Mercedes-Benz C-Class Coupe dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM309k ke RM389k

Mercedes-Benz_C300_Coupe_AMG_Line_Malaysia_002

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memperkenalkan Mercedes-Benz C-Class Coupe, model edisi terkini di dalam barisan Mercedes-Benz Dream Cars Collection. Sebagai varian yang paling sporty dalam barisan C-Class, Coupe pastinya mempersembahkan reka bentuk yang tersendiri terutamanya pada bahagian belakang.

Dengan varian C 200 Coupe, C 250 Coupe dan C 300 Coupe, pastinya barisan C-Class Coupe ini mudah mengikat pandangan ramai. Selain terkenal dengan prestasinya, perubahan yang lebih radikal jelas kelihatan pada ketiga-tiga varian yang dilancarkan ini.

Bahagian hadapannya yang memang menyerlah dengan aura sporty menampilkan gril radiator berbentuk berlian dan bonet yang lebih panjang serta menampakkan garisan berkarakter yang lebih mantap. Malah ia bersambungan hingga ke belakang sekali gus memberikan penampilan yang lebih mantap dan pastinya bergaya. Beltline yang sedikit tinggi dan pintu-pintu tanpa bingkai dengan cermin luaran secara ‘free-standing’ menekankan lagi karakter yang bergaya.

Mercedes-Benz_C300_Coupe_AMG_Line_Malaysia_006

Salah satu elemen utama yang dipertonjolkan ialah garisan panjang tipikal yang merentangi profil sisinya. Kontras dengan sedan C-Class, garisan penuh berkarakter ini dipanjangkan sehingga gerbang roda belakang varian coupe. Malah suspensinya juga 15 mm lebih rendah berbanding sedan, sekali gus memberikan pandangan yang lebih sporty.

Ketiga-tiga varian dilengkapi dengan kit badan AMG Line yang cukup terkenal dengan gaya sporty dan ranggi. Jika C 200 Coupe menerima padanan lampu utama Prestasi Tinggi LED, sistem Pencahayaan Pintar LED dan Adaptive Highbeam Assist Plus pula bagi C 250 Coupe dan C 300 Coupe.

Bagi C 200 Coupe dan C 250 Coupe, ia turut dilengkapi dengan sistem ekzos paip berkembar (tambahan sistem ekzos Sport untuk C 300 Coupe). Menambahkan lagi gayanya pasti dengan kehadiran rim yang lebih berpadanan. Bagi C 250 Coupe dan C 300 Coupe, ia digandingkan dengan rim aloi AMG pelbagai-jejari bersaiz 19-inci, manakala hanya rim aloi AMG ringan lima-jejari 18-inci bagi C 200 Coupe.

Barisan C-Class Coupe baharu ini memiliki ukuran 4,686 mm panjang, selebar 1,810 mm, setinggi 1,405 mm dan jarak roda 2,840 mm. Ia juga berkongsi kapasiti ruang but yang sama iaitu 400 liter.

Menjengah bahagian kabinnya, pastinya ia cukup sinonim dengan falsafah rekaan Mercedes-Benz yang menggandingkan keaslian, emosi, dan kepintaran. Malah ia juga diselimuti ambien dalaman yang lebih mengasyikkan. Susun atur setiap ruang dalamannya bagai memiliki kesinambungan dari konsol tengah ke pintu hinggalah panel sisi belakang.

Malah gabungan elemen sporty dan individual bersatu memberikan karakter pada coupe ini. Bukan itu sahaja, sistem tempat duduk dengan rekaan tempat duduk sport di samping mengutamakan aspek keselesaan. Pemilihan material juga diutamakan, termasuk elemen yang penuh elegan dan mewah serta bancuhan moden bagi menjanjikan keselesaan. C-Class Coupe baharu ini menjadikan kombinasi hitam, coklat keperangan dan porselin sebagai pilihan utama bagi warna upholstery.

Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah kawalan suhu automatik Thermatic, fungsi penghidup enjin Keyless-Go, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan Speedtronic, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan larasan berkuasa dengan memori, bantuan parkir aktif dan kamera undur.

Bagi sistem multimedia bagi C 200 Coupe dan C 250 Coupe pula dilengkapi dengan Audio 20 dengan pemain CD, Garmin MAP Pilot dan Touch Pad. Manakala bagi C 300 C, ia dipadankan dengan COMAND Online, Touch Pad, pemain DVD dan sistem bunyi Burmester.

Bagi penjana kuasanya, sebanyak tiga pilihan enjin petrol menjadi pilihan bagi C-Class Coupe ini. Bagi enjin 2.0 liter, ia bagi model C 200 dengan ledakan kuasa 184 hp dan tork 300 Nm, C 250 pula mampu menghamburkan 211 hp/350 Nm serta 245 hp/370 Nm bagi C 300. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 7G-TRONIC PLUS tujuh-kelajuan.

Mercedes-Benz_C300_Coupe_AMG_Line_Malaysia_030

Mengenai prestasinya, C 200 Coupe mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat sebelum meledakkan kelajuan maksimum sehingga 235 km/j. Manakala C 250 Coupe mampu mencapai pacuan 0-100 km/j dalam hanya 6.8 saat dan kelajuan maksimum pula sehingga 250 km/j. Pastinya C 300 Coupe mampu memberikan prestasi yang lebih mantap dengan pacuan 0-100 km/j dalam hanya 6.0 saat dan ledakan kelajuan maksimumnya sama seperti C 250 Coupe.

Pemilihan mod pemanduan juga ditawarkan menerusi sistem Dynamic Select dengan butang “Eco”, “Comfort”, “Sport” dan “Individual”.

Tidak berkompromi tentang aspek keselamatan aktifnya, barisan C-Class Coupe baharu ini ditampilkan dengan Attention Assist dengan pelarasan sensitiviti, Collision Prevention Assist Plus pula termasuk Adaptive Brake Assist, selain elemen asas termasuk tujuh beg udara, ABS dengan EBD.

Dibawa masuk dari Jerman (unit CBU), harga atas jalan (termasuk GST, tanpa insurans) yang ditawarkan bagi C 200 Coupe ialah RM308,888, RM333,888 untuk C 250 Coupe dan C 300 Coupe pula RM388,888. Ia turut didatangkan dengan waranti empat tahun tanpa perbatuan terhad.

Untuk perincian lebih lanjut mengenai Mercedes-Benz C-Class Coupe ini, sila layari Carbase.my.

GALERI: Mercedes-Benz C 300 Coupe AMG Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required