Honda Freed 2016 mula dijual dalam pasaran Jepun

Print

Honda Freed generasi baharu sudah pun mula dijual untuk pasaran domestik Jepun, dengan tiga versi iaitu Freed, Freed+ dan kenderaan kegunaan-khas. Honda mendakwa, secara keseluruhan sebanyak 16 varian berbeza bakal ditawarkan untuk pembeli di negara matahari terbit itu.

Freed versi standard menampilkan tiga baris tempat duduk untuk memuatkan enam atau tujuh orang penumpang, manakala untuk Freed+ pula, hanya lima penumpang boleh dimuatkan kerana tiada tempat duduk baris-ketiga dilengkapkan bagi memberikan lebih ruang untuk isian kargo. Freed versi kegunaan khas pula dilengkapi dengan akses kerusi roda dan sama ada tempat duduk untuk mengangkat penumpang pada bahagian hadapan atau sisi.

Freed baharu ini diukur dengan dimensi 4,265 mm panjang bagi versi standard, manakala untuk varian terpilih dalam siri Freed+, ia dipanjangkan lagi dengan tambahan 30 mm. Model Freed pacuan hadapan pula mempunyai ketinggian 1,710 mm, manakala versi pacuan empat roda pula adalah 25 mm lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kesemua versi Freed mempunyai kelebaran 1,695 mm dan jarak roda 2,740 mm.

Rekaan Freed baharu ini menerapkan asas konsep rekaan “Dynamism and Functionality” Honda terkini. Lampu-lampu pada bahagian hadapan dan belakang Freed ini adalah baharu sepenuhnya. Begitu juga pada bahagian cermin hadapan yang kini mempunyai sudut pandangan lebih jelas dan pintu gelangsar belakang yang kini boleh dibuka sehingga 665 mm atau 20 mm lebih luas dari model terdahulu bagi memudahkan akses kebahagian berkenaan.

Image converted using ifftoany

Image converted using ifftoany

Turut memudahkan pengguna pada bahagian tempat duduk barisan kedua berkenaan adalah lantai MPV ini yang kini 15 mm lebih rendah (390 mm). Ruang yang boleh dilalui pada kabin juga kini dilebarkan lagi iaitu 50 mm untuk tempat duduk baris pertama dan 25 mm untuk baris kedua, memudahkan untuk penumpang masuk ke dalam MPV ini.

Kabin Freed juga kini lebih luas di mana garis bahu penumpang antara tempat duduk baris pertama dan tempat duduk baris ketiga ditingkatkan 90 mm berbanding model generasi sebelum ini. Untuk model tiga baris tempat duduk yang mempunyai tempat duduk kapten di baris kedua, tempat duduk berkenaan kini mempunyai jarak gelangsar lebih 120 mm kepada 360 mm.

Selain dari kabin yang lebih luas, Freed juga kini dilengkapi dengan papan pemuka baharu yang lebih teratur berbanding model terdahulu. Menurut Honda, rekaan ini digelar sebagai konsep “Bahagian Dalaman Moden Natural, atau “Wonder Pack Interior” pada Freed+. Tiga warna dalaman ditawarkan iaitu beige, mocha, dan hitam dan dipadankan sama ada dengan tempat duduk balutan fabrik satu- atau dua-ton, serta kemasan akhir yang berbeza.

Antara perlatan baru lain yang dipadankan adalah roda stereng pelbagai fungsi, suis-suis kawalan, pelantar kompas, serta tuil penukar gear. Paparan instrument dan sistem penghawa dingin turut menampilkan enam warna lampu yang boleh ditukar. Untuk paparan penghawa dingin, ia akan bertukar ke warna merah sekiranya suhu dinaikkan, manakala lampu akan bertukar ke warna biru sekiranya suhu diturunkan.

Dua unit janakuasa ditawarkan (untuk model pacuan model hadapan dan pacuan semua roda) untuk Freed 2016 iaitu enjin 1.5 liter empat silinder suntikan bahan api terus DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear CVT, dan juga versi Hybrid i-DCD – menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson empat silinder DOHC i-VTEC, kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, dan juga motor elektrik.

Penggunaan bahan api dalam kitaran ujian JC08 adalah berbeza mengikut unit janakuasa, dan ia dicatatkan dari 16.4 km setiap liter hingga 27.2 km setiap liter. Seperti dilaporkan sebelum ini, Freed Hybrid menggunakan magnet motor elektrik hibrid bebas bahan nadir bumi baharu iaitu magnet neodymium yang dihasilkan melalui proses pemanasan pada sistem unit janakuasanya. Menurut Honda lagi, Unit Kuasa Pintar (IPU) pada model hibrid juga kini lebih kecil dan diletakkan pada tempat duduk barisan pertama, berbanding di tempat duduk baris ketiga pada model generasi sebelumnya.

Peralihan kedudukan berkenaan mewujudkan ruang tambahan dalam kabin MPV ini, dan membolehkan versi yang mampu diakses oleh kerusi roda ditambah dalam barisan model. Selain itu, unit IPU khas untuk Freed Hybrid berkenaan juga membolehkan MPV versi hibrid ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda, pertama kali untuk model van mini dalam pasaran Jepun.

Menurut Honda, lebih banyak keluli berketegaran tinggi digunakan pada kerangka Freed untuk meningkatkan kekuatan badannya. Untuk varian tertentu, Freed turut dilengkapi dengan pakej keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari sistem-sistem seperti Amaran Keluar Lorong, Sistem Bantuan Kekal Laluan, Sistem Pengelak Keluar Jalan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Amaran Pelanggaran Hadapan dan Sistem Brek Anti-Pelanggaran.

Freed generasi baharu dijual dalam pasaran Jepun dengan harga bermula 1,880,000 yen (RM76,055) hingga 2,748,200 yen (RM111,178). Dua warna baharu ditawarkan iaitu Blue Horizon Metallic dan Citron Drop bersama warna dari model terdahulu iaitu Cobalt Blue Pearl, Premium Deep Ross Pearl, Mandarin Gold Metallic, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

Sebelum ini, Freed mula mendarat di Malaysia pada tahun 2010. Selepas itu, versi facelift pula dilancarkan pada tahun 2013 dengan dua varian dan dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM113,500. Honda Malaysia menghentikan penjualan Freed atas sebab kurangnya permintaan terhadap MPV ini. Setelah Toyota Sienta dilancarkan, adakah anda merasakan Freed perlu kembali dalam pasaran Malaysia untuk memberikan saingan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Muhammad arshad bin mustapaha on Oct 04, 2018 at 9:30 am

    Pls brought honda freed hybrid to malaysia.. if u worried it will disturb brv model.. u can increase price a bit from the varian..

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Muhammad arshad bin mustapaha on Oct 06, 2018 at 11:18 am

    Macam mana kita nk beli kereta luar yg x masuk ke malaysia ye.. contoh toyota rush honda freed hybrid ? Anyone ?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required