 34 saat, iaitu empat saat lebih pantas berbanding rekod yang pernah dicatatkan oleh Cup 220, sekali gus menjadikan Elise yang paling laju dalam barisannya. Apatah lagi ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, memantapkan lagi prestasinya.

lotus-elise-cup-250-02

Jentera ini turut dilengkapi dengan Pengurusan Prestasi Dinamik Lotus (DPM) yang menyalurkan mod Sport bagi menambahkan respons pendikit, mengurangkan cengkaman dan mengelakkan understeer serta membenarkan kawalan dipertingkatkan selepas sistem ini beroperasi. Ia turut ditampilkan dengan tayar hadapan 195/50 R16 (belakang 225/45 R17) bagi memberikan kawalan yang lebih tajam dan responsif, menurut Lotus.

Cup 250 ini juga turut menggunakan suspensi ala sukan permotoran dan komponen brek dari Cup 220, termasuk palang anti-olengan hadapan boleh laras, peredam sport Bilstein dan lingkaran gegelung Eibach. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kaliper hadapan omboh-berkembar AP Racing dan omboh-tunggal Brembo bagi sistem ABS yang ditala khas dan tayar Yokohama AO48.

Pada bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan suiz yang lebih besar bagi DPM, lampu utama dan lampu kabus belakang, yang dipasang bersama butang penghidup enjin baharu. Malah turut menampilkan Alcantara berwarna merah atau hitam sebagai standard, dengan Pek Kulit.

Elise Cup 250 ini bakal dijual di pasaran utama kecuali Amerika Utara mulai April ini. Produksi untuk peringkat global terhad hanya 200 unit setahun sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required