PANDU UJI: Subaru Forester pilihan yang berbaloi?

2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 1

Subaru Forester generasi ke-empat telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada April lalu. Ia memberikan persaingan hebat buat beberapa SUV seangkatannya termasuk Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Tiga varian ditawarkan dalam barisan model Forester facelift ini iaitu 2.0i dan 2.0i-P yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Segambut, manakala varian 2.0 XT yang lebih berkuasa diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Model asas Forester 2.0i dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM144,948, diikuti dengan 2.0i-P pada RM154,488. Model CBU 2.0i-L sebelum ini dijual pada harga RM163,590, namun menyaksikan versi facelift terbaharu 2.0i dan 2.0i-P ini lebih murah sebanyak RM18,642 dan RM9,102. Manakala untuk varian XT pula ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM211,729.

Varian 2.0i dan 2.0i-P dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

Bagi varian XT pula, ia dibekalkan dengan enjin boxer FA20 2.0 liter didesak dengan pengecas turbo dan sistem pancitan bahan api terus, membolehkan enjin tersebut menjana sejumlah 241 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,400 rpm hingga 3,600 rpm.

Kedua-dua jenis enjin ini menyalurkan kuasa kesemua roda Forester melalui kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD) Subaru.

Sistem X-Mode Subaru dilengkapi pada kesemua tiga varian Forester. Sistem tersebut akan mengawal enjin, transmisi, sistem AWD, brek dan lain-lain sistem selepas pemandu menekan hanya satu butang yang diletakkan di depan tuil gear untuk membantu mengawal kenderaan ketika menempuh permukaan jalan yang sukar. Sistem tersebut berfungsi pada kelajuan bawah 40 km/j, dan disertakan dengan fungsi Kawalan Penurunan Bukit yang berfungsi sekali ketika X-Mode diaktifkan.

Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, pegas dan penyerap hentak baharu juga ditala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

Bagi unit pandu uji ini, ia adalah dari varian 2.0i-P yang bezanya dengan model spesifikasi terendah cuma daripada sudut penggayaannya sahaja.

Bagi Forester 2.0i-P, ia dlengkapi dengan lampu utama projektor LED dinamik, dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C yang disambung pada gril baharu. Manakala lampu belakang juga dengan kombinasi LED berbentuk-C. Ia turut ditampilkan dengan lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang serta cermin sisi bersama indikator membelok.

Manakala padanan roda bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar Continental ContiMax MC5 225/60 menjadi pilihan (varian XT menerima roda 18-inci) .

Seperti mana rekaan luarannya, serlahan dalamannya boleh diibaratkan “sama tapi tak serupa” dengan model yang terdahulu. Material kulit tetap menjadi pilihan untuk membaluti pemegang pintu, ruang papan pemuka, roda stereng dan juga tempat duduk (yang standard bagi semua varian). Walau bagaimana pun, material sentuhan lembut pada papan pemuka memberikan citarasa yang lebih premium, tidak seperti yang ditampilkan pada CR-V.

2016 Subaru Forester 2.0i-P int 1

Penghawa dingin dua-zon juga ditampilkan tetapi tiada corong pada barisan kedua tempat duduk. Selain itu, kluster instrumen juga ditampilkan dengan rekaan grafik yang baharu serta paparan berwarna bagi TFT LCD.

Forester facelift ini juga dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan dan pedal aluminium. Juga terdapat dua port bagi USB, yang bukan setakat berfungsi bagi unit Kenwood tetapi juga sebagai pengecas peranti.

Paparan berwarna pelbagai-info juga diletakkan pada papan pemuka, selain unit utama Kenwood double-DIN tujuh-inci. Kekurangan di sini ialah paparan itu akan kurang jelas apabila berada di bawah terik matahari.

Roda stereng rekaan baharu dilengkapi dengan butang mod respon pendikit yang boleh dipilih dalam mod Si atau Intelligent, juga dilengkapi dengan butang Kawalan Kelajuan (hanya untuk varian 2.0i-P dan XT) dan juga penukar gear. Tuil gear turut diberi penampilan baharu, begitu juga pedal kawalan aluminium.

Ciri eksklusif lain yang disertakan pada 2.0i-P dan XT adalah tempat duduk hadapan pemandu penumpang larasan empat-hala berkuasa (dengan fungsi memori).

Tugas untuk memasukkan barang pada bahagian pintu tailgate belakang juga semakin mudah kerana Forester kini dibekalkan dengan pintu tailgate berkuasa lengkap dengan fungsi memori. Forester juga boleh dibuka tanpa kunci menerusi sistem akses kod PIN, yang membolehkan pemilik mengakses kereta mereka dengan hanya memasukkan PIN rahsia.

Ruang but yang sederhana luas iaitu dengan kapasiti 422 liter juga mampu menyingkirkan kegusaran sekiranya perlu membawa muatan yang agak banyak, terutamanya jika mahu balik ke kampung atau membeli-belah.

Saiz Forester berukuran 4,595 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,735 mm tinggi dengan jarak roda 2,640 mm. Secara keseluruhan, ruangan dalaman Forester jelas ringkas, tetapi ada elemen yang memang diperlukan.

Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Override, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

Bagi pengendaliannya, tidak dinafikan Forester ini mampu memberikan kepuasan dalam pemanduan. Kejuruteraan Subaru banyak memfokuskan untuk menambah baik sudut pengendalian dan pemanduannya. Ini termasuklah suspensi hadapan yang lebih keras, malahan peredam dan gegelung pegasnya telah ditambah baik. Sementara penjajaran bagi suspensi belakang juga telah ditukar.

2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 25

Bagi NVH pula, material kalis bunyi dan cermin tingkap yang lebih tebal banyak membantu mengelakkan bunyi bising luaran serap masuk ke dalam kabin.

Memandu dalam kawasan bandar, Forester masih mengekalkan keselesaan pengendalian. Sistem suspensi yang disemak semula banyak membantu memberikan keselesaan kerana jalan-jalan di Malaysia yang pelbagai (termasuk jalan beralun, berlubang dan sebagainya). Sesekali terasa Forester bagaikan ‘terbuai-buai’ terutamanya ketika memandu laju di jalan yang beralun, namun nasib baik ia tidak mencetuskan rasa yang tidak selesa.

Memacunya di lebuhraya, Forester ternyata lebih mantap dan kekal stabil, dan ia mampu mencapai 0-100 km/j dalam hanya 11.8 saat dan kelajuan maksimumnya pula ialah 192 km/j.

Malahan NVH yang ditambah baik itu mengurangkan kemasukan bunyi angin dan deruman tayar daripada memasuki kabin.

Bagi penumpang di belakang pula, ia mempunyai akses pada ruang letak kaki yang mencukupi. Manakala tempat duduk berkuasa bagi pemandu dan penumpang hadapan (tanpa sokongan lumbar boleh laras) dengan kedudukan sedikit tinggi pada kedudukan normal, bagi memberikan jarak penglihatan yang lebih baik, tetapi bagi orang yang tinggi, mungkin terasa kurang sedikit selesa.

Jika merentasi laluan yang berselekoh, terasa sedikit olengan badannya, tetapi tidaklah begitu ketara dan boleh diuruskan dengan mudah. Manakala kuasa kawalan stereng terasa sedikit perlahan, jadi jangan harapkan Subaru memiliki pengendalian terbaik hanya kerana logonya. Mungkin kawalan sterengnya lebih sesuai untuk pengendalian off-road. Jika anda mencari pengendalian yang lebih terbaik, mungkin boleh mempertimbangkan CX-5 atau X-Trail.

2016-Subaru-Forester-2.0i-P-Thailand-drive-15

Namun bagi penjana kuasanya, ia mampu menjalankan tugas dengan baik.Namun jika memerlukan pemanduan yang tergesa-gesa, desakan pada pedal pendikit boleh memberikan bunyi dari kesan CVT yang kurang menyenangkan. Cara terbaik, ringankan bebanan pada pendikit secara progresif dan rancang pengendalian lebih awal.

Apabila memandu dalam kelajuan yang agak tinggi di selekoh, terasa sistem AWD akan sentiasa membrek dengan cengkaman yang lebih sedikit, memperlahankan kembali jentera sehingga mampu dikawal semula. Malahan dengan kombinasi X-Mode, ia bertambah mantap. Apatah lagi jika mencuba laluan off-road dengan keadaan jalan yang berlopak atau licin. Ia lebih membantu kawalan jentera agar lebih optimum. Namun jika X-Mode ini tidak dihidupkan, Forester sukar dikawal apatah lagi jika melalui jalan yang berbatu, malah kurang daya cengkamannya. Hidupkan balik butang X-Mode, lantas jentera kembali dikawal dengan mudah.

Dengan X-Mode, ia mampu mengaktifkan lima perbezaan pengendalian termasuk mengehadkan kegelinciran roda. Permulaannya, kuasa pendikit jentera tidak mampu dicapai dengan pantas kerana ia memerlukan sedikit masa dari tindak balas pedal pacuan. Malahan sistem AWD dan transmisi juga masih mampu menyalurkan kuasa biarpun ketika dalam gear rendah dan mampu menghantar lebih kuasa bagi cengkaman yang lebih jitu.

2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 2

Selain itu, sistem Kawalan Dinamik Kenderaan telah ditala khas dengan menambah baik kawalan LSD agar pemandu dapat menggunakan brek dengan lebih pantas ketika jentera tergelincir.

Membantu dalam kawalan jentera, Kawalan Menurun Bukit yang mampu mengendalikan jentera antara kuasa pendikit dan brek secara automatik, sementara pemandu hanya perlu fokus pada kawalan stereng. Tetapi lebih baik jika memiliki paparan pandangan-sekeliling untuk mengenal pasti halangan yang berpotensi di sekeliling jentera.

Walau pun sistem ini bukanlah digunakan dalam pemanduan sehari-hari, namun ia memang banyak membantu sekiranya diperlukan terutamanya dalam pemanduan off-road.

Secara keseluruhannya, Subaru Forester baharu ini memiliki kedudukan yang lebih kukuh dalam pasaran SUV di bawah segmen-C. Ia memiliki pengendalian yang selesa, keupayaan dalam pemanduan off-road yang bagus dan kit elemen luaran serta dalaman yang mencukupi bagi sebuah SUV tahan lasak sepertinya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required