uber-x-car

Cadangan “e-hailing” yang dihantar oleh Suruhajaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke kabinet bulan lalu yang telah disokong oleh Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) mungkin akan membolehkan servis perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab beroperasi secara sah, lapor The Sun Daily.

Cadangan yang turut memperincikan pemulihan dan transformasi industri teksi negara itu akan dibentangkan di kabinet hujung bulan ini.

Menurut laporan portal tersebut, cadangan pada “e-hailing” ini adalah mirip kepada model perniagaan yang digunakan oleh Jakarta Blue Bird Taxi Company , Dubai Taxi Corporation dan lain-lain syarikat di serata dunia, menerapkan konsep perkongsian keuntungan atau jaminan peratusan pendapatan harian untuk pemandu teksi. Konsep ini dianggap pertama seumpanya di dunia dan akan mewujudkan lapangan persaingan antara pemandu Uber dan Grab dengan pemandu teksi konvensional untuk pengangkutan awam yang lebih cekap dan menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Sumber dalaman dari pihak kerajaan di laporkan berkata, “Individu yang menawarkan kenderaan hariannya sebagai teksi perlu untuk mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan berdaftar dengan SPAD untuk tujuan pemantauan. Kereta-kereta persendirian yang digunakan sebagai teksi juga perlu untuk menjalani pemeriksaan tahunan dengan Puspakom bersama insuran yang sama seperti teksi biasa.”

Sumber tersebut turut menambah, kereta persendirian dengan penarafan Asean NCAP akan diberi keutamaan sebagai tambahan kepada spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dianggarkan seramai 130,000 pemandu Uber dan Grab baharu (sepenuh dan separuh masa) akan beroperasi bersama dan bersaing dalam pasaran perkhidmatan teksi dengan inisiatif “e-hailing” ini. Sejumlah 67,000 pemandu teksi yang aktif di seluruh negara dengan 36,000 daripadanya berada di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan (syarikat) Uber akan dikenakan cukai oleh kerajaan setelah “e-hailing” ini berjalan kelak. Sumber dalaman tadi turut mengesahkan transaksi kad kredit dari penumpang Uber buat masa sekarang menyaksikan aliran ringgit yang banyak ke luar negara.

Lanskap industri teksi negara juga difahamakan secara tidak langsung akan menyebabkan pemandu teksi menggunakan aplikasi tempahan pihak-ketiga memandangkan kadar penggunaan teksi diseluruh negara buat masa ini hanya berjumlah 14% berbanding permintaan pengguna terhadap aplikasi perkongsian kenderaan adalah lebih daripada 50%.

Syed-Hamid-Albar

The Sun Daily turut mendapat pengesahan pembentangan pada selasa lalu mendapat maklum balas positif dari JKE menerusi Ketua Pengarah Esekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah dan menyatakan kertas kerja cadangan berkenaan sedang diperhalusi sebelum dibentangkan ke kabinet beberapa minggu lagi.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar juga dilaporkan berkata kabinet akan memberikan lampu hijau dan beberapa undang-undang seperti Akta Pengangkutan Awam 2010, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dirombak semula.

“Proses perundangan mungkin akan dijalankan di parlimen pada bulan Oktober. Sekarang ini, kami sedang berkerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Jika Semua berjalan lancar, era baharu dalam industri teksi mungkin akan bermula akhir tahun ini,” jelas beliau.

Kemelut antara pemandu teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan yang berlarutan ini telah menyaksikan beberapa kumpulan yang mewakili pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, termasuk SPAD, kerana gagal untuk mengambil tindakan terhadap pengendali servis perkongsian kenderaan tersebut di Malaysia mengambil beberapa tindakan agar suara mereka kedengaran. Ini termasuk tindakan drastik mereka membuat beberapa protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa laluan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.