Audi telah pun menyebarkan teaser yang mengesahkan model serba baharu bagi Q5 bakal dipertontonkan di Paris Motor Show tidak lama lagi. Malahan ia telah mempertontonkan sedikit sedutan untuk bahagian lampu belakang SUV berkenaan.
Walau tidak banyak perincian yang dibongkarkan, namun menerusi foto spyshot, nampaknya Q5 turut mengikut jejak langkah A4 dan A5 baharu dalam mengadaptasikan rekaan yang penuh evolusi.
Pada bahagian hadapannya, ditampilkan rekaan gril bingkai tunggal, dipadankan dengan lampu utama yang lebih langsing. Bahagian belakangnya pula, ditampilkan lampu belakang dengan rekaan yang bersudut tajam, spoiler bumbung dan juga tip ekzos dwi trapezoidal.
Sementara itu, bentuknya masih tidak berubah, kekal sama seperti model sebelumnya. Namun bahagian belakangnya sedikit kurang bulat berbanding model sedia ada.
Q5 baharu juga mungkin akan menggunakan platform MLB Evo, berkongsi dengan A4 dan Q7 baharu. Malah ia juga dijangka akan membuatkan Q5 lebih ringan berbanding sebelumnya dan ia juga menampilkan pilihan penjana kuasa sama seperti sedan. Selain varian petrol TFSI dan diesel TDI, plug-in hybrid juga mungkin akan ditawarkan. Terdapat ura-ura yang mengatakan, enjin 2.9 liter turbo-berkembar V6 daripada Panamera baharu, tapi akan ditala bagi hamburan kuasa yang berlainan, juga akan ditawarkan.
Bagi sistem infotainmen Q5, menerusi video yang anda boleh tontonkan di bawah ini, menunjukkan sistem infotainmen MMI baharu yang bakal diaplikasikan. Ia boleh digunakan oleh pengguna iOS dan Android, kerana terdapat sambungan bagi Apple CarPlay dan Android Auto.
Perincian lanjut mengenai Q5 baharu ini, nantikannya apabila ia ditampilkan secara rasmi di Paris tidak lama lagi.
GALERI: Foto spyshot Audi Q5 2017
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.