Jaguar XF serba baharu dilancarkan – varian XF Prestige dan XF R-Sport, harga bermula RM450k

IMG_3279

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) melancarkan model Jaguar XF serba baharu di Malaysia menyertai barisan kenderaan sedan Jaguar sedia ada di negara ini. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu XF Prestige dan XF R-Sport.

Diposisikan di antara model Jaguar XE yang dilancarkan sebelum ini dan model paling canggih Jaguar, model XJ, XF serba baharu ini dibangun berdasarkan binaan kerangka aluminium-intensif yang lebih kukuh dan ringan. Ia turut tampil dengan rekaan yang dinamik dengan sentuhan reka bentuk ala coupe yang menggabungkan keseimbangan keseluruhan dan permukaan elegan.

Malah ia juga mempunyai garis badan sempurna yang sentiasa menjadi signitur bagi barisan kenderaan Jaguar sebelumnya, dengan jarak antara roda yang lebih panjang, ruang dalaman kabin yang lebih luas serta kecekapan aerodinamik yang lebih baik.

Bagi imej luarannya, ia ditampilkan dengan lampu utama Bi-Function Xenon bersama larasan automatik dengan lampu nyalaan siang LED J-Blade. Bahagian belakangnya pula, kedua-duanya ditampilkan dengan lampu belakang LED, bootlid larasan elektronik untuk membuka dan menutupnya, serta paip ekzos berkembar.

Terdapat sedikit perbezaan, di mana Prestige didatangkan dengan kit badan standard, rim 15-jejari Lightweight dan kemasan plat besi khas Jaguar. Manakala XF R-Sport pula dilengkapi kit badan R-Sport bersama rim 10-jejari Helix 18-inci dan kemasan plat besi R-Sport.

IMG_3292

Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter i4 pengecas turbo petrol dengan janaan kuasa maksimum 240 PS pada 5,500 rpm dan tork 340 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik lapan-kelajuan dengan Jaguar Sequential Shift™. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat dengan pecutan maksimum 248 km/j.

Bagi pengendalian yang lebih dinamik, XF serba baharu ini ditampilkan dengan rekaan Double Wishbone aluminium pada sistem gantungan hadapan, yang disifatkan sebagai konfigurasi terbaik untuk bahagian hadapan kenderaan, dibangunkan untuk menyamai ketepatan kendalian serta maklum balas stereng yang terdapat pada model Jaguar F-Type.

Bacaan kecekapan aerodinamiknya juga lebih baik iaitu dari Cd 0.29 bagi model sebelumnya kepada Cd 0.26 bagi model terbaharu ini.

Ia turut menghadirkan sistem Integral Link pada sistem gantungan belakang serta dengan nisbah agihan 50:50, membolehkan ia memberikan pemanduan yang lebih berdinamik.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Electric Power Assisted Steering (EPAS) yang menawarkan maklum balas stereng, kawalan serta bantuan kuasa yang sedia membantu pemandu dalam semua situasi, sama ada ketika dalam kelajuan tinggi mahupun ketika membelok perlahan.

IMG_3296

Bagi All Surface Progress Control (ASPC) pula, ia adalah sistem yang mengawal input brek dan pedal minyak untuk menentukan cengkaman terbaik, dalam apa juga permukaan jalan dan cuaca, tentunya dalam kelajuan rendah, memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu dalam keadaan jalan licin.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi termaju termasuk JaguarDrive Control, Electric Power Assisted Steering (EPAS), Torque Vectoring dan All Surface Progress Control (ASPC).

Bagi aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan enam beg udara, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Kawalan Kelajuan dengan had kelajuan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kunci Pintar Jaguar, kamera pandangan belakang dan Isofix. Namun ia turut ditawarkan dengan pilihan Bantuan Brek Kecemasan, Amaran Keluar Laluan dan Bantuan Parkir.

Jaguar XF serba baharu memiliki panjang 4,954 mm, 2,960 mm jarak antara rodanya yang kini 51 mm lebih panjang berbanding versi terdahulu, manakala jarak roda depan ke bahagian hadapan kenderaan dikurangkan sebanyak 66 mm.

Tempat duduk penumpang belakang pada model ini juga mendahului dalam kelasnya iaitu tambahan 15 mm ruang kaki, 24 mm lebih luas bagi ruang lutut serta 27 mm lebih luas bagi ruang kepala berbanding model terdahulu.

IMG_3291

Bagi ruang kabinnya, ia mengandingkan elemen mewah kontemporari dengan ketelitian kemasan, kualiti tinggi yang sudah dikenali yang melambangkan kemewahan kenderaan Jaguar serta dilengkapkan lagi dengan penawaran teknologi termaju. Ia turut dilengkapi dengan tempat duduk hadapan dengan larasan elektronik 10-cara (bersama memori larasan bagi tempat duduk pemandu) dan larasan sokongan belakang empat-cara.

Malah turut menampilkan parkir brek elektronik, dua-zon penghawa dingin automatik dengan dua corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang bersama pengesan solar, pencahayaan dalaman mengikut ‘mood’ dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear (aloi bagi R-Sport), skrin TFT 12.3-inci boleh alih pada kluster utamanya yang ditawarkan sebagai pilihan, begitu juga dengan sistem maklumat dan hiburan InControl Touch dengan skrin sesentuh lapan-inci, sistem bunyi Jaguar 80W, sambungan iPod dan Bluetooth serta paparan panel instrumen lima-inci dengan dail analog.

Bagi Prestige, ia hanya dilengkapi dengan tempat duduk kulit Perforated Taurus dan roda stereng pelbagai-fungsi dengan balutan kulit Softgrain. Manakala R-Sport pula dipadankan dengan material kulit Sport Taurus bagi tempat duduk dan roda stereng R-Sport juga balutan kulit Softgrain.

IMG_3298

Bagi warna luarannya, ia ditawarkan dengan dua warna solid iaitu Polaris White dan Ebony Black. Malah turut menampilkan warna pilihan metalik termasuk Glacier White, Ultimate Black, Rhodium Silver, Ammonite Grey, Dark Sapphire, Italian Racing Red, Quartzite dan Odyssey Red.

Untuk pasaran Malaysia, Jaguar XF serba baharu yang diimport sepenuhnya ini ditawarkan harga bermula dari RM450,000 bagi XF Prestige dan XF R-Sport pula dari RM460,000. Harga termasuk GST, tetapi tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Bagi pengalaman pemilikan premium, setiap model XF dilengkapi dengan Jaguar Care, program eksklusif yang merangkumi jaminan lima tahun, servis lima tahun dan bantuan jalanan selama tiga tahun.

Menurut Pengarah Urusan JLRM, Datuk Aishah Ahmad, Jaguar XF Serba Baharu menjadi penawaran terkini yang paling menonjol bagi segmen kenderaan sedan perniagaan premium.

“Jaguar XF Serba Baharu lebih jitu dalam pemanduan dengan penggunaan binaan aluminium-intensif yang lebih ringan dengan nisbah keseimbangan 50:50 yang menghampiri kesempurnaan. Ia sememangnya pengganti paling layak bagi model terdahulu, yang telah menerima pengiktirafan dan anugerah dan akan menjadi kesinambungan terhadap pencapaian berkenaan,” ujar beliau.

Jaguar XF Prestige

Jaguar XF R-Sport

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required