Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dijual di enam stesen di Lembah Klang, 30 stesen menjelang hujung tahun

Petronas Dynamic Diesel Euro5 BM 012

Petronas Dagangan Berhad (PDB) hari ini mengumumkan enam stesen minyaknya di Lembah Klang kini sudah mula menjual bahan api Petronas Dynamic Diesel Euro 5. Syarikat itu juga mensasarkan sejumlah 30 buah stesen akan membekalkan dan menjual bahan api diesel Euro 5 yang bersih itu menjelang hujung tahun ini.

Enam stesen yang mula menjual diesel terbaharu ini ialah stesen Petronas Technology Park 1, Mutiara Damansara (arah Utara), NKVE (arah Damansara), Solaris Putra, Solaris Serdang (arah Selatan) dan Lebuhraya Sprint. Bahan api tanpa sulfur berkenaan memberi manfaat kepada kenderaan yang dilengkapi enjin diesel piawaian Euro 5, lebih bersih, cekap dan memberikan prestasi terbaik.

Petronas Dynamic Diesel Euro 5 ini memberi manfaat dari tiga sudut ini; (1) Pelindungan enjin dengan mengelakkan kerosakan komponen penyuntik kritikal serta exhaust after-treatment system untuk memanjangkan hayatnya, (2) Mengembalikan kuasa – meningkatkan prestasi enjin, kecekapan dan keupayaan dengan membersihkan penyuntik minyak dan (3) Pembakaran lebih bersih bagi menghidupkan enjin dengan lebih mudah dan pecutan lancar.

“Ketika kami memperkenalkan Petronas Dynamic Diesel Euro 5 di Johor, kami berjanji kepada pelanggan di Lembah Klang akan berusaha sebaik mungkin untuk membekalkan minyak berkenaan secepat mungkin. Kini, stesen-stesen minyak Petronas yang terpilih sudah mula menjualnya.

“Dalam masa sama, kami turut ingin mendapatkan maklum balas pengguna untuk meningkatkan penawarannya, terutama untuk mengetahui prestasinya pada sistem enjin dengan penyuntik common rail yang ada kini,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

Menurut Petronas, bahan api diesel terbaharu ini dibangunkan melalui pengalaman jenama itu di dalam Rali Dakar untuk memberikan pelindungan enjin, penyediaan kuasa dan pembakaran yang lebih bersih dalam usaha untuk mendapatkan keputusan penjimatan yang lebih baik. Dalam masa sama, prestasi enjin tidak pula berkurangan.

Petronas juga telah mengenal pasti 25 buah stesen lagi di Lembah Klang yang akan menawarkan diesel berkenaan dalam tahun ini. Ini sebagai tambahan kepada dua stesen di Johor yang pertama menyediakan bahan api berkenaan, iaitu stesen Petronas Pasir Gudang Lebuhraya 2 dan di Gelang Patah, yang mula membekalkannya pada Disember 2014.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required