Toyota_Hilux_Fortuner_Launch-3_BM

Pada hari pelancaran Toyota Hilux generasi kelapan, UMW Toyota turut melancarkan sekali Toyota Fortuner 2016 serba baharu. SUV yang dibina dengan asas yang sama dengan trak pikap Hilux ini hadir dengan dua varian berbeza iaitu varian asas VRZ 2.4L diesel dan varian tertinggi SRZ 2.7L petrol.

Walaupun dibina diatas kerangka ladder frame FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) yang sama seperti Hilux, Fortuner menampilkan dimensi yang sedikit berbeza. Lebar keseluruhan SUV ini adalah sama dengan Hilux iaitu 1,855 mm. Tetapi panjang keseluruhannya adalah 535 mm lebih pendek dan jarak rodanya pula adalah 340 mm lebih pendek berbanding Hilux. Oleh itu dimensi SUV ini diukur dengan panjang 4,795 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,745 mm.

Satu lagi perbezaan antara Fortuner dan Hilux adalah pada bahagian suspensi belakangnya. Berbanding dengan Hilux yang menggunakan spring dedaun, Fortuner menggunakan konfigurasi spring gegelung 4-Link dengan rod kawalan lateral dan penstabil. Suspensi ini juga di tala dengan lebih selesa berbanding Fortuner generasi terdahulu dengan mengurangkan pergerakan bumping badan kereta ini seminimum yang mungkin.

Pada bahagian luaran, varian VRZ 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen projektor automatik dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala varian 2.7 liter SRZ pula dilengkapi dengan lampu hadapan projector Bi-LED dan lampu nyalaan siang LED. Sistem lampu kedua-dua varian dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home.Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan cermin sisi berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok LED tetapi hanya varian SRZ dilengkapi dengan lampu puddle. Lampu belakang LED juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.

Untuk memberikan impak sebuah SUV mewah, pintu tailgate belakang Fortuner dilengkapkan dengan sistem bukaan berkuasa, membolehkan ianya dibuka/ditutup secara automatik sama ada dengan menekan suis pada pintu tersebut ataupun menggunakan butang pada alat kawalan jauh.

Profil sisi SUV ini menyaksikan VRZ dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian SRZ pula ia dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

Bahagian dalaman Fortuner tampil dengan rekaan yang lebih premium. Untuk VRZ, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth. Varian SRZ pula, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci, unit infotaimen pemain DVD dengan skrin sesentuh 8 inci dan sambungan telefon pintar, WiFi, pelayar internet, sistem navigasi, AUX, USB, SD card, Bluetooth dan HDMI. Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam pembesar suara dan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Roda stereng empat jejari pelbagai fungsi turut didatang standard untuk semua varian namun hanya SRZ dibalut dengan kulit.

Upholstery SRZ juga menerima balutan kulit berwarna perang gelap pada kesemua tempat duduk tuil gear, penutup kotak konsol tengah dan panel pintu. Ciri-ciri tambahan lain SRZ untuk bahagian dalam juga termasuk penghawa dingin automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, kemasan silver dan krom pada pemegang pintu, tuil gear, tuil brek tangan dan suis kawalan penghawa dingin.

Enjin petrol tanpa induksi paksaan 2TR-FE 2.7 liter berupaya menjana 166 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 245 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala untuk enjin turbo diesel 2GD-FTE 2.4 liter pula, ia berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

Penyampaian kuasa dari kedua-dua pilihan enjin ke gandar disampaikan melalui transmisi baharu enam-kelajuan automatik. Sama sperti Hilux, kotak gear automatik ‘pintar’ Super ECT baharu tersebut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Mod manual pada transmisi automatik ini juga menawarkan ciri ‘throttle blip’ ala kotak gear kereta sport ketika menurunkan gear secara manual, untuk memastikan tiada ‘renjatan’ penurunan gear dirasakan. Hanya varian SRZ dilengkapi dengan penukar gear di roda stereng. Walaubagaimana pun, mod pemanduan Normal, ECO dan Power adalah standard untuk kedua-dua varian.

Sistem 4WD pada Fortuner baharu ini turut disalin terus dari Hilux. Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Hanya varian SRZ dilengkapi dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC) yang mampu memindahkan tork kepada roda yang memerlukan dengan lebih bijak.

Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Juga, hanya varian tertinggi 2.7L dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Varian VRZ dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model SRZ menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix pula adalah standard untuk semua varian.

Varian VRZ dijual pada harga bermula RM186,900. Manakala untuk varian tertinggi SRZ pula dijual pada harga RM199,900. Kesemua harga yang disebutkan adalah harga atas jalan termasuk GST tanpa cukai jalan. Setiap pembelian Fortuner disertakan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

GALERI: Gambar rasmi pelancaran 2016 Toyota Fortuner