Mitsubishi Outlander serba baharu dilancarkan untuk Malaysia esok – CBU dari Jepun, 2.4L, 4WD, RM167k

MIt_outlander

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) tekah mengumumkan SUV Mitsubishi Outlander serba baharu akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada 7 April 2016 ini iaitu esok. SUV tujuh-tempat duduk ini telah pun berada di semua bilik pameran Mitsubishi seluruh negara.

Harga pengenalan yang ditawarkan bagi Outlander serba baharu ini ialah RM166,720 bagi Semenanjung Malaysia dan RM168,488 untuk Sabah/Sarawak. Harga-harga tersebut (tanpa insurans, termasuk GST) adalah untuk tempahan dan pendaftaran sebelum 31 Mei 2016 ini. Malah SUV ini turut didatangkan dengan pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

Ia didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Merah Metalik, Putih Mutiara dan Kelabu Metalik. Outlander ini juga akan dipertontonkan di pusat membeli-belah Mid Valley dari 20 hingga 24 April ini jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mitsubishi Outlander Review 61

Outlander serba baharu ini didatangkan dengan varian 4WD, kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dipadankan dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC) yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan kuasa tork maksimum 222 Nm pada 4,100 rpm.

Kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat-roda Mitsubishi Multi-Select. Sistem tersebut membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan iaitu 4WD ECO, 4WD Auto, dan 4WD lock. Gandingan enjin dan sistem transmisi ini mampu membuatkan Outlander 2016 ini mencapai kecekapan bahan api 12.8 km/l jika mod 4WD Eco dipilih.

Ia turut menampilkan elemen premium termasuk lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam, bumbung matahari, pintu tailgate kuasa elektronik dan roda aloi 18-inci dua-tona yang dibaluti tayar bersaiz 225/55R18.

Pada bahagian dalam pula, ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan suis kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Suis kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan turut dilengkapi pada roda stereng Outlander serba baharu ini.

Outlander Msia Cabin

Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit rona hitam. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS beserta EBD dan Bantuan Brek (BA). SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

Outlander baharu ini mempunyai ruang kargo yang agak besar iaitu berkapasiti 1,608 liter (setelah tempat duduk barisan ketiga dilipat) dan jarak pusingan sehingga 5.3 meter.

Bagi Outlander ini, MMM mensasarkan jualan sebanyak 100 unit sebulan dan kini telah menerima lebih 200 tempahan sejak pra-tonton untuk pihak media pada akhir Februari lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required