GALERI: Toyota Sienta 1.5G, pilihan lebih mampu milik

Toyota_SientaG_Ext-6

Semasa pelancaran Toyota Sienta bulan lalu dan juga prebiunya di My Auto Fest 2016 serta di Mitsui Outlet Park, Toyota hanya mempamerkan Sienta dari varian 1.5V. Disini, kami berjaya mendapatkan sebuah model dari varian 1.5G untuk tatapan anda.

Sienta 1.5G merupakan varian lebih rendah berbanding model 1.5V, dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM92,900, berbanding varian G yang dijual RM7,000 lebih mahal iaitu RM99,900. Semua varian Sienta diberikan perlindungan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan. Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

Jadi, dengan harga yang RM7,000 lebih murah, apa perbezaan pada varian V dan G ini? Untuk bahagian luaran, varian asas 1.5G hanya dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri dan roda aloi bersaiz 15-inci, berbanding varian V yang dilengkapi lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, cermin hadapan akustik dan roda aloi bersaiz 16-inci. Namun, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang adalah standard untuk kedua-dua varian.

Toyota_SientaG_Ext-25

Bahagian dalaman varian G ini juga kelihatan agak ‘kosong’. Tiada paparan Optitron pada panel instrumen sebaliknya ia hanya dibekalkan dengan paparan meter kovensional. Unit pemain audio utama juga dibekalkan hanya dengan pemain 2-DIN tanpa skrin sesentuh dan butang kawalan pada roda stereng. Ia juga hanya dibekalkan dengan kunci putaran biasa, tanpa kunci pintar dan butang penghidup enjin serta tanpa kamera perakam video.

Walau bagaimanapun, Toyota ada menawarkan pilihan opsyen untuk varian G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40.

Balutan upholsteri juga menampilkan tema warna berbeza di mana model V diberikan tempat duduk berwarna perang, manakala G dibekalkan dengan fabrik hitam tanpa balutan kulit pada roda stereng. Walau bagaimanapun, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat nisbah 50:50 dengan hanya satu sentuhan tuil adalah dan enam pembesar suara adalah ciri standard untuk semua varian.

Tiada perbezaan dari segi unit janakuasa di mana kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

Begitu juga dengan sistem keselamatan, kedua-dua varian Sienta dibekalkan dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

Untuk lebih perincian serta maklumat lain berkaitan pembelian Toyota Sienta, anda boleh kunjungi laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required