Mazda memperkenalkan teknologi SkyActiv-Vehicle Dynamic – G-Vectoring Control pada Mazda 3 facelift

Jika anda seorang peminat manga atau siri anime Initial D, anda tentu biasa dengan aksi Fujiwara Takumi meletakkan secawan air pada pemegang cawan yang ditempatkan pada papan pemuka AE86 beliau, dan memandunya dengan laju tanpa menumpahkan sedikit pun air di dalam cawan tersebut. Aksi berkenaan sebenarnya menunjukkan bagaimana lancarnya teknik pemanduan Takumi dalam mengawal peralihan daya-G pada keretanya bagi mengekalkan pergerakan dinamik kereta agar sentiasa stabil sepanjang pemanduan.

Tetapi, dengan teknologi automotif berkembang begitu pesat sekarang, cukuplah dengan teknik pemanduan ‘biasa-biasa, anda masih boleh memandu dengan lancar seperti pemandu profesional. Mazda kini telah mengumumkan teknologi G-Vectoring Control terbaharu mereka buat pertama kali yang diletakkan di bawah sistem SkyActiv-Vehicle Dynamic menerusi model Mazda 3 facelift yang baharu sahaja diperkenalkan.

Teknologi baharu ini direka untuk meningkatkan deria pemandu terhadap hubungan mereka dengan kereta, seperti konsep yang digelar Jinba Ittai – iaitu hubungan yang menyatukan antara kuda dengan penunggang. Untuk mencapainya, teknologi ini menghubungkan kawalan antara enjin, transmisi, casis dan badan SkyActiv Mazda untuk memberikan perasaan yang lebih terus dan semula jadi kepada pemandu.

Untuk teknologi G-Vectoring Control (GVC), tiada komponen hardware ditambah, di mana sistem ini masih menggunakan penggerak dan penderia sedia ada untuk sistem dinamik pemanduan lain seperti ABS-EBD, VSC dan sebagainya. Ia cuma menerima perisian baharu yang akan mengawal tork dari enjin berdasarkan input dari tindak balas stereng, untuk mengawal daya-G arah sisi dan arah membujur.

P1J12779s_BM

Secara asasnya, ia berfungsi seperti sistem kawalan cengkaman di mana sistem berkenaan akan memotong kuasa dari enjin apabila mengesan kenderaan mula kehilangan cengkaman. Untuk sistem GVC pula, ia akan mengawal pendikit enjin – dan mungkin akan menambah kuasa jika perlu – untuk mengoptimakan beban pada setiap roda, menjadikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar dan lebih cekap.

Apabila pemandu menghampiri selekoh dan mula memusingkan roda stering, GVC akan memotong tork dari enjin. Ini akan menyebabkan berat dan daya-G dari belakang dialihkan kehadapan seterusnya meningkatkan cengkaman pada roda hadapan, dan turut meningkatkan tindak balas kereta. Ini akan mengelakkan pemandu dari membuat pembetulan stereng yang tidak perlu semasa mula memusing stereng, yang akan menyebabkan pergerakan seperti jongkang-jongkit.

Setelah pemandu selesai masuk ke selekoh dan mengekalkan sudut pusingan stereng yang malar, tork dari enjin akan disalurkan semula untuk mengalihkan berat dan daya-G kembali ke bahagian belakang, seterusnya meningkatkan kestabilan kereta. Hasilnya, pergerakan kereta akan dirasakan lebih mudah untuk diagak semasa mula masuk dan keluar semula dari selekoh, serta input dari stereng akan menjadi lebih lancar.

Menurut Mazda, helah sebenarnya yang digunakan dalam G-Vectoring Control ini adalah, sistem berkenaan bertindak balas dengan cepat dan tepat sehingga pemandu tidak sedar kesannya – ketika nyah pecut bacaan daya-G dicatatkan pada atau di bawah 0.01G. Sistem ini membolehkan perasaan semula jadi ketika memandu kereta berkenaan dipertingkatkan, sebagaimana ia bertindak balas bersama dengan deria manusia.

01_W_E_text_160426

Sistem ini turut mempertingkatkan kestabilan dalam laluan lurus. Kita mungkin tidak sedar, walaupun dalam laluan lurus, kita masih lagi membuat pembetulan pada roda stereng. Pembetulan ini walaupun dilihat begitu kecil, ia akan mendatangkan kelesuan kepada pemandu terutamanya dalam jarak perjalanan yang jauh.

GVC juga mempertingkatkan kesan terhadap pembetulan stereng yang kecil, seterusnya mengurangkan jumlah pembetulan roda stereng yang perlu dilakukan. Peralihan daya-G yang lebih lancar turut mengurangkan pergerakan badan dan kepala penumpang dalam kenderaan, seterusnya memberikan perjalanan yang lebih selesa untuk semua orang di dalam kereta.

Mazda turut menambah, kerana sistem ini telah pun mempertingkatkan pengendalian dan kestabilan menerusi beban menegak pada tayar yang dioptimakan, ia akan lebih efektif jika digunakan dalam keadaan jalan yang basah atau bersalji, serta permukaan jalan yang teruk dan dapat menstabilkan kenderaan semasa pergerakan mengelakkan halangan yang dilakukan secara agresif. Sistem ini menawarkan perasaan ketika memandu yang lebih bagus serta cengkaman tayar pada jalan yang lebih baik dalam apa jua keadaan, memberikan perasaan selamat yang lebih terjamin.

GALERI: Mazda 3 facelift 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required