PANDU UJI: Proton Perdana 2016, banyak kelebihan?

Proton Perdana Test Drive 23

Proton Perdana 2016 yang dilancarkan Jun lalu mengundang banyak reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang memuji pengenalan semula model yang diasaskan daripada Honda Accord generasi kelapan ini, tetapi dengan tanda harga yang lebih rendah dan setara dengan kenderaan dalam segmen C.

Ada juga yang sinis, memandang usaha berkenaan sebagai ala kadar, kerana menurut mereka, apa yang diperlukan oleh Proton ketika ini ialah menghasilkan sebuah model kenderaan yang betul-betul menarik dan segar, dan bukan lagi bersandar pada model-model lama dari rakan strategiknya.

Untuk berlaku adil, Perdana 2016 bagi saya tetap mempamerkan beberapa hal yang tidak boleh diketepikan. Misalnya, dari sudut reka bentuk luaran yang dihasilkan. Setelah beberapa kali melihatnya di depan mata sendiri secara langsung, saya fikir pujian patut diberikan kepada pasukan pereka yang terlibat di dalam membangunkannya.

Yang ketara diwarisi dari Honda Accord hanyalah garis sisi badan kereta terbabit. Manakala selebihnya – iaitu sebahagian besar daripada reka bentuk luarannya – diberi nafas baharu oleh Proton sendiri. Ia mewarisi rekabentuk ala coupe, yang menyuntik elemen sporty yang tidak terlalu agresif pada imej keseluruhannya.

Dalam sesi pandu uji pengenalan kepada media bagi model ini, yang berlangsung di litar ujian Proton di Shah Alam Mei lalu pula, dari sembang-sembang santai bersama barisan jurutera Proton yang turut hadir, barulah jelas kepada saya pada tahap mana penglibatan Proton sebenarnya di dalam projek ini.

Seperti yang mungkin sudah diketahui ramai, Honda tidak membenarkan Proton untuk mengusik satu apa pun dari aspek kejuruteraan dan mekanikal ketika ingin membangunkan Perdana 2016, tentunya dengan sebab yang sangat jelas; dari hal-hal kejuruteraan dalamannya, ia tetap sebuah Honda Accord.

Hanya tayar yang digunakan sahaja dibangunkan khas oleh Proton dengan bantuan Goodyear, bertujuan untuk memberikan keselesaan yang optimum. Jangka masa yang ditetapkan juga sangat terhad untuk Proton melakukan banyak perubahan dari aspek kejuruteraan.

Namun, itu bukanlah pengakhirannya. Dalam tempoh dua tahun lagi – Proton menjangkakan penghujung 2017 atau awal 2018 – Perdana yang diperkenalkan ini akan menerima enjin baharu. Enjin 2.0L yang dibangunkan Proton sendiri, dikenali sebagai NE01, berdasarkan enjin kapasiti sama yang pernah dibangunkan oleh Petronas dahulu.

Sehingga masa itu tiba, perkara yang wajar dinilai ke atas Proton terhadap model Perdana ini hanyalah satu; kembali kepada reka bentuk luaran, yang dirombak hampir secara keseluruhannya oleh Proton. Di bahagian depan, terutama bagi varian 2.4L Premium, ia kelihatan sangat seimbang dan garang.

Gril utama yang lebih lebar dan panjang, begitu juga dengan kemasan krom di bahagian bawah bampar yang menyerlahkan penampilannya dari depan. Perincian pada bahagian lampu utama, dengan lampu nyalaan siang LED serta cetak nama Proton di bahagian dalamnya memperlihatkan kesungguhan Proton terhadap aspek ketelitian buatan.

Bahagian belakangnya turut menerima rekaan baharu yang menyeluruh. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ia nampak menjadi. Walaupun ada yang sinis menyatakan bahawa ia meminjam penggayaan reka bentuk dari model-model lain yang pernah disaksikan sebelum ini, namun ia juga membuatkan Perdana 2016 ini kelihatan lebih matang dengan identiti yang tidak boleh diperlekeh.

Seperti yang dapat dilihat pada varian 2.4L Premium, tambahan spoiler belakang, perincian krom dan susun letak lampu brek menyerlahkan karektor rekabentuk yang tersendiri. Satu perkara yang kurang saya gemari adalah pada bahagian diffuser; ia mengikut warna badan kenderaan, dan itu tidak menarik serta kelihatan sedikit ‘sibuk’ dengan pelbagai elemen rekaan.

Proton Perdana Test Drive 4

Di dalam perjalanan ke Melaka Isnin lalu, keselesaan di ruang kabin sempat diperhatikan. Walaupun tidak banyak perkara yang berubah – misalnya papan pemuka adalah sama seperti model Accord dulu – ruang menjadi satu kelebihan di sini. Baik di tempat duduk penumpang depan atau belakang, ruang yang tersedia sangat luas, baik bagi ruang di kaki dan kepala penumpang.

Satu perubahan yang perlu dinyatakan adalah penggunaan skrin dan sistem infotainmen yang baharu oleh Proton, yang terletak di bahagian bawah butang kawalan pendingin hawa, yang lengkap berserta sistem navigasi.

Dari sudut pemanduan, jika saya tak silap mengingat, tidaklah terlalu berbeza berbanding model asal Accord. Ia sangat selesa. Cuma, dalam kelajuan tinggu, sterengnya dirasakan mempunyai sedikit freeplay; stereng terasa ringan dan boleh dipusingkan sedikit tanpa melibatkan peralihan arah tayar. Saya tak pasti hal ini menjadi satu kelebihan atau kekurangan. Secara peribadi, saya lebih menghargai stereng yang bertambah berat, selari dengan kelajuan yang meningkat untuk memberikan keyakinan ketika mengendalikannya.

Selain berbeza dari segi penampilan kosmetik, varian 2.0L dan 2.4L Premium juga memberikan maklum balas pemanduan yang berbeza. Sebagai pemandu, saya lebih menggemari varian 2.0L, kerana ia dirasakan lebih ringan dengan respon yang lebih cepat, baik bagi pecutan, kilasan stereng dan ketika membrek.

Tetapi sebagai penumpang, varian 2.4L Premium mungkin lebih dinikmati. Kuasanya tertumpu pada rpm yang lebih tinggi, dan membolehkannya meluncur dengan kelajuan yang lebih berbanding varian 2.0L, tetapu tidak memberikan respon yang mendadak; ia perlu dikendalikan dalam keadaan pemanduan yang lebih tenang.

Untuk rekod, Proton Perdana 2016 ditawarkan di dalam dua varian sahaja; varian 2.0L pada harga RM113,888 manakala varian 2.4L Premium pula pada harga RMRM138,888. Bagi varian asas, ia menggunakan enjin R20 2.0L SOHC dengan janaan kuasa 154 hp pada 6,300 rpm dan tork 189 Nm pada 4,300 rpm. Bagi varian Premium, ia menggunakan enjin K24 2.4L DOHC dengan janaan kuasa 178 hp pada 6,500 rpm manakala tork 222 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya enjin i-VTEC sama pada Accord generasi kelapan.

Adakah wajar untuk memiliki Proton Perdana 2016? Jika melihat ia sebagai pilihan alternatif dengan penawaran harga yang sangat menarik, maka tentulah model ini sangat berbaloi. Terutama jika membandingkannya dengan pesaing dari segmen D yang sama. Jika harga tidak menjadi kekangan, maka pilihan yang tersedia sangat luas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Esther on Jul 28, 2016 at 7:57 pm

    Proton dah berubah… Keep it up!

    Like or Dislike: Thumb up 10 Thumb down 0
  • handalbual on Jul 28, 2016 at 10:56 pm

    tak dinafikan perdana 2016 mmg cantik dan semegah kereta buatan eropah. syabas kepada pereka bentuk proton, menghasilkan karya yg indah.
    takziah juga pada juruteknik dan jurutera proton BERMAZHAB PERFORMANCE. wlupun luaran karya anak tempatan, tenaga dan kawalan handling masih lagi karya jepun sedangkan karya performance milik tempatan masih terperam dlm otak dan tak dpt dioutput kepada hasil produk. sedangkan KILANG PROTON ADALAH KILANG OTOMOTIF PALING CANGGIH DLM DUNIA.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
    • Gaboi on Jul 29, 2016 at 4:20 pm

      Paling canggih.. tapi setahun dpt jual 60K unit sahaja setahun!

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 2
  • Bagi saya PERDANA baru ni nampak sangat cun. sangat mengancam kalbu. Mmg betul lampu belakang tu sangat unik dan distinctive. Dari jauh dah boleh cam yang itu Perdana, sama macam Iriz. dari jauh dah confirm itu iriz.

    Tapi……… saya SANGAT2 TERKILAN bila Perdana 2.0L tak ada ESC! Aisehmannnnnn Proton2… mmg tgh aim mungkin 2-3 tahun lagi boleh angkat 2.0L…aiyoo

    Kete besar mcm Perdana takde ESC mana boleh proton… sekali OVERSTEER confirm terguling masuk parit…Proton… mana boleh mcm ni…tolonglah kesian golongan middle class mcm aku kat Malaysia ni. Nak angkat kete segment D import semuanya mahal2. Elok2 ada 2.0L ni, boleh buat camni plak.

    Ko dah gah promote pasal Iriz punya safety dan itu dan ini. 5 star sana sini. ANCAP ASEANCAP itu cap ini cap. Preve dan Suprima safety mantap. dah macam Volvo of Asia. tapi kereta perdana yg mahal ni ko boleh tak letak ESC???

    BERTAUBATLAH!

    Satu langkah ke belakang. Tolonglah berubah!

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 4
    • Kalau cakap bodo marah… Tapi memang pun bodo… Perjanjian antara proton n honda, dimana honda tak nagi sentuh bab itu…

      Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 1
    • Ah Meng on Aug 17, 2016 at 9:38 am

      NCAP, bukan CAP.. New Car Accessment Program

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • bangsaproton on Sep 07, 2016 at 8:39 am

      honda tak beanrkan. nak tunggu yg pakai enjin baru insyallah ada.

      Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required