Perincian penalti sistem Kejara. Klik untuk besarkan

Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah terbukti efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan maut sejak implementasi sistem tersebut dilakukan pada tahun 2012. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dengan ketara di 14 lokasi yang dipasangkan dengan kamera AES, lapor The Sun.

“Pada 14 lokasi yang dipasangkan kamera AES, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dari 19 kes kepada 12 kes dalam masa lapan bulan. Pengurangan sebanyak tujuh kes atau 36.84%. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan kadar pemandu yang mematuhi had laju juga meningkat dari 63% kepada 91% selepas AES diimplementasikan,” kata beliau dalam Dewan Negara semalam.

Menjawab kepada pertanyaan yang diajukan oleh Senator Datuk Ng Chiang Chin, Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus mengembangkan penggunaan AES, dan akan dijenamakan semula sebagai AWAS, dan digabungkan dengan sistem demerit Kejara.

aes-speeding-ticket-950x4711

Abdul Aziz kemudiannya memberitahu wartawan di lobi Dewan Negara, kerajaan yakin AWAS akan memperbaiki tahap keselamatan jalan raya kerana kebolehannya untuk membuat penguatkuasaan selama 24-jam tanpa henti. Beliau juga menjelaskan pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, akan diberikan markah demerit berdasarkan tahap kesalahan yang mereka lakukan. Apabila markah mereka mencecah 20 markah, lesen mereka akan ditarik balik dan akan dibatalkan sepenuhnya jika markah terkumpul mencecah 40 markah.

Sementara itu, yuran untuk penyedia servis untuk AWAS iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih lagi dalam peringkat perbincangan. Abdul Aziz berkata perbincangan tersebut turut mengambil kira pengambilalihan oleh LTAT dan subsidiari sistem tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai AES.

“Kesemua kos berkaitan pembangunan operasi sistem, dan infrastrukturnya, adalah dibiayai oleh LTAT. Perbincangan berkenaan yuran antara LTAT dan Kementerian Kewangan masih lagi berjalan sehingga kini, kementerian tersebut masih belum memberi tahu apa-apa berkenaannya lagi,” ujar beliau.

Sistem AWAS sebelum ini diumumkan akan mula dilaksanakan pada Mei ini. Tetapi setelah beberapa perbincangan dilakukan kembali, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.