Modenas menaja lima buah motosikal dari model GT128 edisi Harimau Malaya bagi kembara Ride To Hajj 2016. Konvoi lima peserta itu bakal memulakan perjalanan esok (29 Julai 2016) dan akan meliputi perjalanan sejauh 11,500 km.
Idea kembara ini diusulkan oleh seorang ikon lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, 45, dan akan disertai oleh empat lagi individu; Haji Azman Baharuddin, 50, Meor Azhar Meor Raflan, 43, Othman Darus, 46 dan Napiah Mohd Noor, 50.
Majlis perasmian pelepasan konvoi akan diadakan selepas solat Jumaat esok di Dewan Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra. Perjalanan ke Mekah dijangka akan mengambil masa selama 45 hari dan merentasi tujuh buah negara, antaranya Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu sebelum sampai ke negara destinasi Arab Saudi.
Majlis penyerahan motosikal-motosikal tersebut telah berlangsung di Ibu Pejabat EON, Glenmarie, Shah Alam dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah.
“Kami memilih untuk menaja model Modenas GT128 kerana ia merupakan antara motosikal terbaik yang Modenas hasilkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abdul Kadir.
Modenas GT128 antara lain dilengkapi ciri-ciri seperti sistem TPS (Throttle Positioning Sensor), yang membantu dalam penjimatan petrol, salutan Molybdenum pada komponen piston, yang dapat mengurangkan geseran antara piston dan dinding silinder, sekaligus berupaya meningkatkan kecekapan, prestasi dan jangka hayat enjin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.