Honda Civic Hatchback membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show – bakal dilancar pada 2017

71492_Civic_Hatchback_Prototype-e1456816419477_BM

Setelah diintip dan imej awalannya turut bocor, prototaip Honda Civic Hatchback akhirnya membuat penampilan sulung di Geneva Motor Show 2016. Hatchback serba baharu yang dibina dari platform Civic generasi ke-10 ini bakal menggantikan Civic Hatchback terdahulu yang kini masih dijual di pasaran Eropah.

Menurut Honda, Civic Hatchback serba baharu ini berdimensi 4,600 mm panjang 1,800 mm lebar dan 1,450 mm tinggi. Ini menjadikan Civic Hatchback generasi baharu ini 130 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, dan 200 mm lebih rendah berbanding model sebelum ini. Tidak dinyatakan dimensi jarak roda kereta ini tetapi ia semestinya sama panjang dengan jarak roda Civic Sedan generasi ke-10 yang dipasarkan di Amerika Syarikat.

Dimensi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih segar untuk model tersebut. Berkongsi sebahagian rekaan dengan Civic Sedan generasi ke-10, rekaan pada bahagian muka kereta ini menampilkan gaya yang lebih agresif berbanding model sebelumnya. Rekaan yang mewah pada lampu hadapan LED disertakan lampu nyalaan siang seiras rekaan Honda Accord 2016 facelift turut menguatkan lagi imej agresif kereta ini.

Garisan dua karekter jelas kelihatan pada bahagian sisi badan kereta ini. Garisan pertama bermula dari liang kemasukan yang besar pada sisi bampar hadapan, bersambung ke ruang roda hadapan dan akhirnya bertemu dengan permulaan garisan kedua. Garisan kedua pula mengalir merentasi kedua-dua pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang berbentuk-C. Dengan ketinggian yang lebih rendah, Civic Hatchback ini kelihatan lebih anggun berbanding sebelum ini, digandingkan dengan rekaan belakang yang agak curam.

Rekaan pada bahagian belakang kelihatan agak sarat dengan liang udara yang besar, diffuser belakang beserta tip ekzos berkembar pada bahagian tengah. Juga terdapat dua spoiler belakang yang dipasang, pertama di posisi atas hatchback ini dan yang kedua menghubungkan lampu belakang di kiri dan kanan. Tiada gambar bahagian dalaman didedahkan, tetapi boleh dijangka ia bakal direka seiras dengan Civic Sedan pasaran Amerika.

Ketua Projek Civic generasi ke-10 Daisuke Tsutamori berkata, “Kami tahu kami perlu membuat rekabentuk luaran dengan rekaan yang menarik dan menonjol mengatasi rekaan konvensional kereta kompak Eropah tetapi masih lagi mengekalkan nilai asas sebenar Civic yang menggabungkan rekaan tersendiri dan sporty, yang akan membawa kepada pemanduan dinamik dan praktikaliti versatil.”

Hatchback lima-pintu ini akan diproduksi oleh Honda of the UK Manufacturing (HUM), dan hanya akan dilancarkan pada awal 2017. Ia akan dipasarkan ke peringkat global termasuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Pilihan enjin turut merangkumi enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan 127 hp dan tork 200 Nm, dan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 201 hp dan tork 260 Nm. Enjin 1.6 liter diesel i-DTEC yang menjana Civic Hatchback terdahulu turut akan menjana hatchback serba baharu ini. Enjin-enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required