PANDU UJI: Perodua Bezza 1.0L dan 1.3L Dual VVT-i baharu – percaturan pertama P2 bagi model sedan

Perodua Bezza Sedan  025

Terma “Mengubah permainan” bukanlah sesuatu yang luar biasa sejak kebelakangan ini, malah ia semakin banyak berlaku, apabila sesuatu model kereta itu ‘merombak’ segmen yang biasanya dipertaruhkan.

Misalnya Kia Optima K5 facelift yang diperkenalkan di Malaysia dan terbaru, ia turut dilakukan oleh Volkswagen menerusi model terbaharunya, Vento. Dengan elemen yang lebih menonjol, misalnya rekaan yang cukup bergaya bagi K5 dan penjana kuasa yang lebih sofistikated bagi model Polo Sedan facelift, pendahulu dalam segmen ini dilihat lebih mewarnai industri. Begitu juga dengan perubahan yang dilakukan pada Honda Civic generasi ke-10 yang dilihat telah menyuntik kesegaran bagi segmen-C yang sedikit malap.

Inilah yang dikatakan sebagai perubahan dalam permainan, sesebuah kereta itu bukan setakat mampu terjual dalam jumlah yang besar, namun telah mengubah status kebiasaannya dalam industri automotif Malaysia sendiri. Bagai suatu kejutan, apabila pendahulu pengeluar kenderaan di Malaysia sejak sedekad ini rupanya dalam diam-diam merancang untuk menghasilkan model sedan. Malah ia bukan sekadar fantasi atau omong kosong. Nah! Ia sudah menjadi realiti… memperkenalkan Perodua Bezza!

Nota: Kami tidak dibenarkan memaparkan imej penuh keseluruhan luaran model ini, hanya sedikit sudut-sudut tertentu sahaja.

Perodua Bezza Sedan  001

Nampak gayanya pertempuran tidak terhenti, malah kian rancak dan mempamerkan kejagoan masing-masing. Sejak sekian lama, bagi pengguna yang mahu membeli kereta pertama dan mereka yang mencari model hatchback bajet, pastinya Perodua akan menjadi pilihan. Sekaligus membuatkan syarikat yang bertapak di Rawang ini telah berjaya menyingkirkan persepsi “orang Malaysia tidak menyukai hatchback” (benar, keretanya memang boleh dipercayai dan menawarkan nilai yang baik).

Memiliki ruang kapasiti yang diperlukan, termasuk tempat penyimpanan barang terutamanya jika mahu pulang ke kampung atau membeli-belah, tentu ia mendorong faktor keutamaan bagi sebuah keluarga yang makin membesar, pastinya mahu mencari semua kenderaan yang lebih besar, hatchback mungkin bukan jawapannya. Melainkan bagi keluarga yang kecil dan tidak memerlukan ruang kapasiti yang begitu luas.

Justeru, kebiasaanya golongan seperti ini akan beralih kepada Proton, dengan menjadikan Saga, Persona dan Preve sebagai pilihan berlainan bajet. Bagi yang lebih berkemampuan, pastinya akan memilih Honda City, Toyota Vios dan yang seangkatannya dengannya. Dan kini mereka sudah memiliki pilihan baharu.

Pertengahan bulan lalu, kami telah diberi peluang secara eksklusif untuk melihat sendiri Perodua Bezza sedan baharu ini di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh. Sesi tersebut turut melibatkan pandu uji model sedan ini di litar ujian baharu milik Perodua, yang menggabungkan pemanduan umpama “di jalan raya yang sebenar” ibarat memandu di Lebuhraya Utara-Selatan yang memiliki beberapa corak jalan termasuk laluan berbukit seperti laluan berhampiran Gua Tempurung sebelum Ipoh, juga memiliki laluan lurus bagi kelajuan yang lebih tinggi.

Perodua Bezza Sedan  015

Bagi kami, ini bukanlah sekadar pandu uji ‘biasa-biasa’, apatah lagi kami adalah ‘orang luar pertama’ yang berkesempatan melihat model dengan kod nama D63D ini di depan mata (dua lagi rakan seindustri turut mendapat peluang ini dalam minggu yang sama). Dan tidak seperti pengeluar kereta nasional yang lain, Perodua memang cukup berahsia dan berjaya menyembunyikan ‘anak bongsunya ini’ daripada menjadi intipan ramai, sebelum tiba masanya untuk memperkenalkannya kepada umum.

Selepas melalui beberapa pemeriksaan keselematan, kedatangan kami disambut oleh ketua jabatan R&D Albert Ngu bersama pasukannya. Ternyata mereka berkongsi rasa bangga kerana berjaya melahirkan D63D ini. Nama ‘Bezza’ (yang pernah diletakkan pada model konsep yang dipamerkan di KLIMS 2010) telah diputuskan bagi model ini dan namun ketika sesi pengenalannya, Perodua masih tidak mendedahkannya, malah telah menutup namanya dengan pelekat. Memang penuh berteka-teki apakah nama yang didaftarkan bagi model ini.

Kini, Bezza bukan sekadar kereta yang begitu cantik. Ini kerana sedan yang dibina berdasarkan model hatchback yang kecil kebiasaannya tidaklah begitu menambat perhatian mata. Apabila sebuah kereta yang memiliki dimensi yang agak kompak dan ruang butnya tidak sebesar mana, apabila ia ‘diadaptasi’ menjadi sedan, ia cuma dipanjangkan dan ditinggikan sedikit.

Perodua Bezza Sedan  020

Tetapi itu bukanlah suatu keutamaan yang patut dipertimbangkan. Memang banyak model kereta yang sebegitu sebelum ini (Honda City, Suzuki SX4 sedan, Ford Fiesta sedan), dan Perodua telah melakukan usaha terbaik bagi Bezza. Namun ia bukanlah Axia yang kini sudah ada but lebih panjang, juga tidak seperti “Iriz sedan’ akan datang yang diperkenalkan sebagai Persona baharu. Kerana Bezza ada sentuhan yang tersendiri.

Jika sebelum ini, model-model Perodua banyak mengikut rekaan oleh Daihatsu, tetapi bagi sedan ini, ia adalah 100% rekaan asli yang direka di Rawang untuk Malaysia. Memang ada kekurangannya termasuk pada rodanya yang cuma bersaiz 14-inci, tetapi bagi rekaan sebuah model kereta dengan memiliki ruang but ini, kami rasakan ia adalah usaha yang wajar menerima pujian. Apa pendapat anda?

Sedikit persamaan dengan Toyota Corolla Altis pada bahagian lampu utama dan gril, dan bahagian belakangnya juga tidak jauh beza dengan model Corolla Axio dan Vios. Rekaan yang ringkas untuk sebuah kereta yang ringkas, mungkin itu yang diterjemahkan. Toyota yang dimiliki sepenuhnya oleh Daihatsu, iaitu rakan kerjasama Perodua, mungkin tidak kisah menjadi rujukan untuk model ini.

Manakala kluster lampu belakangnya pula sedikit menyamai Civic FB generasi terdahulu, dan Bezza turut menampilkan LED umpama gaya-Korea, yang juga digunakan pada model asal Myvi. Tetapi ia tidak dilengkapi dengan lampu utama projektor.

Sirip yang nipis pada tiang-A dan sudut lampu belakang juga adalah bagi meningkatkan ciri aerodinamiknya, iaitu pada daya seretan 0.286 Cd, sekaligus menyumbang pada penjimatan bahan api yang lebih efisien. Bukan itu sahaja, dengan lantai yang lebih landai, ia turut membantu aliran udara yang lebih lancar, pertama dari Perodua. Juga terbaharu dari Perodua, logo pada bahagian bootlid, yang memberikan gambaran teknologi terkininya. Bagaimana pula dengan “Dual VVT-i” dan “Eco Idle”?

Sedan ini memang menggunakan platform Axia, tidak seperti yang diperkatakan sebelum ini ia adalah “Myvi sedan”. Axia memiliki jarak roda selebar 2,455 mm dan ia dikekalkan, tetapi juntaian bahagian hadapannya telah dipanjangkan dan tambahan bagi ruang but membuatkan sedan ini 510 mm lebih panjang berbanding hatch. Ia juga berkongsi ukuran lebar iaitu 1,620 mm dan ketinggian 1,500 mm, tetapi tidak berkongsi panel badan dengan Axia.

“Apa perbezaannya dengan Proton Saga?” pasti pertanyaan ini akan diajukan. Ukuran dimensinya lebih kecil dari model Proton itu. Ia 128 mm lebih pendek, 60 mm lebih kecil dan 20 mm kurang tinggi, dengan jarak roda kurang 10 mm.

Tetapi soal ukuran ini, mungkin boleh ditimbal balas dengan pakej yang lebih menarik, dan itu yang Perodua lakukan. Selain ukuran panjang dan jarak roda, D63D ini memiliki 32 mm lebih bagi jarak tandem (jarak antara penumpang hadapan dan belakang), berbanding Saga. Malah Bezza juga lebih tinggi berbanding Vios iaitu sebanyak 3 mm. Ruang kepala pada bahagian tempat duduk belakang sama dengan Axia.

Memilih Bezza berbanding Axia atau Myvi pastinya atas faktor ia lebih sesuai untuk keluarga dan memiliki ruang but yang lebih luas. Malah ruang butnya berkapasiti 508 liter, hampir lebih 100 liter berbanding Saga (413 liter), dan mampu memuatkan tayar simpanan bersaiz penuh. Malah ia juga dua liter lebih besar berbanding ‘abang tirinya’, Toyota Vios.

Kelebihan lain ialah, tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 tetapi tidak secara rata. Bukan itu sahaja, tempat duduk pemandu juga boleh boleh berbuat begitu juga, dalam “Mod Santai”. Walau pun tidak seperti Honda Jazz yang tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan secara rata, namun Bezza juga cukup fleksibel bagi ruang dalamanya untuk sebuah sedan.

Ruang dalaman dan pakej pasti akan menjadi faktor utama jualan bagi Bezza, malah terdapat beberapa kelebihan lain yang akan membuatkan bilik pameran Perodua ‘bergegar’ dengan kunjungan ramai. Ini termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin yang pertama kali ditampilkan bagi model Perodua, serta elemen lain termasuk Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki, yang kesemuanya adalah untuk varian spesifikasi tertinggi 1.3 Advance.

Malah ia turut menampilkan unit utama skrin sesentuh double-DIN dengan Mirror Link atau Perodua menggelarnya sebagai “Smart Link” . Ia boleh disambungkan terus pada telefon pintar dan aplikasi seperti Waze dan Google Maps yang akan dipaparkan pada skrin. Strim muzik menerusi Bluetooth juga ditampilkan termasuk fungsi panggilan telefon. Untuk memudahkan pengecasan gajet, USB port (5V/2A) ditempatkan di bahagian konsol tengah.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, pasti mahu tahu berkenaan spesifikasi mekanikalnya bukan. Bezza hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0 liter tiga-silinder dan 1.3 liter empat-silinder.

Kedua-duanya adalah unit enjin baharu bagi Perodua, termasuk 1KR-VE 1.0L yang tidak sama pada Axia iaitu 1KR-DE2. Enjin KR turut menerima pemasaan injap bervariasi VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), dengan nisbah mampatan yang lebih tinggi, geseran yang berkurangan dan pembakaran yang lebih baik – bagi memberikan penjimatan lebih efisien untuk penggunaan bahan api, lebih baik dari Axia. Enjin ini mampu memberikan kuasa sehingga 67 hp pada 6,000 rpm dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm berbanding Axia hanya 66 hp pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm.

Perodua mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 21.3 km/l bagi sedan 1.0L, berbanding 20.1 km/l bagi Axia, kedua-duanya dengan automatik empat-kelajuan dan memiliki mod ECE. Bagi varian manual lima-kelajuan pula dengan 22.8 km/l.

Perodua Bezza Sedan  045

Kini, tidak ramai pun yang membeli kereta dan harap dapat mencapai angka penggunaan bahan api yang didakwa oleh pengeluar, tetapi sebagai daya penarik. Lebih kurang penggunaan bahan apinya, lebih ramai yang ingin memilikinya. Contohnya, Axia.

Bagi enjin 1.3 liter baharu bagi Toyota tetapi bukan yang sama seperti Myvi (K3-VE, 90 hp, 117 Nm). Unit 1NR-VE ini dibuat di Asia dan diperkenalkan pada model facelift bagi Toyota Avanza/Dahaitsu Xenia di Indonesia pada tahun lalu, dan mampu memberikan kuasa sehingga 94 hp pada 6,000 rpm dan tork 121 Nm pada 4,000 rpm bagi Bezza. Enjin berkapasiti 1,329 cc ini dibuat di Sendayan, Negeri Sembilan, bagi penggunaan domestik.

Barisan enjin NR (temasuk 1.5L bagi Avanza) didatangkan dengan Dual VVT-i, salutan teflon untuk omboh (bagi mengurangkan geseran dan menambah baik ketahanan), water jackets yang lebih besar (bagi penyejukan yang lebih bagus, mempertingkatkan pembakaran, mengurangkan bunyi bising), lengan jumpelang (roller rocker arm) (mengurangkan geseran antara lengan jumpelang dan aci sesondol) dan palam pencucuh iridium (1.0L KR bagi Bezza dan Axia turut menggunakan elemen yang sama).

Penggunaan bahan api sedan 1.3L ini adalah sekitar 21.7 km/l bagi MT dan 22.0 km/l untuk AT empat-kelajuan. Varian AT lebih jimat kerana ia turut didatangkan dengan Eco Idle (sistem henti melahu), kereta pertama keluaran Malaysia yang menampilkan auto start-stop. Bezza boleh menyertai Mazda 2 bagi kereta di bawah RM100k yang menampilkan ciri ini, yang sebelum ini hanya pada model hibrid dan premium Continental. Dengan adanya ciri ini juga, Perodua mendakwa ia akan memberikan lebih kilometer dari setiap liter petrol.

Tambahan bagi Eco Idle pada 1.3 Advance, janaan semula pembrekan juga hanya untuk varian spesifikasi tertinggi itu sahaja. Semasa kereta dipacu dan dibrek, kuasa tenaga akan digunakan untuk mengecas bateri kereta, bermakna semasa kereta bergerak, bebanan pada alternator dan enjin dapat dikurangkan.

Bukan itu sahaja, kerangka Bezza juga diperbuat dari keluli tegangan tinggi, bermakna berat badannya juga telah dikurangkan tanpa berkompromi soal ketegarannya. Bezza hanya seberat antara 865 kg bagi varian asas 1.0 MT hingga 930 kg bagi model tertinggi 1.3 Advance. Kurang berat = penjimatan bahan api yang lebih baik.

Perodua juga bekerjasama dengan Bridgestone dan Silverstone dalam membangunkan varian yang unik untuk tayar yang digunakan bagi modelnya, bagi mengurangkan rintangan gulingan. Kedua-duanya menggunakan tayar 175/65 R14 (BS Ecopia bagi 1.3, Silverstone untuk 1.0) yang memiliki 10% kurang rintangan gulingan berbanding tayar yang digunakan oleh Axia. Dengan ini, peningkatan aeronya juga ditonjolkan, menyumbang penjimatan bahan apinya. Dan sedan baharu ini juga adalah Kenderaan Jimat Tenaga (EEV).

Perodua juga tidak berkompromi aspek keselamatan. Bezza telah menjalani ujian pelanggaran dan menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP bagi 1.3L Advance, di mana VSC adalah standard. Varian lain pula menerima penarafan empat-bintang, markah penuh bagi kereta yang tiada VSC.

Semua varian turut menerima dua beg udara, ABS dan cagak Isofix. Bantuan Mula Mendaki, akan menahan kereta selama dua saat dari menurun, selepas kaki dilepaskan dari pedal brek, ia boleh didapati pada 1.3 Advance. Perodua juga akan menjual kerusi khas kanak-kanak di bawah jenama aksesori GearUp pada harga yang berpatutan.

Bezza juga menampilkan pengingat pemasangan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, di samping pengingat untuk kunci/kunci pintar, brek parkir dan lampu. Butang pembuka/pengunci pada bahagian tengah papan pemuka juga lebih memudahkan, terutamanya bagi penumpang hadapan yang boleh menggunakannya tanpa perlu menghulurkan tangan ke pintu bahagian pemandu. Seperti mana Axia, Bezza juga didatangkan dengan penyangkuk beg tangan, yang begitu digemari oleh pemandu wanita, bersama penyangkut “tapau” di bahagian tempat duduk belakang. Boleh gantung air bungkus teh tarik! Juga kotak penyimpanan barang yang agak kecil di hadapan.

Kami diberi kesempatan untuk menguji tiga varian Bezza iaitu Standard G 1.0L MT, Standard G 1.0 AT dan Advance 1.3L AT, yang masih dibaluti penyamaran. Di antara Standard G 1.0L dan auto Advance, turut ditawarkan dalam pilihan ialah Premium X 1.3L MT dan AT, yang menerima motor Dual-VVT-i dan beberapa kit yang sama dengan Advance. Kesemua lima varian iaitu Standard G 1.0L MT, Standard G 1.0L AT, Premium X 1.3L MT, Premium X 1.3L AT dan Advance 1.3L AT.

Papan pemuka yang tinggi – dengan rekaan yang lebih kemas dan bersifat mesra pengguna. Berbanding rekaan kokpit pada Axia dan Myvi, Bezza pula lebih kemas dengan gaya ‘straight-cut’ dan kelihatan lebih matang.

Bagi varian Advance, ia didatangkan dengan sentuhan yang lebih menarik. Stereng balutan kulit dengan jahitan kontras nipis (termasuk pada tuil gear), tempat duduk balutan kulit dengan paten quilt, kekemasan hitam berkilat pada papan pemuka dengan sentuhan perak dan iluminasi merah antara dua dail, memberikan cita rasa yang lebih tinggi berbanding Vios sendiri.

Dengan adanya butang penghidup enjin, butang mematikan VSC dan Eco Idle pada stereng, tidak ada lagi suis kosong padanya. Sebaris dengan butang bagi unit utama dan penghawa dingin. Namun tombol gear yang pendek dan tebal seolah mengganggu sedikit pandangan. Material plastik yang digunakan agak keras, dan kurang selesa dipegang.

Namun rekaan bagi papan pemuka pada model asas Standard G memang biasa-biasa sahaja (tiada sentuhan hitam berkilat dan perak).

Pelarasan kedudukan pemanduan juga biasa sahaja. Stereng dan tempat duduk boleh dilaraskan. Tidak seperti kedudukan roda stereng pada Axia yang terlalu dekat dengan tempat duduk pemandu, terutamanya pemandu yang bertubuh sederhana atau besar.

Kami menguji varian 1.0L manual terlebih dahulu. Permulaan pemanduan yang agak menyenangkan dan kawalan secara manual juga membolehkan kami mengendali pergerakannya dengan lebih berkesan. Namun usah berharapkan sesuatu yang luar biasa dengan pergerakan enjinnya kerana ia menggunakan unit motor yang kecil.

Anjakan gearnya tidaklah sebagus model Honda mahu pun Suzuki Swift Sport, tetapi sesuailah bagi sebuah kereta bajet manual biasa.

Sedikit berbeza dengan pemanduan varian 1.0L AT, yang sedikit perlahan berbanding MT dan perbezaannya memang dirasai. Kekurangan kilasannya dipengaruhi oleh kotak gearnya, namun ini fenomena biasa bagi sebuat kereta AT.

Tetapi bagi varian 1.3L, dengan padanan Dual VVT-i, kotak gear automatiknya lebih bersifat responsif dan ketika kenderaan dipacu naik bukit, kuasanya masih dirasai dan kotak gearnya masih mampu bekerja dengan baik. Bagi jalan lurus, untuk mencapai kelajuan 150 km/j sebelum membrek, juga lebih mudah, berbanding sekitar 140 km/j bagi 1.0L.

Perodua Bezza Sedan  047

Walau bagaimana pun, kami tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap dinamik Bezza. Dengan ketinggiannya dan tayar yang lebih kecil, sekurang-kurangnya model ini juga mampu dipacu laju (pada pemukaan jalan yang kering). Bezza sedikit ringan, namun tidaklah terasa seringan Saga. Malah, Bezza lebih cekap.

Namun stereng terasa sedikit perlahan, biarpun radius pusingannya 4.5m membolehkan kereta ini dikawal dengan lebih mudah terutamanya memandu dalam kawasan bandar. Berkenaan dengan Eco Idle, ia lebih pantas berbanding beberapa model kenderaan Eropah, tetapi lebih perlahan jika dibandingkan dengan kereta hibrid Jepun. Tetapi tetap permulaan yang baik bagi jenama ini.

Secara konklusinya, Bezza memang terbaik bagi enjin 1.3L, berbanding 1.0L. Walau pun varian Advance mungkin tidak selengkap elemennya berbanding kereta buatan Jepun dalam segmen-B, namun ia lebih baik berbanding model asas di dalam segmen yang sama termasuk bagi City atau pun Vios.

Malah ia boleh dikatakan sebagai persaingan bagi “Toyota sedan” dan harganya dikatakan berada di antara Axia dan Myvi, membolehkan Bezza menduduki posisi yang lebih baik berbanding model Vios misalnya.

Bagi varian 1.0L, ia boleh dijadikan alternatif selain Axia yang harganya sedikit murah tetapi kurang ruang dalamannya. Tambah sedikit sahaja duit, anda boleh memilih Bezza, malah ia didatangkan dengan enjin yang dipertingkatkan dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.

Malah Bezza juga telah membuktikan ia sebuah kereta yang bagus kerana telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP bagi varian Advance dengan adanya VSC dan penarafan empat-bintang tanpa ciri berkenaan.

Perodua Bezza pastinya bakal mencetuskan fenomena yang tersendiri dan mampu bersaing hebat dengan dua model Proton yang bakal diperkenalkan iaitu Saga baharu dan Persona yang berasaskan Iriz. Malah Bezza mungkin akan lebih mendahului jika pasaran memihak kepadanya, berbanding dengan dua model Proton tersebut yang menentukan nasib dan masa depan jenama itu sendiri.

Tiada sebuah pun kereta yang sempurna, namun pastinya rakyat Malaysia memerlukan sebuah kereta yang berbaloi dengan penggunaan, kualiti dan pastinya nilai mata wang. Dan itulah yang ditawarkan oleh Perodua menerusi Bezza. Apa yang pasti, Bezza dilihat mampu mengangkat Perodua menjadi jenama yang lebih unggul dengan jualan yang pastinya lebih rancak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Amiehadz on Jul 14, 2016 at 2:36 pm

    Mamang tak sabaq dah aih tunngu lama dah perodua punya sedan yg penting jimat minyak macam myvi

    Like or Dislike: Thumb up 9 Thumb down 16
  • Hafriz on Jul 15, 2016 at 7:34 am

    Teknologi enjin dual vvti bezza 1.3cc, sama ke dengan teknologi dual vvti Toyota seperti yg terdapat pada model Altis, Sienta?

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 6
  • mahal tak padan dengan kecik

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 2
    • Ah Meng on Aug 17, 2016 at 9:40 am

      Kalau mahal, ambik Saga je Bro..

      Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
    • Bezza on Dec 22, 2016 at 9:47 am

      Kcik sbb sedan segmen A.mahal dr saga plk sbb spec xmcm saga.itu sbb full spec saga n full spec bezza brbeza harga.stdy psl spec kdua2 kereta dan slepas tu anda akan tahu knp bezza mahal dr saga.

      Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
      • Ah Chai on Apr 12, 2017 at 3:07 pm

        Saga top spec ada touch screen? Ada keyless entry & go? ada eco-idle? Leather steering & seat? Rim dual tone? Engine VVT dua baris (dual VVT)? Ada? Ada?

        Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 2
  • mahal

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
  • ahmad on Aug 19, 2016 at 4:17 pm

    komen saya..x berbaloi..mahal..kecik..x sedap bawa..x cantik..sekian

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 9
  • Traubohskali on Sep 01, 2016 at 5:44 am

    Apsal, kereta nasional. Tapi, harga x nasional. Bknnya x sokong kereta nasional, tapi, harga kereta nasional x tolong warga nasional.

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 1
    • Pakar on Nov 30, 2017 at 12:36 pm

      Kereta per0dua memang semua mahal2 belaka,b0dy tipis mcm tin sardin..ringan melayang..sebabnya nak tambah jimat minyak k0n0n..haha

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 5
 

Add a comment

required

required