PANDU UJI: Proton Persona 2016 – Adakah ia benar-benar jauh lebih baik berbanding model sebelumnya?

proton-persona-1-6-premium-bm-03

Setelah banyak maklumat berkaitan pembaharuan yang dilakukan oleh Proton terhadap model generasi kedua Persona, yang kini sudah mula kelihatan di atas jalan raya kita, hanya satu soalan paling utama yang berkemungkinan besar kerap bermain difikiran ramai orang; adakah ia benar-benar lebih baik berbanding model sebelumnya?

Kami juga setakat ini sudah membuat liputan yang menyeluruh berkaitan Persona 2016. Antaranya ialah pecahan varian dengan perbezaan perincian setiap daripadanya, laporan tanggapan awal dari sesi pemanduan ringkas di dalam litar ujian Proton serta galeri gambar lengkap bagi setiap varian yang ditawarkan.

Dan, awal minggu ini pula kami berpeluang memandunya dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang. Ini merupakan pengalaman pemanduan sebenarnya yang pertama di atas jalan raya, maka perasaan pada awalnya juga sedikit “berdebar”. Saya sendiri ingin tahu adakah ia mampu memenuhi jangkaan-jangkaan awal yang sudah bermain dalam fikiran, hasil daripada maklumat-maklumat awal dari atas kertas yang sudah diketahui setakat ini.

Berbalik kepada soalan yang diajukan awal tadi, sebetulnya tak ada satu jawapan yang mudah untuk itu. Sekadar “Ya” atau “Tidak” bukanlah jawapan yang memuaskan untuk menjelaskannya secara menyeluruh. Ini adalah kerana, penghasilan sesebuah kenderaan, baik dari segi reka bentuk luaran mahupun kejuruteraannya, membabitkan sekurang-kurangnya dua perkara.

Pertama, latar, konteks serta matlamat yang ingin dicapai melaluinya, dan yang kedua, faktor emosi yang mampu disentuh olehnya sebagai produk akhir dan kesannya kepada pengguna, walaupun tanpa mereka sedari. Biasanya, perihal kedua inilah yang selalu disebut sebagai perkara-perkara yang subjektif tentang sesebuah kenderaan, bergantung kepada latar dan jangkaan individu yang sedang membuat penilaian itu sendiri.

proton-persona-1-6-premium-bm-07

Tak ada satu pun kenderaan di dalam dunia ini yang mampu memenuhi segala-galanya yang diperlukan oleh pengguna. Dua perkara ini amat penting untuk diperjelaskan – tentunya berdasarkan pengalaman saya sendiri selepas memandu Persona baharu – dalam menentukan apa yang cuba dicapai oleh model tersebut.

Untuk itu, sebagai permulaan, ada eloknya kita fahami kedudukan atau posisi semasa model ini di dalam barisan penawaran kenderaan Proton. Ketika mula diperkenalkan pada 2007, generasi pertama Proton Persona ialah sebuah kenderaan yang dikategorikan sebagai kereta dalam segmen C. Jangan lupa, ketika itu juga ada Proton Gen2, model asal yang menjadi rujukan kepada Persona, nampak seiras, kecuali bahagian but belakangnya yang lebih pendek.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Proton Inspira pula ditawarkan, sebuah model rebadge daripada Mitsubishi Lancer. Ini menimbulkan “masalah” kepada Proton; penawaran dalam segmen C sahaja terdiri daripada beberapa model, sementara itu segmen B diwakili sebelum ini oleh Saga. Segmen A? Jangan terkejut; sebelum ini Proton tak punya apa-apa model bagi mewakili segmen A dalam pasaran.

Sekurang-kurangnya, beginilah kedudukan dan posisi barisan kenderaan yang ditentukan oleh Proton bagi produk-produknya sebelum ini. Jadi, melalui pengenalan-pengenalan model terbaharu kini, semua kecelaruan terdahulu ingin diperkemaskan, untuk mengelak pertembungan sesama model serta memudahkan pengguna untuk membuat pilihan.

Iriz hadir kurang lebih dua tahun yang lalu, dan ia mengisi segmen B bagi Proton. Persona baharu kemudiannya dibangunkan, menggunakan platfrom yang sama, sebagai sebuah sedan pula bagi segmen yang sama. Dalam maksud lain, melalui pengenalan model-model yang dilakukan tahun ini, Proton ingin menstrukturkan semula penawaran model-modelnya agar lebih jelas.

Untuk itu, Proton Persona 2016 bukan lagi sebuah model bagi penawaran segmen C seperti sebelumnya. Ia kini diposisikan sebagai model dalam segmen B, bersekali dengan Iriz – model hatchback, dengan pilihan enjin 1.3 liter dan 1.6 liter – manakala Persona pula merupakan model sedan dengan penawaran enjin 1.6 liter sahaja. Dari bersaing di dalam segmen C, Proton Persona 2016 kini dipertaruhkan sebagai model di dalam segmen B oleh pengeluarnya.

Disebabkan tempoh pelancaran yang agak dekat, ramai juga yang membandingkan antara sedan pertama Perodua, iaitu Bezza dengan Persona 2016 ini. Walaupun kedua-duanya berada di dalam segmen yang berlainan (Produa Bezza berada di dalam segmen A), tanggapan atau andaian bahawa kedua-duanya merupakan pesaing secara berdepan seperti itu tidaklah silap sepenuhnya. Mengapa?

Kita lihat struktur harga kedua-duanya. Persona dijual pada harga dari RM46,350 hingga RM59,350. Perodua Bezza pula dari RM37,300 hingga RM50,800. Tetapi, dua daripada varian Persona sebenarnya ada yang berharga lebih rendah berbanding Bezza – varian Standard MT dan CVT adalah lebih murah daripada Bezza 1.3 Advance. Jadi tak hairanlah jika ramai yang beranggapan sedemikian.

Apa pun, Perodua Bezza bukanlah lawan Persona 2016 yang sebenarnya. Untuk segmen A berkenaan, Proton ada senjata lain; model Saga baharu yang akan dilancarkan hujung bulan ini. Persona sebenarnya ingin bersemuka dengan model-model yang lebih popular daripadanya dalam segmen B. Contohnya? Model-model sedan keluarga, terutama dari jenama Jepun.

Waktu ini, apa model-model yang ada dalam segmen B? Segmen berkenaan sebenarnya kelihatan sangat “padat”. Antara penyandang populariti bagi segmen ini tentulah model-model seperti Toyota Vios, Honda City, Mazda2 Sedan, Nissan Almera, Mitsubishi Attrage dan Volkswagen Vento. Untuk mendapatkan gambaran perbezaan dimensi setiap satu daripadanya, sila rujuk jadual yang dilampirkan sebagai panduan.

2016-proton-persona-dimensions-comparison-1-bm-850x260

Inilah barisan kenderaan yang cuba dicabar oleh Persona. Tetapi, di atas kertas, Persona memang berada di depan dan punyai kelebihan sendiri; tiada satu pun model-model berkenaan dapat menandinginya jika dilihat dari sudut penawaran harga dan kelengkapan yang mengiringinya.

Hanya selepas memahami latar atau konteks seperti yang diperjelaskan ini, barulah kita dapat melihat kepada Persona dengan andaian dan jangkaan yang sepatutnya. Dan, berbekalkan idea yang sama ini sebagai pengimbang (kepada pandangan dan pendapat), perjalanan ke Kuantan melalui Jengka dengan jarak keseluruhan kira-kira 200 km Isnin lalu memberikan peluang kepada saya untuk lebih memahami Persona baharu berkenaan.

Berbalik sekali lagi kepada soalan yang dibangkitkan awal tadi; adakah Persona 2016 lebih baik berbanding model sebelumnya? Sekarang, kita sudah tahu bahawa melalui penawarannya, ia kini ingin menjadi sebuah sedan keluarga yang praktikal dengan kelengkapan ciri terbaik dalam segmen B, dengan kelebihan dari segi tanda harga. Di atas kertas, ia memang nampak lebih baik.

Pengalaman memandunya juga boleh dikatakan tidak mengecewakan, dan mampu menepati jangkaan awal saya sendiri. Ia meminjam banyak perkara daripada Iriz, tetapi dengan banyak juga penambah baikan. Enjin 1.6 liter VVT (107 hp/150 Nm), seperti yang digunakan pada Iriz, kini dengan tiga titik mounting, berbanding empat titik pada Iriz. Kelebihannya? Gegaran enjin dikurangkan.

Dua pilihan transmisi diberikan; manual 5-kelajuan atau CVT automatik. Bagi CVT, ia turut menerima peningkatan yang penting – Proton dan pembekalnya, Punch bekerja sama dalam memberikan perkiraan (recalibrate) baharu bagi sistem yang sedia ada pada Iriz. Antara yang ingin dicapai ialah maklum balas yang lebih responsif dan operasi yang lebih senyap.

proton-persona-1-6-premium-bm-06

Antara perkara pertama yang menarik perhatian ketika berada di dalam kereta ini ialah kesenyapan ruang kabin. Sebagai penumpang, ia lebih selesa. Beberapa perkara yang dapat dirasakan ketika memandu juga memberikan kesan yang positif. Misalnya, enjinnya tidak lagi terdesak atau begitu terbeban ketika dikerah. Laluan mendaki di Lebuhraya Karak juga tidak menimbulkan rasa jengkel atau kurang yakin ketika memandu.

Ini adalah sesuatu yang baik. Mengapa? Jika ia ingin menjadi sebuah sedan keluarga, yang tentunya akan dinaiki paling kurang oleh dua orang dewasa serta tiga kanak-kanak (ini andaian semata-mata untuk dijadikan contoh) dengan barangan di dalam but belakang, Persona perlu mempunyai penyaluran kuasa yang baik dan linear untuk menggalas tugas itu. Dan, ia memang memiliki aspek berkenaan.

Memang betul, jika pedal minyak ditekan secara mendadak untuk mendapatkan kuasa segera, akan terasa sedikit “kekosongan” pada awalnya. Perlu difahami, Persona direka untuk memberi maklum balas yang linear, dan bukannya secara agresif. Ia juga bukan sebuah kereta sport. Jadi, ketika ingin menilai prestasinya, fahamkan dulu matlamat rekaan Persona.

Jika pedal minyak itu dikendalikan dengan maklum balas yang sederhana seperti memandu pada kebiasaannya dalam situasi berhemah, hal ini tidak akan menjadi masalah. Cuma jika anda mengharapkannya memberi maklum balas segera, misalnya ketika ingin bergerak dari kedudukan pegun atau memotong, anda perlu biasakan diri terhadap tahap respon yang diberikan.

Untuk memberi satu lagi sudut pandang dari sisi yang berbeza, terutama prestasi keseluruhan Persona, kami juga sempat cuba melihat kepada penjimatan bahan api yang mampu diberikan. Dari Jengka 19 menuju Tanjung Lumpur, Kuantan, dengan cabaran pemanduan “eco” yang diberikan kepada wakil media, Persona memberikan bacaan yang agak mengkagumkan.

Tingkap ditutup, dan sistem pendingin hawa dikekalkan pada takat kelajuan 3, laluan yang digunakan terdiri daripada lebuhraya, jalan kampung dan kemudiannya memasuki kawasan bandar. Ini bagi memberi tanggapan penggunaan sebenar oleh kebanyakan orang, dengan laluan yang pelbagai dan situasi trafik yang tidak dapat diduga.

Dengan kelajuan sekitar 80 km/j hingga 90 km/j pada kebanyakan masa, purata penggunaan minyak yang dapat kami catatkan ialah 5.6 liter per 100 km. Hal ini agak konsisten, misalnya jika dilihat kepada bacaan yang dapat dicapai oleh rakan-rakan media yang lain; julatnya adalah dari 5.7 liter per 100 km hinggalah yang paling rendah diperoleh, 5.4 liter per 100 km. Ini sesuatu yang perlu dihebahkan juga tentang Persona baharu.

Ruang kabin juga bukan satu masalah; ia menyediakan keluasan yang lebih daripada mencukupi. Sebagai contoh, ketinggian saya sendiri ialah 183 cm. Dengan kedudukan tempat duduk pemandu yang berketinggian 173 cm, saya masih boleh duduk dengan sangat selesa dibelakangnya. Ruang kaki dan ruang kepala tidak pernah menjadi masalah. Cuma bagi perehat kepala untuk penumpang belakang, saya rasakan sangat kecil dan rendah, seperti tak ada penampan langsung.

Tentang kadar kebisingan di dalam kabin. Ia memang jauh lebih baik dan senyap, terutama jika dibandingan dengan Iriz yang menjadi model rujukan bagi Persona baharu ini. Cuma, dari Tanjung Lumpur menuju Hotel Swiss Garden Kuantan di dalam laluan terakhir destinasi tempoh hari, hari hujan lebat. Air juga naik, banjir kecil di sebahagian kecil laluan.

Ketika ini saya sedikit terganggu dengan kebisingan yang terhasil, agaknya dari bahagian bawah kenderaan diroda belakang ketika melanggar takungan air. Saya rasakan bunyinya agak kuat kedengaran dari dalam kabin, tidak seperti bunyi dari enjin, roda dan angin yang memang ditebat dengan baik seperti yang dialami sebelumnya. Saya kurang pasti sama ada ini menjadi masalah atau tidak. Atau, mungkin saya seorang saja yang terkesan dengan perkara ini.

Tekanan brek – ini juga menjadi satu lagi perkara yang mungkin boleh diberi perhatian oleh Proton untuk penambah baikan. Jika pedal brek ditekan, ia memerlukan jarak yang agak jauh sebelum ia mula berkesan untuk memperlahakan kenderaan. Dalam istilah lain, travel distance breknya agak panjang – saya sendiri perlu mengambil sedikit masa untuk biasakan diri sebelum dapat mengagak dengan betul kadar yang diperlukan, yang tentunya berubah-ubah bergantung kepada kelajuan serta jarak berhenti yang ada.

Jadi, adakah Persona 2016 ini lebih baik berbanding model sebelumnya? Ia sebenarnya lebih adil untuk dibandingkan dengan Iriz dan bukannya Persona generasi pertama, kerana ia mewarisi kebanyakan ciri daripada model hatchback itu.

Apa pun, dari segi kelengkapan dan teknologi (jangan lupa ESC yang dijadikan ciri standard bagi semua varian), Persona 2016 ini memang banyak kelebihan berbanding yang lama, mahupun Iriz sendiri. Proton melakukan banyak penambah baikan untuk menepati jangkaan penggunaan sebuah sedan keluarga.

Bagi reka bentuk, inilah sisi subjektif yang disebutkan di awal laporan ini. Ada yang beranggapan ia kelihatan sedikit aneh dengan bahagian tengah seperti menggelembung, dan dari belakang atau depan, Persona nampak agak sempit. Tetapi, setelah anda duduk di dalam kabinnya untuk satu perjalanan jauh, anda akan menghargai keluasan yang ada.

Ada perkara yang perlu kita korbankan untuk mencapai sesuatu perkara lain. Dan hal ini sama pada Persona 2016. Adakah ia mengecewakan? Sama sekali tidak. Dengan tujuan ia direka, prestasi yang diberikan, serta ciri-ciri yang ada padanya, Persona silap-silap boleh jadi model yang sangat berbaloi bagi segmen B. Tambahan pula, harga yang ditawarkan sangat menarik berbanding pesaing setaranya yang lain. Tak perlu percaya apa yang saya nyatakan di sini. Anda boleh cuba sendiri.

Harga jualannya adalah seperti berikut; Proton Persona 1.6 2016 Standard – RM46,350 (M/T), RM49,350 (CVT), Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT – RM55,350 dan Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT – RM59,350.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Muhaiyadin Mohd Morshidi on Sep 22, 2016 at 4:35 pm

    Salam

    Kenapa model kereta tempatan seperti Produa atau Proton selalunya kelihatan seperti terlalu tinggi “center of gravity” nya jika dibandingkan dengan kereta buatan luar negeri. Akibatnya tayar sering kelihatan kecil sahaja dan disegi keselamatan ia nampak terlalu nipis dan tinggi. Lower centre of gravity membuat sebuah kereta lebih stabil bila membelok.

    Sekian.

    Like or Dislike: Thumb up 9 Thumb down 16
    • Silthice on Sep 22, 2016 at 5:33 pm

      Dulu Proton buat Center of gravity rendah orang cakap naik bonggol kene senget lepas tu tak sesuai untuk keadaan di Malaysia yang banyak lubang dan lopak. Ada yang cakap kesian kat Pemandu perempuan yang rendah susah untuk melihat ke luar. Posisi duduk yang tenggelam/terperuk ke bawah menyebabkan kaki cepat penat jika perjalanan jauh dan sebagainya.

      Like or Dislike: Thumb up 43 Thumb down 0
  • autoast on Sep 22, 2016 at 4:41 pm

    “ruang kabin bukan masalah” ?? Bro, nampak sangat sempit ruang kaki seat belakang tu

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 25
    • Try dlu bro. Npk memg sempit tp klu dah try ko taw x sempit

      Like or Dislike: Thumb up 29 Thumb down 1
    • Kalo rasa sempit, bro angkat le perdana..baru sepadan dengan bro

      Like or Dislike: Thumb up 38 Thumb down 1
    • Seat belakang dia lebar n mnyokong peha penumpang sepenuhnya. Sbb tu nmpk mcm sempit

      Like or Dislike: Thumb up 9 Thumb down 0
    • Ahmad on Sep 23, 2016 at 9:40 am

      Dengan ketinggian 183 cm. Ruang sebegitu boleh di anggap baik.

      Like or Dislike: Thumb up 11 Thumb down 0
    • wanmisixteen on Sep 23, 2016 at 9:44 am

      g beli bas je la bang…

      Like or Dislike: Thumb up 11 Thumb down 0
    • gaban on Sep 23, 2016 at 8:09 pm

      ko duduk dlm van jenazah la senang..leh baring bro..byk sgt bunyi..gi la test dulu

      Like or Dislike: Thumb up 12 Thumb down 0
  • Redho on Sep 22, 2016 at 9:45 pm

    Saya dah test drive..n saya pernah test drive honda city..persona ni lg best bawak..

    Like or Dislike: Thumb up 24 Thumb down 2
  • Astral on Sep 22, 2016 at 10:38 pm

    (–.–“Bentuk Aneh? Ye mmg la. Dgr teknologi ok dh.Tgk bentuk -.-‘ trus tawar hati nak beli

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 17
  • meries on Sep 23, 2016 at 5:13 am

    Dulu aku ingat Nissan Almera kereta paling hodoh yg pernah dicipta. Now takhta tu dirampas oleh Persona 2016. Tahniah

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 40
    • sakura_ on Sep 24, 2016 at 2:52 am

      dlu aku ingat Ahmad maslan je boleh buat statement bengap, rupenyer Ada sorang lg lebih bengap Dari Ahmad maslan

      Like or Dislike: Thumb up 43 Thumb down 1
  • Berbaloi .. sebb sendiri pon dah book..loan pon dah sain..kalau ada byk duit..aku mau angkat MAZDA 2..tp..tgk la harga..tambah sikit leh dapat 2 biji persona..

    Like or Dislike: Thumb up 21 Thumb down 0
    • Bang Din on Sep 06, 2018 at 11:20 am

      Saya dah beli kereta Persona standard 1,6 vvt. Niat nak beli Mazda 2,88K …rasa membazir pulak,pastu lambat dapat.Pesona 2 Minggu dapat dah. Seronok dipandu dan cantik dgn body kit baru. Masalah dikesan,terdapat henjutan di awal pergerakan kereta.Mungkin sistem gear box 6 speed. Lampu depan boleh laras dari kopkit macam Merc. Head rest tinggi sangat mcm omputih yang pakai. Saya bagi 3/5 bintang.

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • kalo belom ade kereta lagi no brainer akan angkat kereta ni..tp skrg pakai kereta potato cap vios je.utang lg 4 tahun..penyakit pon mcm2 dah klua.redha je dgn kereta2 menarik yg ade skrg..huhu

    Like or Dislike: Thumb up 8 Thumb down 0
    • mustahil la pakai vios pon ada penyakit..agak-agak la nak menipu..bukan ke toyota paling top kat malaysia ni..

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 10
  • Jimmy on Sep 23, 2016 at 12:54 pm

    masalah pd produk proton bukan pada design tp pada parts yg kena repair setelah bbrp bulan beli. mcm sy sendiri… pakai suprima baru nk masuk 3 thn tp 4 kali kena tukar engine mounting! harap proton improve quality pd semua parts spy jgn ada saja yg nk kena repair bila setiap kali servis. masalah2 mcm ni yg membuatkan ada yg serik dgn proton.

    Like or Dislike: Thumb up 8 Thumb down 5
  • Masyitah on Sep 23, 2016 at 1:06 pm

    Dengan design begitu, mungkin sy akan mempertimbangkan untuk membeli Honda city atau Toyota iriz. Agak mahal sedikit tetapi berbaloi untuk digunakan dalam tempoh yang panjang. Design model dari jepun memang up to date dan everlasting…. tengok seat belakang. Alahai, kesian klo bawa orang tua bila mereka mengantuk dan nk tido…. boleh patah leher..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 25
    • hembusss on Sep 23, 2016 at 5:58 pm

      TOYOTA IRIZ!!!!!! Salah tu.. nama kereta tu proton vios lah

      Like or Dislike: Thumb up 15 Thumb down 0
    • anakbochek on Oct 07, 2016 at 12:39 pm

      Dia nak kata Toyota Yaris kot?

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • Amran on Oct 11, 2016 at 3:38 pm

      Aku ingat Ahmad Maslan je suka keluar statement kurang cerdik, Masyitah pun sama gak.. Booking aku satu Toyota Iriz kalau jumpa.. bungkus ikat tepi..

      Like or Dislike: Thumb up 15 Thumb down 0
  • hembusss on Sep 23, 2016 at 5:59 pm

    Toyota Iriz!!!!!.. Salah tu.. nama kereta tu proton vios lah.. tu pun tak tau ke?

    Like or Dislike: Thumb up 9 Thumb down 0
  • saya pakai proton persona lama , dah sebilan tahun pakai dah habis bayar pun hutang tiada masalah yang dihadapi sehingga sekarang , janji cukup masa servis tepat pada waktunya.

    Like or Dislike: Thumb up 21 Thumb down 2
  • Mohamad azuan on Mar 29, 2017 at 12:53 pm

    Nak boking 1 persona untk jdkan teman alza sya hehe td dah try test drive mmg berbloi dgn harga..

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Mohamad azuan on Mar 29, 2017 at 12:58 pm

    Saya guna alza dah 3 thun stgh milage 131k km x pernah ada masalah alhamdulillah.. harap2 2nd car persona nie nanti pun ok juga..

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • pengguna proton on Aug 19, 2017 at 7:20 pm

    saya guna persona se tahun 2009 sampai skrg alhamdulillah ok.. (lotus handling sgt puas hati).. baru sekali tukar timing belt, engine mounting.. lain2 ok.. next repair( intake iamf nk tukar sb dh berbunyi). Wlupun dh 2kali accident major.. cuma persona 2016 disc brake depan je.. persona se depan belakang disc brake. yang penting rasanya cara guna dan penjagaan kereta xkira apa jenis pun..

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • insanbiasa on Sep 12, 2017 at 7:04 pm

    Baru tadi loan aku lulus di Kuwait Finance utk Persona, 3.06%, bulanan RM400. Aku pengguna Persona lama selama 10 tahun, tak pernah buat masalah, masa nak serahkan kat dealer nanti (trade in) rasa nak buat majlis perpisahan…sedih la juga, khidmat nya buakn sedikit sepanjang aku bertugas ,mana je yg dia tak redah dari Kedah sampai ke Johor…185,000.00 KM….Selamat berpisah!

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
  • Dah beli. Setelah diskaun dan bawa ncd keta lama, harga varian std auto cuma rm46424 je.

    Xpernah bawa kereta mahal yang lain. So, berpuas hati.

    Lagipun waranty, servis dan spare part percuma 5 tahun.. Risaukan harga petrol je la

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Azeri94 on Jun 23, 2018 at 6:51 pm

    Alhamdulilah dah hampir sebulan drive cik sona premium sy ni so far ok. bawak pun sedap handling syokk tq proton

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Bang Din on Sep 06, 2018 at 11:25 am

    Tinggi intrs…3.06….Mungkin pinjam bawah 40K kot…Saya loan 42K 2.95

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Saya dah pakai persona ni.. bukan nak puji bahagian depan sangat selesa dan luas lebih selesa dari almira dan ruang belakang yg sangat besar serta luas untuk anak-anak saya dan ibu saya.. try dulu baru tahu.. memang luas dan keupayaan kereta ni pun sangat puas hati …pickup yg cepat memotong pun best naik bukit tinggi pun langsung takda masalah.. tak nyesal beli

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required