Honda-NSX-TMS-40_BM

Setelah diuji dan membuat penampilan, Honda akhirnya mengeluarkan harga untuk Honda NSX generasi terbaharunya yang akan dijual di pasaran Eropah. Di UK, supercar hibrid ini akan dijual pada harga 130,000 pound sterling (RM755k), sementara di Jerman, harga kereta ini mencecah 180,000 euro (RM815k).

Harga yang dinyatakan adalah untuk model asas, varian yang lebih tinggi mungkin akan dijual dengan harga yang lebih mahal. Untuk itu, bagi pasaran Amerika Syarikat, NSX mungkin akan menjadi kereta sport termahal dalam kelasnya.

Sebagai contoh, untuk pasaran UK di mana NSX dijual dengan harga 130k pound sterling (RM755k), harga bagi pencabarnya yang terdekat adalah jauh lebih murah. Harga Mercedes-AMG GT bermula pada 98k pound sterling (RM568k), BMW i8 pula berharga 105k pound sterling dan Audi R8 berharga 120k pound sterling (RM697k).

Honda-NSX-TMS-48_BM

Dalam kenyataan media terkini, Honda juga mengesahkan Eropah adalah rantau utama pasaran eksport untuk NSX. Kereta ini bakal dijual oleh pengedar terpilih dan tempahannya akan dibuka bermula April tahun ini. Pelanggan dijangka bakal menerima NSX mereka seawal bulan September.

Diproduksi secara eksklusif di Performance Manufacturing Centre Honda di Marysville, Ohio, NSX yang dijenamakan dibawah Acura akan dijual pada harga USD$156,000 (RM650k) untuk model asas di pasaran Amerika Syarikat. Varian yang dilengkapi dengan ciri penuh pula bakal dijual dengan harga mencecah USD$205,700 (RM856k).

Honda NSX akan dijana oleh gabungan hibrid enjin petrol dan tiga unit motor elektrik. Enjin 3.5 liter V6 DOHC turbo-berkembar yang diletakkan pada bahagian tengah kereta akan menyalurkan kuasa 550 hp/550 Nm bersama sebuah motor elektrik Direct Drive berkuasa 47 hp/148 Nm terus ke gandar belakang. Manakala setiap roda hadapan akan dipacu motor elektrik berkuasa 36 hp/146 Nm pada setiap roda, menjadikan kuasa mutlak kereta ini 573 hp/645 Nm.