Satu perkhabaran menarik. Nah! Ini foto pertama bagi Honda CR-V 2017. Model generasi akan datang ini akan menggantikan model generasi ke-empat yang kini berada di pasaran, termasuk di Malaysia dan kebanyakan pasaran global.
Kelihatannya prototaip ini menggunakan unit kerangka dan lampu produksi, memberikan lebih ‘pencerahan’ yang lebih jelas apa yang bakal kita terima tahun hadapan. Seperti yang dijangka, bahagian hadapannya masih menerapkan imej korporat terkini Honda, termasuk gril besar yang bersambung dengan lampu utama LED sepenuhnya, memberikan gambaran “Solid Wing Face” yang lebih jelas.
Menerusi pandangan sisinya pula, badan berkontur dengan garis tingkap ke atas melepasi tiang-C. Dan pada bahagian belakangnya pula jelas CR-V generasi akan datang ini mengadaptasi gaya yang lebih mantap. Lampu belakangnya juga lebih menonjol, dengan lambang Honda yang masih kekal tegak diposisi yang sama.
Dua paip ekzos bersaiz kecil juga kelihatan, lebih kurang sama dengan Honda Civic 2016 1.5 liter berkuasa turbo. Adakah ia memberikan isyarat kebarangkalian CR-V generasi akan datang ini turut dipadankan dengan enjin pengecas turbo juga? Jika ya, ternyata laporan sebelum ini yang mencadangkan agar CR-V 2017 dibina dengan menggunakan asas Civic terkini, dengan enjin yang dikecilkan.
Terbongkarnya foto pertama bagi generasi akan datang SUV ini, nantikan susulan perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa. Pasti ada lebih banyak perincian mengenainya akan terbongkar termasuk padanan penjana kuasanya. Adakah benar ia seperti Civic 2016 yang turut ditawarkan dengan kuasa turbo? Tunggu dan lihat!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.