Mercedes-AMG GT C Roadster – punya kuasa 557hp, 680Nm tork dan kelengkapan prestasi daripada GT R

mercedes-amg-gt-c-roadster-23-850x393bm

Awal minggu ini, Mercedes-Benz ada mengeluarkan video teaser Mercedes-AMG GT Roadster dan kini rupa sebenarnya didedahkan. Seperti yang dijangka, ia adalah GT versi tanpa bumbung tetapi juga mempunyai tambahan varian lain iaitu AMG GT C Roadster yang diperlengkap dengan barangan daripada GT R manakala kuasanya pula berada di antara AMG GT standard dan GT R.

AMG GT Roadster dikuasakan oleh enjin 4.0 liter V8 Twin Turbo sama seperti AMG GT, dengan kuasa disampaikan oleh transmisi AMG Speedshift DCT klac berkembar tujuh kelajuan ke roda belakang. Secara standard, AMG GT Roadster menghasilkan 476hp dan 630Nm tork tetapi varian lebih berprestasi, AMG GT C Roadster mampu mengeluarkan 557hp dan 680Nm tork pada kadar rpm 1,900 hingga 5,750.

Ini sekaligus meletakkan AMG GT C Roadster di tempat kedua paling berkuasa, di bawah AMG GT R yang berkuasa 585hp dan 700Nm tork.

AMG GT Roadster standard boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam masa 4.0 saat, dengan kelajuan maksimum 302km/j manakala AMG GT C Roadster pula mencatat 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 316km/j.

AMG juga menggunakan DCT yang dinaik taraf pada bahagian perkakasan dan perisian untuk AMG GT C Roadster, di mana gear pertamanya mempunyai nisbah lebih tinggi manakala gear ketujuh dan pemacu akhir mempunyai nisbah lebih rendah. Selain itu, sistem ekzos dengan dua penutup (flap) boleh laras juga adalah standard bagi AMG GT C Roadster.

mercedes-amg-gt-c-roadster-17-630x319bm

Tidak cukup dengan itu, AMG GT C Roadster turut diperlengkap dengan barangan seperti GT R antaranya active rear axle steering dan electronically controlled rear axle locking differential. Kereta ini juga menggunakan suspensi sports AMG Ride Control, dengan penyerap adaptif tidak boleh didapati pada model bukan C.

Bentuk luar AMG GT C juga mengikuti AMG GT R – dengan penghadang angin 57mm lebar di belakang, jarak roda lebih lebar dan roda bersaiz 265/35 R19 di hadapan dan 305/30 R20 di belakang. Bagi AMG GT Roadster standard, ia menggunakan roda bersaiz 255/35 R19 dan 295/35 R19.

AMG GT C Roadster juga dilengkapi dengan bateri lithium-ion dan kelengkapan eksklusif lain seperti bahagian dalam dengan kulit Nappa, stereng prestasi AMG dibalut kulit Nappa dan gentian mikro Dinamica, serta tambahan mod Race bagi transmisinya (yang sedia ada adalah C, S, S+ dan I).

Bumbung fabrik bagi AMG GT Roadster boleh dibuka dan ditutup dalam sekitar 11 saat dan boleh digunakan pada kelajuan sehingga 50km/j. Pemilik diberi pilihan tiga warna kain bumbung iaitu hitam, merah dan beige untuk dipadankan dengan 11 warna luaran dan 10 warna dalaman. Fabrik bumbung tiga lapis ini disokong dengan struktur ringan magnesium/besi/aluminium manakala perlindungan tambahan bahagian atas kepala diberi dengan penggunaan cross-member aluminium bersama rollover bar.

Beberapa kelengkapan lain turut diguna bagi menyokong struktur tanpa bumbung ini termasuk skirting sisi dengan dinding lebih tebal, penyokong papan pemuka serta strut tower brace di antara bumbung dan tangki.

Penutup ruang barangan belakang menggunakan bahan komposit baharu yang menjadikannya ringan manakala struktur load-bearing pula daripada Sheet Moulding Compound (SMC). Kombinasi bahan ini pertama kali digunakan pada AMG Roadster.

AMG GT Roadster menggunakan sistem pengurusan angin aktif daripada GT R di mana laluan angin yang terletak pada bahagian hadapan boleh dibuka menggunakan motor elektrik apabila diperlukan.

Di dalam, tempat duduk AMG Performance boleh dipilih sebagai aksesori tambahan bersama sistem pemanas leher Airscarf (tiga tahap pemanasan) dan pengawal suhu. Sistem bunyi Burmester (dua gred ditawarkan) pula mendapat manfaat daripada sistem Externed Coupled Subwoofer.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required