GIIAS 2016: Daihatsu Sigra, kembar Toyota Calya turut dilancarkan – enjin 1.0L dan 1.2L, harga dari RM33k

Daihatsu_Sigra_Deluxe-2

Semasa berlangsungnya GIIAS 2016, kembar kepada Toyota Calya iaitu Daihatsu Sigra turut diperkenalkan. Seperti Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia atau Toyota Passo dan Daihatsu Boon, kedua-dua model ini diasaskan dari platform yang sama tetapi dibezakan dengan rekaan pada muka yang tersendiri dan lencana jenama yang berbeza. Ia juga diletakkan dibawah sedikit dari Toyota dengan menampilkan pilihan enjin 1.0 liter.

Sigra varian 1.0 liter menggunakan enjin 1KR-VE, enjin yang sama pada versi sedan platform yang sama iaitu Perodua Bezza. Enjin tiga-silinder DOHC berkenaan merupakan versi tingkat taraf enjin 1KR-DE pada Perodua Axia.

Selain dari penambahan sistem VVT-i tunggal, enjin 1KR-VE ini turut menerima nisbah mampatan yang lebih tinggi (11.0:1 kepada 11.5:1), liang kemasukan udara yang lebih tinggi, liang kemasukan lebih panjang serta pemancit bahan api yang memberikan semburan lebih halus. Akhir sekali penggerak injap (valve lifter) menerima kemasan akhir sehingga 90% lebih halus. Seperti juga enjin Bezza, enjin Sigra ini bernafas lebih lega dengan menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm.

Enjin 1.0 liter ini hanya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual untuk varian D dan M. Varian X dan R yang lebih tinggi dikuasakan dengan enjin 1.2 liter Dual VVT-i sama seperti Calya. Enjin 3NR-VE empat silinder DOHC ini merupakan versi lebih kecil enjin 1NR-VE yang dipadankan pada Bezza 1.3 liter – khas untuk memenuhi syarat 1.2 liter undang-undang Low Cost Green Car Indonesia – berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin 1.2 liter ini boleh dipilih sama ada mahu dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat kelajuan automatik.

Bahagian lain, Sigra adalah sama dengan Calya termasuk suspensi topang McPherson dan cakera brek berliang pada bahagian hadapan, gandar torsion beam dengan brek dram di belakang, stereng berkuasa elektrik dan juga roda bersaiz 14-inci dibaluti tayar 175/65R14. Varian M dan X dilengkapi roda besi, manakala untuk varian tertinggi R diberikan roda aloi. Walau bagaimanapun, varian terendah D hanya dipadankan dengan roda besi bersaiz 13-inci dengan tayar 155/80R13. Toyota Calya dilengkapi roda aloi kemasan dua ton 14-inci untuk semua varian.

Bahagian dalaman Sigra dan Calya juga serupa, dibezakan dengan tema warna hitam dan perak untuk Sigra dan hitam dan perang pada Calya. Sigra boleh dipilih dalam enam warna badan berbeza, dengan warna Nebula Blue Metallic sebagai warna utamanya. Warna biru berkenaan tiada dalam senarai pilihan warna untuk Calya, tetapi ia diberikan warna Orange Metallic sebagai warna eksklusif. Daihatsu Sigra dijual pada harga bermula 106.6 juta rupiah (RM32,550) hingga 147.35 juta rupiah (RM44,993).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required