Dikhabarkan Proton akan melancarkan semula modelnya di Chile pada Sabtu ini selepas hampir dua dekad pasaran di sana terhenti, laporan Bernama.
Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata Proton akan membawa masuk 1,000 unit model terpilih iaitu Preve, Exora dan Saga ke dalam pasaran Chile dan menjangkakan menjana jualan bernilai RM68 juta. “Ini menunjukkan hubungan Malaysia-Chile terus berkembang kukuh,” katanya.
Beliau berkata Chile merupakan satu-satunya negara Amerika Latin yang telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia sekaligus menjadikannya sebagai rakan dagang lebih utama bagi syarikat Malaysia yang merancang untuk meneroka ke benua itu.
Kereta-kereta Proton di sana akan dijual oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, wakil pengedar dari Chile yang telah menandatangani perjanjian pengedaran bersama Proton pada 1 Julai 2015 lalu.
Di Chile, ketiga-tiga model tersebut akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.