PANDU UJI: Mitsubishi Triton baharu sahut cabaran Borneo Triton Adventure 2016 ke utara Sabah

mitsubishi-0053

Ini bukan sekadar pandu uji di jalan raya yang selalunya penulis lakukan waima menguji sebuah trak pikap. Kesempatan mengikuti Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama Mitsubishi Triton meredahi kawasan utara Sabah baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja. Konvoi ini turut disertai oleh CEO MMM Won-Chul Yang dan juga Penampang 4×4 Club.

Biar pun ini merupakan kali kedua penulis menjelajah kawasan iaitu dari Kota Kinabalu sebelum merentasi laluan off-road di daerah Kota Merudu sebelum menuju ke Kudat. Penulis memandu secara bergilir-gilir dengan rakan media dari majalah berbahasa Cina.

Kami diberikan unit Triton VGT Adventure dengan enjin 2.5 liter VGT empat-silinder turbodiesel yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 178 PS pada 4,000 rpm. Manakala tork puncak dipertingkatkan daripada 350 Nm ke 400 Nm pada 2,000 hingga 3,500 rpm.

D71_8334

Di mana VGT atau Variable Geometry Turbo yang diperkenalkan pada generasi sebelumnya, telah pun dipertingkatkan bagi menyalurkan kuasa yang tiada tandingan bersama pengecas turbo terkini. Ia boleh menyalurkan kuasa turbo dalam apa jua kelajuan. Malahan turut membantu meningkatkan lagi kuasa pendikit dan dalam masa yang sama memberi penggunaan bahan api yang efisien.

Malah ketika dalam kelajuan yang rendah, VGT ini dikatakan mampu menambah pengeluaran kuasa dan meminimakan turbo lag. Namun jika dalam kelajuan yang tinggi, VGT membantu memaksimumkan pengecasan turbo untuk kuasa dan tork yang lebih tinggi.

Bermula dengan perjalanan dari Kota Kinabalu merentasi jalan biasa sepanjang 1i1 km yang mengambil masa hampir dua jam meredahi Tuaran menuju ke Kota Belud. Adakalanya laluan yang melibatkan kawasan berbukit, jadi di sini kerahan tenaga jentera amat diperlukan.

Namun dengan Triton VGT Adventure ini, ada sedikit rasa yang agak ‘kurang’. Ia seakan memerlukan RPM yang agak tinggi (melebihi 3,500 rpm) untuk mendapatkan kuasa enjin yang lebih responsif. Jika di bawah 3,000 rpm, kuasa enjin tidak begitu memuaskan. Melainkan, guna mod Sport dengan pedal penukar gear, maka anjakan gear lebih cepat dan sekali gus membantu meningkatkan respons enjin. Secara tidak langsung, membuatkan pemanduan lebih menyeronokkan terutamanya ketika melayan selekoh-selekoh di jalan raya.

Kemudian konvoi memasuki laluan off-road dari Kampung Toburon di daerah Kota Belud.

Di sinilah cabaran bermula apabila konvoi melalui jalan off-road yang boleh dikatakan agak mencabar. Jika merentasi laluan yang agak sukar, ada pilihan untuk menggunakan butang kawalan 4WD Selector sama ada mod 2L, 4L atau 4H mengikut kesesuaian laluan.

Bagi mod 2L dan 4H, ia boleh ditukar ketika jentera dipandu dalam kelajuan sehingga 100km/j. Manakala bagi 4L, jentera perlu diberhentikan terlebih dahulu sebelum mod ini ditukar. Malah mod 4L ini boleh digunakan di antara 1,500 hingga 2,000 rpm dalam kelajuan antara 10 hingga 20km/h. Dan ia sangat sesuai digunakan jika merentasi laluan yang sukar termasuk permukaan jalan yang licin.

Penjana kuasa 4WD dengan mod 4L turut bergabung tenaga dengan Hybrid Limited Slip Differential (LSD) untuk pengendalian yang lebih optimum.

Penulis merasakan butang kawalan 4WD Selector yang ditampilkan bagi Triton baharu ini lebih menyenangkan berbanding tuil gear 4WD pada model sebelumnya. Malah sistem pacuan semua-roda ini juga terasa lebih responsif, sekali gus memudahkan pengendalian jentera ketika merentasi cabaran off-road.

Bagi merentasi laluan off-road di Kota Belud ini, kami diarahkan oleh ketua konvoi untuk menggunakan butang 4L sepenuhnya. Malah tekanan angin pada tayar juga harus dikurangkan sedikit bagi memberikan kecengkaman tayar yang lebih jitu.

mitsubishi-0074

Biar pun laluan kering dan berdebu, namun pemanduan secara off-road tetap teruji. Sesekali tayar jentera tersangkut pada lopak yang dalam. Apatah lagi di sebelah kiri jentera ada gaung, jadi kawalan jentera perlu lebih berhati-hati. Silap kawalan, bimbang masuk ke gaung pula.

Di sini, bantuan rakan pemanduan amat diperlukan, kerana beliau banyak membantu memberikan arah untuk pengendalian sewaktu penulis mengambil alih pemanduan. Tidak dinafikan, mengendalikan trak pikap sewaktu laluan kering adalah tidak sesukar jika dalam permukaan jalan yang basah dan licin. Jadi, bila tayar jentera tersangkut pada lopak yang dalam, ia masih tidak sukar untuk dikendalikan. Apatah lagi memandu unit bertransmisi automatik.

Sebelum ini, penulis pernah mengendalikan jentera dengan transmisi manual dan bila memandu di laluan off-road, apatah dengan keadaan permukaan jalan yang licin dan berlumpur, ternyata ia memang sukar. Di mana dengan transmisi manual, adakalanya jentera boleh terlambat respons terhadap pedal pendikit-klac-brek, jadi boleh ‘mati’ enjin dibuatnya.

Perjalanan dengan laluan off-road sepanjang 11.3 km dengan mengambil masa selama 45 minit ini berhenti sejenak di Pantai Teringai. Cukup segar mata memandang melihat keindahan pantai tersebut yang masih bebas dari pencemaran dan belum dimajukan. Malah di sana, konvoi sempat berhenti seketika di sebuah pondok usang di Kampung Mandawang. Di mana terdapat sepasang suami isteri yang menetap di sana dalam keadaan yang boleh begitu daif.

Pihak MMM bermurah hati memberikan bantuan makanan dan air mineral untuk pasangan suami isteri terbabit. Malangnya ketika kami sampai di pondok berkenaan, pasangan tersebut tidak kelihatan, mungkin pergi mencari sumber makanan di kawasan sekitar. Lantas, kami hanya meletakkan bekalan makanan yang dibawa ke serambi pondok itu sahaja.

Selepas berhenti sejenak untuk menikmati hidangan tengahari di pantai tersebut, perjalanan diteruskan melalui Jalan Indarasan yang juga laluan off-road termasuk meredai kawasan kampung. Ia melibatkan laluan sepanjang 15.6 km dengan mengambil masa selama sejam 30 minit sebelum konvoi memasuki laluan jalan bertar pula.

Mengenai sistem brek Triton baharu ini, gabungan Ventilated Disc untuk bahagian belakang dan Leading & Trailing Drum pada belakang memang berpadanan. Begitu juga dengan sistem suspensinya, padanan Independent-Wishbone dengan gegelung pegas di bahagian hadapan dan untuk belakang pula Elliptic Leaf Spring, boleh dikatakan cukup sesuai. Selalunya, jika jentera sebegini kurang dimuatkan dengan bebanan, akan mudah terasa bumpy terutamanya ketika meluncur di lebuh raya atau jalan biasa.

Namun perkara ini agak minimal dirasai. Sekali gus mengurangkan kesan olengan badan kecuali jika melalui permukaan jalan yang beralun atau pun melayan selekoh dengan kelajuan yang agak tinggi.

Biasanya penulis mudah terkena ‘kinetosis’ atau travel/motion sickness jika menaiki kenderaan sebegini (jika bukan sebagai pemandu). Namun mujur juga perkara ini tidak dialami. Ternyata Triton baharu ini memang memberikan keselesaan yang optimum termasuk pada para penumpang.

mitsubishi-0076

Selain itu, Triton baharu ini turut dipadankan dengan casis yang lebih mantap dengan rekaan aerodinamik yang lebih baik bagi kestabilan pengendalian dan kuasa cengkaman yang lebih optimum. Di mana ia boleh disesuaikan dengan apa jua corak permukaan jalan sama ada on- atau off-road.

Memudahkan lagi pengendaliannya, ia turut dipadankan dengan tilt & telescopic steering iaitu yang pertama bagi segmen trak pikap. Di mana roda sterengnya boleh dilaraskan untuk keselesaan pemandu.

Walau pun ia sebuah trak pikap yang memiliki ukuran keseluruhan bersaiz 5,280 mm panjang, 1,815 mm lebar, 1,780 mm tinggi dan jarak rodanya pula 3,000 mm, ia bukanlah sukar untuk dikendalikan. Ia memiliki jejari pusingan minimum 5.9m bagi varian 4WD (5.7m untuk 2WD) dan ini tidak menyulitkan untuk membuat pusingan-U.

Bagi jarak terendah dengan tanah atau ground clearance pula ialah 205 mm (minimum). Jadi setakat hendak meredah anak sungai yang cetek atau tidak begitu dalam, memang tidak mendatangkan masalah. Cuma dalam ekspedisi ini, kami tidak berpeluang menguji Triton ini untuk meredah sungai.

Selepas merentasi jalan bertar sejauh 15.2 km selama 20 minit, konvoi berhenti sejenak di Kampung Lejong sebelum memasuki laluan di kawasan ladang sepanjang 3.9 km. Jam menghampiri 6.30 malam dan suasana yang mulai gelap dan pemanduan merentasi kawasan ladang juga perlu lebih berwaspada biar pun tidak melibatkan laluan off-road. Selepas memandu kira-kira 30 minit, konvoi berhenti sekali lagi di Rumah Panjang Tindakon Dazang untuk makan malam.

Selepas berhenti rehat hampir dua jam, konvoi diteruskan menuju ke resort penginapan di Tanjung Simpang Mengayau Merrimas Villa sejauh hampir 40 km yang mengambil masa selama 45 minit. Perjalanan keseluruhan sejauh hampir 200 km pada hari tersebut cukup meletihkan namun memberikan pengalaman pemanduan yang amat bermakna, terutamanya mengendalikan Triton merentasi laluan off-road.

D71_8290

Keesokan harinya, konvoi kembali ke Kota Kinabalu tetapi menggunakan jalan bertar sepenuhnya. Perjalanan sejauh 210 km itu mengambil masa selama hampir dua jam sebelum sampai di Pacific Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Secara konklusinya, Triton baharu ini tampil dengan elemen serba-serbi sederhana. Prestasi kuasanya, pengendalian dan keselesaan juga bersifat sederhana. Namun ia merupakan jentera trak pikap yang berbaloi untuk dimiliki.

Selain itu, ia juga tampil dengan imej yang lebih maskulin, sporty dan agresif. Lihat sahaja bahagian hadapan pikap ini, kehadiran gril 3D bersama kekemasan krom dengan rekaan hud yang sporty cukup menyerlahkan gayanya.

Bagi varian VGT Adventure, ia menampilkan lampu utama auto Xenon HID dengan lampu nyalaan siang (DRL). Ia turut dilengkapi dengan lampu kabus, bampar pemijak belakang serta perumah cermin sisi krom dengan indikator. Turut diserlahkan lagi dengan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 245/65 R17.

Rekaan yang bersifat aerodinamik juga jelas kelihatan pada bahagian sisi pikap ini. Ia mampu memberikan seretan angin sehingga 0.42Cd iaitu terbaik di dalam kelasnya. Sekali gus memberikan penjimatan bahan api, kuasa pendikit yang lebih jitu dan juga mengurangkan bunyi angin dari meresap masuk ke dalam kabin.

mitsubishi-0048

Dengan teknologi penuh inovatif J-Line, ruang kabin juga ternyata lebih luas dan selesa. Ia juga memberikan lebihan ruang untuk kargo.

Bagi bahagian kabinnya juga menampilkan perubahan yang agak besar dan jauh berbeza berbanding model terdahulu. Ia juga dilengkapi dengan butang penghidup enjin, sistem audio enam-speaker dengan skrin sesentuh bersama fungsi pemain CD, MP3 serta sambungan USB.

Selain itu, ia memiliki Arahan Suara, kamera undur, penghawa dingin zon-berkembar, roda stereng tiga-dan kawalan kelajuan. Manakala tempat duduk balutan kulit pada VGT Adventure ini terasa sedikit keras dan tidak begitu selesa sekiranya melibatkan perjalanan yang jauh dan lama (penulis lebih menyenangi fabrik seperti varian Triton yang lain).

Bagi aspek keselamatan pula, Triton baharu ini turut didatangkan dengan ABS, EBD, pengesan undur, Isofix, dua beg udara dan 3-poin tali pinggang keledar dengan pra-tekanan/pengehad bebanan. Walau bagaimana pun, ia tidak disertakan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

Mitsubishi Triton VGT Adventure ini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans, termasuk GST) RM117,462.50. Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi setiap pembelian model Triton 2015 ini. Selain itu, ia juga ditawarkan dengan dua tahun servis percuma.

Anda boleh melihat senarai spesifikasi dan harga penuh bagi lain-lain varian Triton baharu ini di laman web CarBase.my.

GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required