OKU – Tiba masa untuk kita lebih menghormati hak-hak mereka; mulakan dengan tempat letak kenderaan

oku-parking-lot-abused

Hujung minggu yang sangat luar biasa untuk kita warga Malaysia. Buat pertama kali, kita berhasil meraih pingat emas di dalam kejohanan sukan peringkat antarabangsa. Bukan satu, bukan dua tetapi sudah tiga emas diperoleh setakat ini. Dan lebih manis, ia diusahakan oleh atlet-atlet kelainan upaya (OKU) yang bertanding dalam kejohanan Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sebelum ini, Malaysia memang pernah meraih pingat di sukan Paralimpik, tetapi bukan emas. Tiga nama atlet yang menyumbang emas ini harus ditulis dalam lipatan sejarah negara; Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (acara 100m T36, celebral palsy) menyumbang emas pertama manakala Muhammad Ziyad Zolkefli (acara lontar peluru F20, masalah pembelajaran) pula memberikan Malaysia tidak hanya emas, tetapi juga rekod baharu dunia.

Ini bertambah manis dengan emas ketiga oleh atlet lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual), Abdul Latif Romly. Beliau sahaja sudah memecahkan rekod dunia tiga kali dalam percubaan kedua, ketiga dan yang paling jauh pada percubaan kelima dengan jarak 7.6 meter.

Menyaksikan kesungguhan, pencapaian serta sumbangan yang luar biasa atlet-atlet OKU ini terhadap negara, apa pula yang dapat kita, sebagai warga Malaysia umumnya berikan sebagai tanda terima kasih? Jika bercakap tentang habuan hadiah dan wang ringgit, kerajaan dan juga Kumpulan Naza sudah mengumumkan akan memberikan hadiah berupa wang dan kenderaan.

malaysia-rio-paralympics

Tetapi, ada satu lagi perkara yang jauh lebih bermakna yang dapat kita berikan; untuk lebih menghormati hak-hak OKU dan cuba belajar serta memahami nilai-nilai yang diperlukan untuk mengangkat kedudukan kelompok ini di dalam lingkungan masyarakat kita.

OKU tidak boleh lagi dipinggirkan dan tersisih. Kita sebagai individu normal tidak boleh lagi memandang OKU dengan sebelah mata. Untuk menghormati mereka, kita mungkin boleh mulakan dengan menghormati tempat letak kenderaan yang dikhaskan kepada OKU.

Jika perkara sekecil ini masih gagal untuk difahami, maka kita sebagai sebuah sistem masyarakat sedang berdepan masalah nilai yang sangat kritikal. Dan, sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk kita menunjukkan rasa hormat itu kembali dan biarlah ia kekal begitu.

Ini kemudiannya sangat wajar diperluaskan kepada ruang-ruang awam lainnya (di dalam tren misalnya, atau ketika melintas di persimpangan lampu isyarat); di mana sahaja ada keperluan untuk kita memberikan perhatian khusus kepada OKU dan membuatkan mereka berasa selesa.

Selepas apa yang ditunjukkan dan dicapai oleh barisan atlet paralimpik negara – pencapaian yang sama juga sangat sukar diraih oleh individu-individu normal – suara golongan OKU wajib didengari di segenap lapisan masyarakat. Mereka tidak sepatutnya lagi dilayan sebagai warga kelas kedua.

Perubahan paradigma dan sistem nilai dalam masyarakat ketika berdepan dengan OKU adalah jauh lebih penting dan ia tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sistem sokongan dan nilai seperti ini adalah hadiah yang lebih bermakna yang dapat kita, sebagai warga Malaysia, berikan sebagai tanda hormat kepada golongan OKU.

Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada atlet-atlet paralimpik negara yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mengharumkan nama negara. Setidak-tidaknya nama Malaysia hujung minggu lalu dikenali di mata dunia di atas sebab-sebab yang membanggakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • betul, kita patut menyokong dengan cara macam ni juga. bukan bersorak bila OKU paralimpik menang emas, tapi hak2 mcm ni kita tak jaga.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Gambar di atas ni mana satu OKU,yg putih atau hitam?Adakah putih merampas parking hak hitam jd hitam parking tepi…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required