Honda Accord 2016 dilancarkan – harga dari RM145k

Honda Accord facelift 3

Selepas Civic 2016, kini tibalah pula giliran Honda Accord 2016 pula diperkenalkan. Biarpun ia bukanlah model yang begitu dinanti-nantikan sebagaimana Civic dan HR-V, namun kehadiran Accord 2016 pastinya mampu merancakkan lagi industri automotif tempatan, khususnya bagi segmen-D. Apatah lagi ia dianggap sebagai model unggul bagi Honda Malaysia untuk pasaran tempatan.

Model facelift ini ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L serta dua pilihan enjin berbeza. Namun difahamkan, tiada perubahan mekanikal dan ia masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model sebelum ini.

Bagi enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC dengan teknologi Earth Dream, ia mampu menghamburkan kuasa 172 hp pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Manakala enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC pula dengan kuasa 153 hp pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

Honda Accord facelift 34

Perubahan yang dilakukan terhadap model facelift ini sudah pastinya pada bahagian luaran, terutamanya di bahagian hadapan. Ia dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu Solid Wing ciptaan Honda serta bar krom yang tebal. Bagi model 2.0L, ia dilengkapi dengan lampu utama halogen, sementara 2.4L pula dipadankan dengan lampu utama LED bersama pelarasan automatik dan turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED baharu.

Bahagian belakang juga diberi nafas baharu bagi ketiga-tiga varian dengan beberapa elemen baharu termasuk trunk lid dengan rekaan krom seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Selain itu, elemen baharu yang ditampilkan termasuk lampu belakang LED, lampu kabus dan juga bampar belakang dengan rekaan krom.

Walau pun bahagian sisinya tiada perubahan besar dilakukan, namun ia dipadankan dengan rim aloi dua-tona rekaan baharu, 17-inci bagi 2.0L dan 18-inci untuk 2.4L.

Accord 2016 ini memiliki ukuran dimensi 4,935 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,465 mm tinggi dengan jarak roda 2,775 mm.

Untuk bahagian kabinnya, perubahan yang ditampilkan ialah kekemasan kayuan baharu, skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, panel instrumen juga ditampilkan dengan gayaan baharu yang lebih segar.

Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, One-touch Lane Change, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau (hanya untuk 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L), penghawa dingin dua-zon, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, enam-speaker dan roda stereng tiga-jejari balutan kulit. Hanya varian 2.4 VTi-L menerima sistem bunyi premium dengan subwoofer.

Honda Accord facelift 20

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear hanya bagi varian 2.4 VTi-L, tempat duduk upholsteri dengan material kulit berwarna hitam (fabrik hitam bagi 2.0 VTi) serta lapan-cara pelarasan bagi tempat duduk pemandu dan empat-cara pelarasan bagi tempat duduk penumpang hadapan bagi 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L. Kesemua varian juga dilengkapi dengan Kawalan Bunyi Bising Aktif (ANC) dan Kawalan Bunyi Aktif (ASC).

Bagi aspek keselamatan, elemen standard yang ditampilkan untuk semua varian termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak Isofix.

Manakala varian 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L menerima elemen keselamatan premium iaitu Kamera Pandang Belakang Pelbagai-Sudut dan Honda LaneWatch Camera. Dua elemen tambahan hanya bagi 2.4 VT-i L pula ialah Active Cornering Light dan Hydrophilic Door Mirror.

Accord 2016 ditawarkan dengan pilihan warna Modern Steel Metalic, Crystal Black Pearl dengan tiga warna baharu iaitu Obsidian Blue Pearl, Lunar Silver Metallic dan warna premium dengan pertambahan kos sebanyak RM400 bagi White Orchid Pearl.

Harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) yang ditawarkan bagi varian 2.0 VTi ialah RM144,800, RM153,800 untuk 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L pula RM172,800.

Ia didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad, tempoh servis diperpanjang kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

Bagi menambahkan sedikit kelainan gaya pada Accord 2016 ini, ia turut ditawarkan dengan kit aksesori Modulo dengan dua pilihan pakej. Bagi Advance Package yang keseluruhan bernilai RM5,500, kit aksesori pilihan ini juga boleh dibeli secara berasingan yang terdiri daripada spoiler hadapan bawah (RM1,200), spoiler sisi bawah (RM1,966.50), spoiler belakang bawah (RM1,300), perlindungan sisi (RM636.50), trunk spoiler (RM769.50) dan puddle light (RM608).

Honda Accord facelift 4

Selain itu, Premium Utility Package pula keseluruhan bernilai RM2,930) dengan kit aksesori yang juga boleh dibeli secara berasingan. Ia merangkumi pelindung pintu dengan krom (RM722), trunk tray (RM250), trunk drawer (RM432.25), foot light (RM503.50), pemijak sisi iluminasi (RM1,073.50) dan filem pelindung pintu (RM273). Manakala cermin pandang belakang anti silau turut ditawarkan secara berasingan pada harga RM995.60.

Tempahan bagi Accord 2016 telah pun dibuka sejak 1 Ogos lalu dan Honda Malaysia mensasarkan mampu menjualnya sebanyak 500 unit sebulan.

Untuk anda yang berminat dengan Accord 2016 ini, sila layari Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan.

Honda Accord 2.0 VTi facelift dengan bodykit Modulo

Honda Accord 2.0 VTi-L facelift

Honda Accord 2.4 VTi-L facelift

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required