Perodua Bezza – Perincian enjin 1.0L VVT-i, 1.3L Dual VVT-i, transmisi automatik 4-kelajuan dikemaskini

Perodua Bezza engines 1

Enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i

Seperti diketahui Perodua Bezza, sedan pertama dari Perodua hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0L dan 1.3L. Apa yang menarik ialah, kedua-dua enjin tersebut tidak sama dengan enjin 1.0L dan 1.3L pada model-model Perodua sedia ada.

Untuk model 1.0L, Bezza dikuasakan dengan enjin 1KR-VE. Enjin ini pada asasnya sama dengan enjin 1KR-DE pada Axia 1.0L, tetapi menerima pelbagai teknologi dan ciri terbaharu serta dibuat di kilang Perodua sendiri di Rawang. Berbanding enjin lama, enjin baharu ini menerima teknologi pemasaan injap bervariasi-pintar VVT-i (sebelum ini Perodua menggelarnya sebagai DVVT), nisbah mampatan yang lebih tinggi serta daya geseran yang dikurangkan.

Bermula dengan blok enjin. 1KR-VE menggunakan asas blok yang sama dengan 1KR-DE, tetapi sedikit perubahan dilakukan pada cagak manifold ekzos kerana 1KR-VE menggunakan manifold dengan rekaan yang dipertingkat. Ukuran gerek (bore) dan lejang pada silinder masih lagi sama iaitu 71×84 mm, tetapi rekaan pada omboh telah diubahsuai memandangkan omboh 1KR-VE bakal menanggung nisbah mampatan yang lebih tinggi.

Bagi tujuan mengurangkan geseran pada bahagian ini, enjin 1KR-VE direka agar ia boleh dilincirkan dengan minyak enjin bergred 0-20W.


Klik untuk besarkan

Bahagian kepala silinder merupakan bahagian yang menerima perubahan paling ketara, dimana ia menggunakan unit baharu sepenuhnya. Liang kemasukan direka semula bagi mendapatkan aliran udara yang lebih cekap, manakala perubahan yang dilakukan pada kebuk pembakaran dibuat untuk mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi iaitu 11.5 (berbanding 11 pada Axia). Seperti yang disebut tadi, enjin ini turut menerima sistem VVT-i, meliputi perubahan pada komponen pulley aci sesendol dan aci sesondol. Untuk mengurangkan daya geseran pada bahagian ini, lengan jumpelang enjin 1.0L Bezza menerima galas pengguling (roller bearing) serta alas pada penggerak injap (valve lifter) yang menerima kemasan super.

Sistem pancitan bahan api turut diperkemaskan. 1KR-VE dilengkapi dengan pemancit bahan api yang mempunyai badan lebih panjang, nozel lebih panjang, serta tip pada nozel baharu bagi mendapatkan semburan bahan api dalam kebuk pembakaran yang jauh lebih halus, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih baik. Manifold kemasukan juga diubah dengan rekaan lebih panjang, memberikan aliran udara ke kebuk pembakaran yang lebih efisien.

Berat keseluruhnan enjin ini juga agak ringan kerana keseluruhan binaan enjin ini hanya menggunakan bahan aluminium dan resin.

Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm. Namun, setelah saya memandu uji sendiri Bezza ketika sesi pandu uji media hari ini, kuasa 1 hp dan tork 1 Nm lebih berbanding Axia tersebut tidak terlalu terasa. Tetapi pastinya, sistem berkenaan mampu memberikan penggunaan api yang lebih cekap.

Perodua Bezza engines 10

Enjin 1NR-VE 1.3L VVT-i

Untuk enjin 1.3L pula, ia merupakan enjin baharu sepenuhnya yang digunakan oleh Perodua, menggantikan enjin 1.3L K3-VE yang telah digunakan sejak keluaran pertama Myvi 11 tahun lalu. Enjin baharu yang diberi kod 1NR-VE ini merupakan enjin yang sama boleh ditemui pada Toyota Avanza facelift dan diasaskan pembinaannya dari enjin K3-VE.

Secara spesifiknya, menurut Perodua enjin pada Bezza ini adalah 70% sama dengan enjin pada Avanza, berbeza sedikit pada talaan (berikutan berat Avanza dan Bezza yang berbeza) serta pada bahagian cagak enjin (Avanza pacuan belakang, manakala Bezza pacuan hadapan). Kilang memproduksi kedua-dua enjin berkenaan juga berbeza, di mana enjin Bezza diproduksi di kilang enjin Perodua, Sendayan Negeri Sembilan, manakala untuk enjin Avanza ia diproduksi di kilang enjin Toyota Karawang Indonesia.

Berbanding enjin K3-VE hanya mempunyai sistem VVT pada bahagian injap kemasukan sahaja, enjin 1NR-VE ini dilengkapi dengan sistem Dual VVT-i (untuk kedua-dua injap kemasukan dan ekzos) yang memberikan kecekapan pembakaran yang lebih bagus seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih besar serta penjimatan bahan api yang lebih baik.

Liang kemasukan dan kebuk pembakaran juga menerima perubahan untuk memberikan aliran campuran bahan api dan pembakaran yang lebih sempurna. Tambahan lagi, manifold kemasukan turut dipanjangkan bagi menambahkan kecekapannya.


Klik untuk besarkan

Dengan penambahbaikkan yang dibuat pada enjin 1.3 liter 1NR-VE ini, ia mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Berbanding K3-VE yang hanya berkuasa 90 hp dan tork maksima 117 Nm.

Untuk varian 1.3L Advance, ia dilengkapi dengan sistem Henti Melahu (Eco Idle) yang akan mematikan enjin dan menghidupkannya kembali secara automatik ketika kereta berhenti seketika (contohnya ketika berhenti di lampu isyarat atau menunggu giliran keluar simpang) bagi memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Ia juga dilengkapi dengan sistem ‘regenerative brake‘ yang akan memberikan cas tambahan kepada bateri ketika nyah pecutan (sama seperti sistem cas semula pada kereta hibrid) untuk menampung kuasa yang diperlukan oleh bateri bagi operasi sistem Henti Melahu.

Oleh itu, untuk varian 1.3L Advance ini, ia dilengkapi unit alternator dan motor penghidup yang lebih besar dan lasak, serta bateri yang berkapasiti jauh lebih besar dari varian lain.

Perodua Bezza engines 13

Sistem transmisi juga menerima talaan semula untuk memberikan kecekapan serta ‘feel‘ pemanduan yang lebih memuaskan. Peredam yang mempunyai jarak pergerakan yang lebih panjang dipadankan padu unit torque converter. Ini bertujuan untuk memanjangkan lagi tempoh ‘lock-up’ pada gear tiga dan empat, membolehkan pertukaran gear yang lebih stabil berikutan tempoh masa kedudukan yang lebih lama pada dua gear terakhir berkenaan. Tempoh masa potongan penghantaran bahan api ketika pedal pendikit dilepaskan (semasa nyah pecut) juga ditambah, bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih lagi.

Hasil gabungan enjin-enjin baharu dan kotak gear yang dikemaskini ini, membolehkan Bezza mencapai penggunaan bahan api yang lebih baik. Menurut Perodua, model 1.3L automatik mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21 km untuk setiap liter, dan model 1.0 liter manual pula mencatatkan 22.8 km untuk setiap liter. Model 1.0 liter varian automatik pula mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km setiap liter dipandu dengan mod ECE, berbanding Axia yang hanya mencatatkan 20.1 km untuk setiap liter petrol.

Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini di litar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca di SINI.

GALERI: Enjin 1.0L 1KR-VE

GALERI: Enjin 1.3L 1NR-VE

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • mengapa perodua bezza tidak stabil bila bawa 120km / jam.
    (macam naik sampan)

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 2
 

Add a comment

required

required