PANDU UJI: Proton Perdana 2016, mampukah ‘Prime’ mengangkat semula survival armada Proton?

Proton_Perdana_24_Grey_Ext_04

Syarikat pembuat kereta nasional pertama negara – Proton mula memperkenalkan Perdana generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Galant Eterna generasi ke-tujuh 21 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1995. Seperti yang anda boleh lihat sekarang, sebahagian dari Perdana tersebut masih lagi gah menyelusuri jalan raya di Malaysia.

Dilaporkan Proton telah menjual lebih dari 80,000 unit Perdana bermula dari tahun 1995 hingga tahun 2010, dengan harga yang bukan murah iaitu RM85k ketika dilancarkan pada tahun 1995 dan lebih dari RM100k untuk model V6 yang dilancarkan pada tahun 1998.

Namun, setelah penjualannya dihentikan pada 2010 iaitu kira-kira 15 tahun dalam pasaran, Proton seakan kurang yakin dengan segmen pasaran Perdana, dan dilihat tiada langsung usaha pembangunan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh model tertinggi dalam barisan kereta keluaran Proton itu.

Tahun 2012, Proton kembali berminat untuk menyertai pasaran sedan eksekutif segmen-D Malaysia dengan mengumumkan kerjasama bersama gergasi automotif Jepun, iaitu Honda. Hasil awal kerjasama tersebut menyaksikan lebih kurang 3,000 unit Honda Accord CP (generasi ke-lapan) diubah sedikit pada beberapa bahagian kemasan dan kemudiannya diberi lencana Proton Perdana.

Proton_Perdana_24_Grey_Ext_21

Kereta-kereta tersebut tidak dijual dalam pasaran umum, tetapi hanya untuk kegunaan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia, menggantikan Proton Perdana V6 terdahulu yang semakin berusia.

Untuk pasaran umum, Proton telah melancarkan Perdana 2016 hari ini, jauh berbeza dari versi awalnya yang hanya dilakukan beberapa sentuhan ‘rebadge’ mudah.

Sebenarnya, sekitar tiga minggu sebelum dilancarkan, Proton telah menjemput jurnalis-jurnalis automotif di Malaysia untuk menguji dua Perdana 2016 iaitu 2.0L dan 2.4L ini di litar ujian mereka yang terletak di Pusat Kecermelangan Proton, Shah Alam.

Seperti yang boleh dilihat, bentuk asal Accord CP sudah tidak lagi kelihatan pada rupa luaran Perdana. Secara ringkas, muka hadapan Accord telah ‘diProtonkan’ pada segenap segi termasuk lampu hadapan, gril, bampar hadapan, bonet dan dapra.

Proton_Perdana_24_Grey_Ext_10

Pada bahagian sisi, Perdana masih menggunakan pintu hadapan Accord. Tiang-C telah ‘ditarik’ kebelakang bagi memberikan ruang kepada ‘quater window‘ tambahan. Oleh sebab perubahan rekaan pada tiang-C ini, tetapi Proton masih mahu menggunakan panel pintu bahagian dalam yang diambil terus dari Accord, bahagian belakang pintu bermula panel tingkap pintu terpaksa dipanjangkan sedikit. Satu perkara yang agak membimbangkan pada rekaan tersebut, ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan pada pengguna kerana kemasan krom pada pintu itu bukan sahaja panjang, ia juga agak tajam.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci pelbagai jejari yang sama tetapi berbeza kemasan akhir (warna perak untuk 2.0L dan warna hitam-aloi digilap untuk 2.4L). Kesemua roda dibaluti tayar Goodyear EfficientGrip bersaiz 225/50R17.

Bahagian belakang menyaksikan rupa bentuk yang lain sepenuhnya berbanding Accord. Perdana menerima lampu belakang LED berbentuk-C dihubungkan dengan bar krom merentangi penutup but serta menempatkan logo 3D Proton yang besar. Bampar belakang pula ‘sarat’ dengan kemasan ala-diffuser yang turut menempatkan ruang nombor pendaftaran, dua reflektor serta dua perumah tip ekzos palsu.

Apa yang nampak sedikit pelik disini, keseluruhan kemasan tersebut diwarnakan dengan warna badan, seolah-olah Proton mahu menonjolkan dan ‘membuka rahsia’ dua tip ekzos tersebut sememangnya palsu.

Keseluruhan bahagian dalaman Perdana kelihatan hampir sama dengan Accord CP kecuali beberapa peningkatan pada sistem infotaimen. Dapat dilihat disini dua perbezaan hasil akhir pada kemasan yang diambil terus dari Honda dan komponen yang dibuat oleh Proton. Cuba anda bezakan bentuk tulisan dan hasil cetakan tulisan pada suis-suis kawalan penghawa dingin yang diambil terus dari Accord dan butang kawalan sistem audio yang direka oleh Proton, bukan sahaja jenis tulisan yang berbeza malah hasil cetakan dan kualiti ketika disentuh juga jelas terasa berbeza.

Perdana masih mengekalkan enjin yang diambil terus dari Accord iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

Dari segi prestasi enjin dan pengendalian, secara ringkas ia ‘bagai sebuah Accord’. Enjin 2.0 sebenarnya sudah memadai untuk memberikan kuasa pecutan yang mencukupi, linear dan sangat lancar digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan automatik. Bagi mereka yang mahukan lebih ‘ummphh’, anda boleh memilih varian 2.4 liter yang bukan sahaja lebih berkuasa, malah anda turut boleh bermain dengan gear menerusi penukar gear yang dilengkapi pada roda stereng.

Begitu juga pada bahagian suspensi, bukan sahaja kesemua komponen sistem double wishbone pada bahagian hadapan dan sistem multilink dibahagian belakang berkongsi dengan Accord, malah Proton berterus terang tiada sebarang perbezaan talaan dibuat memandangkan jurutera Honda sebelum ini telah pun memberikan talaan terbaik untuk kerangka siri CP pasaran Malaysia.


Enjin DOHC i-VTEC 2.4L (kiri) dan enjin SOHC i-VTEC 2.0L (kanan)

Saya hanya memandu lebih kurang enam pusingan untuk setiap varian di litar ujian Proton berbentuk oval tersebut. Jadi tiada ruang untuk menguji kelincahan sedan segmen-D ini. Seperti yang disebut tadi, keseluruhan sistem suspensi dan talaan dari Accord diserapkan terus ke Perdana, jadi pada kelajuan tinggi, karekter Perdana adalah setanding dengan segmen-D dalam pasaran, stabil dan selesa.

Walaupun tiada ruang untuk menguji kelincahan pengendalian Perdana baharu ini, boleh dijangka karekter pengendalian Perdana juga adalah menyerupai dinamik pengendalian Honda Accord CP.

Walaupun diberitahu secara jujur oleh jurutera-jurutera Proton yang segalanya adalah diambil terus dari Accord, saya dan rakan-rakan penulis yang lain sedar akan satu perkara iaitu Perdana lebih senyap dari Accord. Ini mungkin disebabkan tayar Goodyear Efficient Grip yang dibekalkan pada Perdana menjadikan keseluruhan NVH sedan ini lebih baik.

Walau bagaimanapun, bunyi yang agak bising kedengaran pada bahagian belakang jika memandu kereta ini ketika hujan (kebetulan, hujan turun dengan lebat di litar ujian Proton ketika sesi pandu uji dijalankan) akibat percikan air dari tayar ke pelapik pada bahagian dalam ruang roda.

Satu lagi perkara yang agak diluar jangkaan kami ialah keselesaan pada span yang digunakan untuk binaan tempat duduk. Kesemua tempat duduk Perdana dibina dengan sangat selesa, sehingga anda akan terasa sedikit tenggelam dek kerana empuknya tempat duduk tersebut.

Dari segi sistem keselamatan, semua varian Perdana dibekalkan dengan empat beg udara, sistem brek ABS serta EBD, penderia parkir hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi anti-perangkap untuk semua bahagian serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak. Agak mengecewakan, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) hanya dilengkapi pada varian tertinggi 2.4L dan tiada pada varian 2.0L, walhal sistem tersebut dibekalkan secara standard pada Iriz varian terendah 1.3 Standard.

Tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa ciri-ciri Perdana 2016 agak ketinggalan bukan sahaja dengan sedan segmen-D terkini, dengan adiknya sendiri iaitu Preve dan Suprima S. Perdana tidak dilengkapi dengan tujuh beg udara mahupun sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Sekali lagi ditegaskan, Perdana dibina dari Accord generasi ke-lapan atas sebab mahu menjimatkan kos.

Ciri-ciri yang disebutkan tadi jika mahu ditambah bukan sahaja melibatkan rekaan semula pada komponen-komponen mudah, ia mungkin akan melibatkan rekaan semula keseluruhan pada sistem pendawaian, kotak komputer baharu dan juga sistem perisian komputer baharu. Ini tentunya melibatkan kos yang besar dan mungkin akan menyebabkan harga akhir Perdana ini tidak kompetitif.

Namun, semua sistem ini mungkin akan ditingkat taraf oleh Proton setelah model Perdana dipadankan dengan enjin Proton sendiri, iaitu enjin Petronas NE01 2.0 liter dilengkapi pendesak turbo dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm, apabila program pembangunan enjin mereka lengkap pada akhir 2017 nanti. Kedua-dua enjin baharu tersebut turut bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu. Dengan sistem enjin dan transmisi baharu kelak, sudah tentu sistem elektrikal badan Perdana turut mendapat sistem baharu, memungkinkan ciri elektronik lain turut dipertingkat.

Jadi, dengan teknologi dan sistem mekanikal yang diambil dari Accord generasi terdahulu, dilengkapi dengan beberapa trend rekaan terkini serta harga jualannya yang hanya pada paras yang sama dengan sedan segmen-C, adakah Proton Perdana 2016 mampu bertahan dalam pasaran seperti generasi sebelum ini dan seterusnya mengangkat semula Proton ke landasan sebenar?

GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

GALERI: Proton Perdana 2.0L 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Mat Poi on Jun 14, 2016 at 10:57 am

    Tajam betul pintu belakang Proton Perdana ni.. Tak dibuat bentuk yang melengkung sikit ke?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • 5 speed??

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Dri segi kekukuhan kereta tu sdri mcmana?adakh kompenan bodnya sekukuh accord?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • amshah on Jun 14, 2016 at 4:13 pm

    aku rasa ramai pembeli akan tunggu sehingga Perdana ditukar dengan enjin yang baru, cukai jalan lebih murah, ada kuasa turbo lagi, transmisi CVT…

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Shady on Jun 14, 2016 at 8:07 pm

    Overall nampak okay tapi kenapa woody interior? seriously buruk la.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
    • Kamal on Jun 14, 2016 at 10:41 pm

      Kalau you kata interior perdana ni buruk….. Cuba tanya kpd pemilik BMW f10 ….apa komen mereka on kualiti interior BMW f10 mereka…. Pastinya anda akan terkejut

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • Kw Lim on Jun 15, 2016 at 1:49 pm

    The 2.4 model doesn’t come with black leather seats? Can someone enlighten me?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • Bagi saya PERDANA baru ni nampak sangat cun. sangat mengancam kalbu. Mmg betul lampu belakang tu sangat unik dan distinctive. Dari jauh dah boleh cam yang itu Perdana, sama macam Iriz. dari jauh dah confirm itu iriz.

    Tapi……… saya SANGAT2 TERKILAN bila Perdana 2.0L tak ada ESC! Aisehmannnnnn Proton2… mmg tgh aim mungkin 2-3 tahun lagi boleh angkat 2.0L…aiyoo

    Kete besar mcm Perdana takde ESC mana boleh proton… sekali OVERSTEER confirm terguling masuk parit…Proton… mana boleh mcm ni…tolonglah kesian golongan middle class mcm aku kat Malaysia ni. Nak angkat kete segment D import semuanya mahal2. Elok2 ada 2.0L ni, boleh buat camni plak.

    Ko dah gah promote pasal Iriz punya safety dan itu dan ini. 5 star sana sini. ANCAP ASEANCAP itu cap ini cap. Preve dan Suprima safety mantap. dah macam Volvo of Asia. tapi kereta perdana yg mahal ni ko boleh tak letak ESC???

    BERTAUBATLAH!

    Satu langkah ke belakang. Tolonglah berubah!

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • AbuDEBU on Aug 06, 2016 at 4:13 am

    why no DRL?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required