Selepas Persona dan Perdana, kini Proton Saga 2016 semakin kerap dijumpai sedang diuji di atas jalan raya di Malaysia. Gambar terbaharu yang kami terima ini adalah disumbangkan oleh pembaca paultan.org – Jayson Lai, yang menemui dua buah Saga 2016 ini diuji di lebuhraya ELITE.
Kereta yang dilekatkan dengan pelekat penyamaran bermotif gegelung menyaksikan muka Saga ini telah direka semula pada bahagian lampu hadapan, gril hadapan dengan dua bar dan juga rekaan pada bampar hadapan yang telah diolah semula.
Sebuah lagi kereta yang diberikan pelekat penyamaran berbeza dengan corak pusaran, menyembunyikan bentuk sebenar lampu belakangnya. Sebelum ini, prototaip Saga 2016 yang sedang diuji menampakkan rupa lampu belakang berbentuk tiga-dimensi, berkemungkinan besar rekaan tersebut juga telah diolah semula. Lampu kabus belakang yang terletak dibahagian bawah tengah bampar masih lagi kelihatan sama.
Profil garisan sisi Saga ini jelas kelihatan, menampilkan rekaan yang semakin meninggi bemula dari hadapan hingga kebelakang. Rekaan pemegang pintu pada Saga ini kelihatan seiras dengan pemegang pintu Iriz. Berbanding Saga sedia ada, pintu belakang Saga baharu ini kelihatan lebih panjang dan dilihat mempunyai quater window iaitu tingkap kecil yang terletak bersebelahan tingkap utama. Boleh dijangkakan, ruang bahagian belakang Saga baharu ini adalah lebih besar dari Saga sedia ada.
Seperti sebelum ini, unit janakuasa yang memacu Saga terbaharu ini masih menjadi tanda tanya. Tetapi, Saga baharu ini berkemungkinan dikuasakan dengan enjin 1.3 liter VVT yang sama seperti Iriz dan dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik. Untuk peringkat seterusnya, Saga baharu ini mungkin juga akan dijana oleh enjin baharu 1.0 liter dan 1.2 liter Proton yang kini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula memasuki produksi pada penghujung 2017.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.