Bersabar mampu elakkan nahas di jalan raya

20160329_0383

Musim perayaan di Malaysia sering dikaitkan dengan nahas jalan raya. Memang menyayatkan hati apabila kepulangan orang tersayang yang dinanti, sebaliknya yang tiba di halaman rumah ialah van jenazah.
Saban tahun, untuk tempoh dua minggu musim perayaan Aidilfitri, kematian yang dicatatkan sehingga mencecah 280 nyawa. Ini adalah satu angka yang amat tinggi dan dalam banyak keadaan, kemalangan boleh dielakkan tanpa menyalahkan takdir semata-mata.

Walaupun faktor persekitaran jalan raya dan kenderaan turut menyumbang kepada kemalangan, faktor utama tetap bergantung kepada individu yang mengendalikan kenderaan. Penyelidik keselamatan jalan raya Sabey dan Taylor merumuskan pada 1980 bahawa 94% daripada punca kemalangan melibatkan faktor manusia.

Memandangkan jalan raya semasa musim perayaan dipenuhi kenderaan, terutamanya untuk perjalanan jauh, kemungkin untuk terlibat dalam kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan hari biasa. Oleh itu, setiap pengguna jalan sama ada penunggang motosikal atau kereta, hendaklah beranggapan bahawa risiko menggunakan jalan raya adalah lebih tinggi pada musim perayaan.

JPJ_EMERGENCY_LANE1

Secara umumnya, kemalangan boleh dielakkan jika setiap pengguna jalan raya mempertingkatkan tahap kesabaran serta bertolak-ansur, selain daripada bertawakal, sama ada pada masa musim perayaan atau pun pada hari biasa.

Sikap ini boleh diterjemah dalam berapa sikap terpuji seperti mematuhi hadlaju yang ditetapkan, tidak memandu secara merbahaya seperti mengekori rapat dan menukar lorong sesuka hati, tidak memotong pada garisan berkembar, tidak memotong barisan, tidak menggunakan lorong kecemasan, memakai topi keledar secara betul, memakai tali pinggang keledar, memakaikan alat pengekang untuk kanak-kanak (contohnya, kerusi keselamatan), mengelakkan diri dari menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau ubat, tidak memandu dalam keadaan mengantuk dan letih, dan lain-lain.

Selain itu, pengguna jalan yang bijak juga mesti tahu membaca risiko kerana kebolehan untuk membaca risiko akan membantu pemandu atau penunggang untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kemalangan berlaku. Contohnya, risiko kemalangan adalah lebih tinggi ketika jalan licin atau hujan dan gelap.

Crash accident collision

Bagaimana pun, artikel ini menekankan kepada sikap sabar dan beberapa perkara yang boleh dipraktikkan untuk keselamatan yang optima. Bukankah sebulan berpuasa mendidik kita untuk menjadi orang yang sabar. Pengguna jalan yang sabar pastinnya tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa impak kemalangan adalah bergantung kepada kelajuan. Kelajuaan sewaktu pelanggaran akan membezakan sama ada ia membawa kepada kemalangan maut, kecederaan serius atau pun kecederaan ringan. Pada kelajuan tinggi, sekiranya ada objek pada laluan seperti kenderaan rosak, pemandu akan terlewat untuk bertindak, manakala kenderaan pula akan memerlukan jarak yang lebih jauh untuk berhenti. Sekiranya berlaku pelanggaran, sudah tentulah impaknya adalah lebih besar.

Pemandu yang sabar juga tidak akan mengekori kenderaan hadapan pada jarak dekat dalam kelajuan yang tinggi. Sikap pemandu yang suka ‘mencucuk’ atau ‘tailgate’ ini merupakan satu sikap yang amat kurang bijak kerana ia meletakkan pemandu dan penumpang pada risiko yang amat tinggi semasa melakukannya.

volvo self-driving cars 01

Bayangkan anda ‘mencucuk’ kenderaan depan pada kelajuan 110 km/j hanya pada jarak kurang dari satu kenderaan, apakah akan terjadi sekiranya kenderaan di hadapan terpaksa membrek secara mengejut atas sebab-sebab tertentu?

Kerap kali kemalangan di lebuh raya melibatkan banyak kenderaan sekaligus, dan ini biasanya disebabkan mereka saling mengekori rapat di antara satu sama lain pada kelajuan tinggi. Oleh itu, jarakkan kenderaan anda dengan mempraktikkan apa yang dipanggil jarak ‘two-second rule’ yang dipelajari di sekolah memandu. Ketika jalan basah, tingkatkan daripada 2-saat ini kepada 3 saat atau lebih, selain daripada memperlahankan kenderaan, bagi membolehkan anda berhenti atau mengelak dalam keadaan kecemasan.

Di negara Jerman, pemandu di lebuhraya digalakkan menggunakan formula ‘kelajuan di bahagi dua’ untuk menentukan jarak selamat mengekori kenderaan hadapan. Katakan anda memandu pada jarak 100 km/j, maka jarak selamat untuk mengekori kenderaan hadapan ialah 50 meter, dan sekiranya ada memandu pada 60 km/j, maka ruang 30 meter mesti dikosongkan antara kenderaan anda dengan kenderaan yang diekori.

driving

Pengguna jalan yang bersikap sabar juga tidak akan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang seperti menggunakan lorong kecemasan. Mungkin masih jelas dalam ingatkan kita peristiwa bagaimana paramedik gagal untuk menyelamatkan nyawa dua adik beradik yang mengalami kemalangan di lebuh raya kerana ambulan tersekat pada lorong kecemasan.

‘Madrasah Ramadan’ bukan sahaja mengajar kita soal agama, tetapi meliputi akhlak kita secara meluas, termasuklah di jalan raya. Oleh itu, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kita tidak mampu memanifestasikan menjaga akhlak yang baik walaupun sudah sebulan berpuasa. Ini bukan sahaja boleh mengancam nyawa kita dan ahli keluarga sendiri, malahan mereka yang tidak berdosa.

Oleh itu, bersabarlah di jalan raya terutamanya apabila berlaku kesesakan yang teruk. Elakkan nahas hanya kerana kegagalan kita untuk bersabar dan bertolak ansur sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Artikel ini disumbangkan oleh Yusof Ghani dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required