PANDU UJI: Proton Saga 2016 – adakah ia bakal mengubah permainan yang dibawa Perodua Bezza?

14-proton-saga-2016-bm-rim-red

Selesai dengan sedan premium segmen-D Perdana 2016 dan sedan mampu milik segmen-B Persona 2016, kini tiba masanya Proton menggerakkan satu lagi buah catur yang penting dalam usaha memulihkan kembali prestasi mereka sebagai ‘Abang Long’ dalam industri automotif tempatan. Model berkenaan tidak lain dan tidak bukan – Proton Saga 2016.

Maklumat terkini yang kami terima semasa sesi uji pandu media untuk Proton Persona baru-baru ini, model berkenaan dilaporkan telah menerima tempahan sebanyak 8,000 unit, setelah sebulan dilancarkan. Jadi, setakat ini, strategi Proton dalam memulihkan prestasi mereka dilihat berada di atas landasan yang betul.

Adakah Saga akan terus memacu momentum yang dimulakan Persona? Harapan ini saya bawa ketika menuju ke Pusat Kecermelangan Proton, Shah Alam setelah menerima jemputan pandu uji model ini di litar ujian pengeluar automotif nasional berkenaan. Saya percaya, ini bukan hanya harapan saya, bahkan ini harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat perubahan yang dijanjikan Proton, dan juga mereka yang mahukan sebuah sedan yang sangat mampu milik tetapi masih dibina ‘dengan jiwa’ dan bukan untuk keuntungan semata-mata.

4-proton-saga-2016-bm-headlight-red

Sebelum ini, ramai yang membandingkan Persona dengan dengan sedan pertama dari Perodua iaitu Bezza. Untuk makluman anda, Persona adalah sedan dalam segmen B, manakala Bezza merupakan sedan dalam segmen A yang lebih kecil. Jadi, seteru Bezza bukanlah Persona, tetapi adiknya iaitu Saga yang bakal dilancarkan oleh Proton ini.

Seperti juga sesi uji pandu prebiu Persona dan Perdana sebelum ini, sebarang kamera dan telefon bimbit berkamera dilarang untuk dibawa masuk dan kami hanya dibekalkan sedikit gambar close-up rasmi dari Proton. Saga generasi ketiga ini dibina di atas platform yang sama dengan model generasi sedia ada. Oleh itu, jarak roda untuk model baharu ini tidak berubah dengan ukuran 2,465 mm.

Panjang keseluruhan sedikit meningkat iaitu 4,311 mm, berbanding Saga BLM yang diukur dengan 4,278 mm (-74 mm). Perbezaan panjang ini adalah kerana rekaan pada bampar hadapan yang direka seiring dengan permukaan lain pada bahagian muka bagi mendapatkan pekali geseran yang lebih baik. Model baharu ini juga lebih lebar 9 mm dengan ukuran 1,689 mm (1,680 mm pada model lama) tetapi 11 mm lebih rendah dengan ukuran 1,491 mm (1,520 mm pada model lama).

38-proton-saga-2016-dimensions-bm

Berbanding Bezza, Saga 2016 adalah 181 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar, jarak rodanya 10 mm lebih jauh serta 19 mm lebih rendah (Bezza diukur dengan dimensi panjang 4,150 mm, lebar 1,620 mm, tinggi 1,510 mm dan jarak roda 2,455 mm). Untuk kapasiti ruang kargo pula, but Saga 88 liter lebih kecil daripada Bezza, dengan 420 liter berbanding Bezza berkapasiti 508 liter.

Walau bagaimanapun, keseluruhan ‘kulit’ Saga 2016 ini adalah baharu sepenuhnya, di mana tiada satu komponen badan luaran pun diambil dari model sebelum ini. Rekaan dimulakan pada bahagian muka, dengan lampu hadapan reflektor halogen sedan ini direka lebih elemen bulat berbanding model FLX yang lebih bersegi.

Gril hadapan menerima rekaan signatur ‘Proton Wing’ tetapi dengan sedikit elemen berbeza iaitu bar berkembar pada sayap yang mengapit logo 3D Proton, mengingatkan kita pada rekaan gril Saga generasi pertama yang dilancarkan oleh Tun Mahathir pada tahun 1985. Bampar hadapan pula menampilkan rekaan gril bahagian bawah seperti ‘misai’ seiras dengan abang-abangnya iaitu Iriz dan Persona, diapit sepasang perumah lampu kabus. Manakala pada hud enjin pula, gelembung pada bahagian tengah seperti pada Perdana 2016 jelas kelihatan.

9-proton-saga-2016-bm-fog-red

Satu perkara lagi yang menarik, bumbung Saga 2016 ini direka dengan konsep bumbung pagoda, iaitu rekaan yang mempunyai lekuk pada bahagian tengah, seperti pada Toyota 86 dan Vios, dan lengkuk berkenaan kelihatan seolah-olah mengalir dari lengkuk pada hud enjin.

Beralih ke profil sisi, bayangan badan Saga baharu ini sedikit berbeza dari generasi sebelumnya. Seperti yang dinyatakan tadi, bahagian hadapan Saga baharu ini direka bagi mendapatkan pekali geseran yang lebih baik. Jadi, dari sisi, muncungnya kini kelihatan lebih bulat, berbanding FLX yang kelihatan bersegi.

Cermin sisi turut dilengkapkan dengan lampu isyarat membelok, untuk imej yang lebih premium. Garisan badan bahagian sisi kini lebih diserlahkan bagi membangkitkan imej lebih kukuh, serta ditambah dengan satu lagi garisan badan pada bahagian bawah yang kelihatan seperti bilah, sama seperti Iriz dan Persona.

19-proton-saga-2016-bm-signal-red

Pintu belakang juga direka lebih besar, di mana ia ‘ditarik’ lebih ke belakang dan diberikan ‘quarter window‘ (BLM dan FLX tiada cermin ini). Bahagian belakang pula kelihatan ‘terturun’ berbanding generasi sebelumnya yang direka tegak jika dilihat dari sisi, tetapi hakikatnya, but model baharu ini sebenarnya lebih tinggi dan memberikan tambahan kapasiti sebanyak tujuh liter (kapasiti but Saga FLX ialah 413 liter).

Model varian standard bakal diberikan roda besi berdiameter 13-inci dengan penutup rim sama seperti model generasi sebelumnya, dibaluti tayar 175/60/R13. Untuk varian Executive, ia akan menerima roda aloi 14-inci ‘snowflake’ dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 bersaiz 185/60R14. Manakala untuk Premium pula, ia akan dipadankan dengan roda aloi berdimeter 15-inci ‘turbine’ dibaluti tayar Silverstone Kruizer1 NS800 bersaiz 185/55R15.

Bahagian belakang merupakan antara bahagian dengan rekaan terbaik pada Saga baharu ini. Ia menerima sepasang lampu belakang ‘two-piece‘ iaitu lampu utama, brek dan isyarat membelok pada bahagian badan digabungkan dengan lampu tambahan yang menempatkan lampu undur melekat pada but. Walau bagaimanapun, kesemua varian Saga 2016 hanya menerima lampu mentol biasa, berbanding LED pada generasi sebelum ini.

24-proton-saga-2016-bm-spoiler-red

Lampu-lampu yang kelihatan seperti lampu belakang BMW E90 ini dihubungkan menerusi sebuah kemasan berbentuk bar merentangi but belakang (warna hitam untuk varian standard, warna badan untuk varian Executive dan krom untuk varian Premium), dan turut menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Spoiler ala ekor itik diberikan pada model Executive dan keatas.

Seperti juga Perdana dan Persona, Saga turut menerima kemasan pada bahagian bawah bampar belakang. Tetapi kemasan berwarna hitam pada Saga ini lebih ringkas, tiada lengkuk yang kelihatan seperti diffuser serta ruang untuk tip ekzos, dan menempatkan lampu kabus tunggal pada bahagian tengah.

Antara sasaran pasaran untuk Saga adalah golongan muda sama ada untuk pembeli pertama atau pembeli yang mahu menggantikan kereta sedia ada. Saya percaya, golongan sasar seperti yang dinyatakan tadi sudah mula membayangkan bagaimana rupa sedan ini setelah dipadankan dengan set rim seperti Enkei RPF-1, BBS RS, atau Rays Engineering TE37. Tetapi, mereka mungkin akan sedikit kecewa dengan rekaan pada bampar belakang Saga ini kerana tiada slot untuk memuatkan tip ekzos atau tip muffler yang lebih besar.

29-proton-saga-2016-bm-reardiffuser-red

Masuk ke bahagian kabin, anda akan disajikan dengan papan pemuka baharu. Tiada lagi papan pemuka dengan liang penghawa dingin berbentuk bulat ala-Lotus. Rekaan papan pemuka baharu ini lebih padan untuk sebuah sedan normal. Susunan dalam kluster instrumen masih lagi kekal dengan takometer di sebelah kiri, speedometer di bahagian kanan, paparan posisi gear (untuk CVT) di bahagian tengah dan lampu amaran serta informasi lain di atasnya. Namun tema pada latar belakang meter berkenaan kini seiras dengan Persona dan dilengkapi lampu penunjuk Eco Assist.

Roda stereng Saga baharu ini diambil terus dari Preve/Exora, yang kelihatan lebih menarik, tetapi agak janggal kerana unit beg udara pada roda stereng berkenaan kelihatan sangat besar setelah dipadankan pada papan pemuka Saga.

Kluster bahagian tengah ditempatkan liang hawa dingin berbentuk empat segi dan di bawahnya diletakkan pemain audio 2-DIN (hanya 1-DIN untuk varian standard dan Executive) yang turut diambil terus dari Exora. Saya sebenarnya agak kurang selesa dengan pemain audio berkenaan, kerana dengan saiz jari saya yang agak gempal, agak sukar untuk menekan butang-butangnya yang bersaiz agak kecil.

Barisan suis operasi untuk kunci pintu berpusat, lampu-lampu kabus, lampu isyarat halangan (hazard light) dan ESC ditempatkan di bawah pemain audio, diikuti suis-suis kawalan penghawa dingin yang diambil dari Saga FLX diletakkan di bawahnya. Tuil gear untuk versi CVT menggunakan tuil dari Iriz dengan selak gear pada bahagian hadapan, berbanding model lama di bahagian atas. Tuil untuk versi manual pula menerima tuil gear dari Satria Neo.

Saga 2016 (kiri) & Saga generasi sebelumnya (kanan)

Era gadjet pintar sekarang adalah tidak releven jika sesebuah kereta untuk golongan muda tidak dilengkapi port USB. Oleh itu, Proton melengkapkan tiga port USB pada Saga – satu untuk hadapan iaitu di sebelah soket 12V berhampiran pemegang cawan hadapan, dua lagi untuk bahagian belakang, di ruang storan belakang tuil brek tangan. Khas untuk varian Premium, ia turut dilengkapi kamera undur yang dipaparkan menerusi skrin pada cermin pandang belakang.

Walaupun mempunyai jarak roda yang sama, penumpang belakang kini mempunyai ruang kaki yang sedikit lebih luas berbanding Saga BLM/FLX. Proton agak pintar kali ini dengan merekabentuk bahagian belakang tempat duduk hadapan dengan poket yang melekuk ke dalam, seterusnya memberikan ruang lutut yang lebih selesa.

Tempat duduk belakang dirasakan agak tegak berbanding sebelum ini, tetapi ia terasa lebih relaks, mungkin kerana ia menggunakan material kusyen yang lebih lembut. Tempat duduk belakang pada model baharu ini turut direka agar boleh dilipat (tetapi tiada pisahan dengan nisbah 60:40) bagi memberikan ruang storan tambahan untuk but belakang jika diperlukan.

Selain itu, kesemua pintu pada Saga baharu ini juga lebih solid ketika dibuka dan ditutup, bahkan ia juga terasa lebih ringan kerana Proton telah mengurangkan daya untuk menutup/membuka pintu dari 25 kgf kepada hanya 15 kgf.

Saga kini tidak lagi dijana oleh enjin 1.3 liter Campro IAFM+ tetapi digantikan dengan enjin 1.3 liter VVT yang diambil dari Iriz berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm. Hanya varian standard menerima pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya dipadankan dengan transmisi CVT. Seperti juga Persona, unit janakuasa ini bukan sekadar memindahkannya dari casis Iriz ke Saga. Proton telah menala semula enjin dan transmisi ini sesuai dengan badan sedan Saga serta menambahbaik aspek respon serta NVH.

Ini bukan sekadar dakwaan Proton dalam kertas. Senyuman saya terukir sebaik sahaja tuil gear digerakkan ke posisi ‘D’, tuil brek diturunkan dan pedal pendikit ditekan – transmisi CVT pada Saga ini benar-benar responsif, jauh lebih responsif dari Iriz mahupun Preve! Tahap variasi gear juga kini diberikan dengan lebih tepat, tiada raungan enjin tidak tentu hala seperti Iriz dan Preve. Bunyi berdesing seperti pesawat mahu berlepas? Juga tiada pada CVT Saga 2016.

Transmisi manual juga mendapat talaan perinciannya tersendiri. Anda yang memandu Saga BLM/FL manual pasti kadang-kala menghadapi masalah untuk mengimbangi pedal pendikit dan pedal klac, terutamanya pada gear satu. Pada Saga generasi baharu ini, talaan pada IAFM (modul yang mengawal injap pendikit pada throttle body, tiada lagi kabel dari pedal pendikit ke injap berkenaan) telah diperhalusi dan lebih responsif.

Talaan pada enjin juga kini lebih linear hingga 5,500 rpm sebelum menukar gear kedua. Ini jelas berbeza pada generasi sebelum ini dimana tork yang ‘melompat’ dirasakan pada rpm rendah tetapi ia seakan mati sekitar 4,000 ke 5,000 rpm.

31-proton-saga-2016-5-bm

Menurut Proton, untuk versi CVT, Saga baharu mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.1 saat dan penggunaan bahan api dicatatkan pada 5.6 l/100 km (14.5 saat/6.3 l/100 km pada model sebelum ini). Manakala untuk versi manual pula, ia kini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat dan penggunaan petrol dicatatkan pada 5.4 l/100 km (13 saat/ 6.0 l/100 km pada model sebelum ini).

Cagak enjin juga diberi perhatian. Empat cagak enjin pada Saga FLX kini hanya tiga pada Saga 2016, di mana cagak pada blok enjin bahagian hadapan ditiadakan serta torque rod pada bahagian belakang enjin kini menerima rekaan baharu. Hasilnya, getaran pada enjin kini kurang dialirkan ke kerangka badan, bagi memberikan kadar NVH yang lebih bagus.

Pengendalian turut menjadi aspek yang ditumpukan oleh Proton pada Saga baharu ini. Kerangka asas kini menerima lebih banyak logam berketegaran tinggi seterusnya meningkatkan ketegarannya dari 10,000 Nm/deg pada model sebelum ini kepada 12,000 Nm/deg pada model Saga baharu. Komponen-komponen suspensi seperti spring dan getah-getah bushing diubah untuk memberikan talaan pengendalian yang lebih baik.

35-proton-saga-2016-11-bm

Talaan tersebut tidak dinafikan telah memberikan karekteristik baharu dalam pengendalian Saga ini. Daya olengan pada Saga baharu ini jelas berkurangan, dan ia kini tidak lagi ‘terhuyung-hayang’ ketika menukar laluan mahupun melalui permukaan yang agak beralun.

Walaupun masih menggunakan sistem stereng kuasa hidraulik, Proton telah menala semula nisbah pada rak dan pinion stereng kepada 16:1 daripada 20:1 pada model terdahulu, membolehkan arah diubah dengan lebih cepat. Daya untuk memutar roda stereng juga kini lebih ringan iaitu 2.75 kgf berbanding 3.0 kgf pada Saga FLX.

Untuk keselamatan, kesemua varian menerima cagak tempat duduk ISOFIX pada bahagian belakang, dan juga dua beg udara. Varian Executive dan keatas menerima sistem brek ABS dengan BA dan EBD. Khas untuk varian Premium, ia turut menerima Bantuan Mula Mendaki (HHA) dan juga Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) bagi membolehkan varian berkenaan menerima penarafan ASEAN NCAP empat-bintang.

Mampukah Bezza kekal dengan gelaran ‘game changer‘? Secara keseluruhan, boleh saya simpulkan bahawa Proton telah melaksanakan perkara yang sepatutnya dilakukan untuk memberi sebab yang mencukupi mengapa pemilik Saga BLM yang kini sudah pun berusia lapan tahun untuk menukar kereta mereka kepada Saga 2016, walaupun ia dibina dari platform yang sama tanpa beralih ke jenama yang lain.

E-Flyer

Saga 2016 juga bakal dijual pada harga jangkaan bermula RM37,000 hingga RM46,000. Jika harga ini tidak jauh dari harga sebenar, Saga dilihat mampu untuk menarik pelanggan yang berpotensi untuk membeli Bezza untuk model varian asas hingga varian tertinggi. Bezza varian paling rendah hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder, tetapi mempunyai harga yang sama dengan Saga standard. Manakala untuk spesifikasi Premium yang dilengkapi ESC, ia lebih murah berbanding Bezza Advance yang dijual pada harga RM51k.

Untuk persaingan pada varian lain, Saga dilihat turut tidak mempunyai masalah terutama kelebihan pada pengendalian Proton berbanding sedan yang dihasilkan Perodua.

Proton Saga 2016 bakal dilancarkan pada pertengahan minggu hadapan. Bagi mereka yang berminat, tempahan untuk model ini telah pun mula dibuka dan bakal dijual pada harga jangkaan bermula RM37,000 hingga RM46,000. Enam warna ditawarkan iaitu hitam, merah, putih, kelabu (baharu), biru (baharu) dan perak. Setiap pembelian turut dilidungi 3 + 2 tahun atau 150,000km yang mana sampai dahulu. Untuk lebih jelas, kami sertakan sekali spesifikasi lengkap untuk setiap varian yang ditawarkan dalam barisan penuh Saga 2016 ini.

Proton Saga 1.3L Standard MT/CVT 2016

Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

Ciri-ciri

  • Enjin 1.3 liter VVT
  • 94 hp, 120 Nm
  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama halogen reflektor
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir hadapan dan belakang
  • Rim besi 13 inci (dengan tayar Silverstone Synergy M3 saiz 175/70)
  • Cermin sisi, pemegang pintu dan hiasan belakang hitam tanpa cat
  • Cermin sisi larasan manual
  • Tiang-B warna badan
  • Kemasan dalam hitam
  • Unit audio 1-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
  • 2 port mengecas USB
  • Tempat duduk fabrik serba hitam
  • Tempat duduk pemandu dengan ketinggian yang boleh dilaras
  • Ruang but 420 liter dengan tayar simpanan jimat ruang
  • Tempat duduk belakang boleh lipat
  • Trim pintu plastik
  • Cagak ISOFIX
  • Dua beg udara
  • Brek cakera hadapan dan brek dram belakang

2016 Proton Saga 1.3L Executive CVT

Ciri-ciri tambahan

  • Brek ABS dengan EBD
  • Lampu kabus hadapan
  • Rim aloi 14 inci ‘snowflake’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/60)
  • Cermin sisi, pemegang pintu dan kemasan belakang berwarna sama seperti badan
  • Cermin sisi berkuasa elektrik
  • Tiang-B warna hitam
  • Spoiler pada but belakang
  • Kemasan kelabu berkilat pada liang pendingin hawa dan stereng
  • Tempat duduk fabrik bercorak mesh
  • 2016 Proton Saga 1.3L Premium CVT

    Ciri-ciri tambahan

    • Rim aloi 15 inci ‘turbine’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/55)
    • Electronic Stability Control (ESC)
    • Hill-hold Assist
    • Unit audio 2-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
    • Kemasan kelabu berkilat pada tombol gear dan sekeliling
    • Tempat duduk fabrik bercorak gelombang
    • Kamera undur (dengan paparan bersepadu pada cermin pandang belakang)
    • Butang kawalan audio pada stereng

    Semua model mendapat tingkat taraf seperti berikut:

    • Enjin 1.3 VVT (menggantikan IAFM+)
    • Prestasi manual – 0-100km/j dalam 12.2 saat (daripada 13.0 saat)
    • Penggunaan bahan api manual – 5.4 l/100 km (bertambah baik daripada 6.0 l/100km)
    • Prestasi CVT – 0-100km/j dalam 13.1 saat (daripada 14.5 saat)
    • Penggunaan bahan api CVT – 5.6 l/100 km (bertambah baik daripada 6.3l/100km)
    • Hanya tiga cagak enjin untuk mengurangkan peralihan getaran ke kerangka
    • ECU yang ditala semula untuk tindak balas CVT lebih baik
    • Tayar dengan rintangan golek lebih rendah, cengkaman atas jalan basah lebih baik (lebih senyap 2db)
    • Pakej pemanduan dan kawalan dipertingkat
    • Tahap keselamatan ASEAN NCAP empat bintang (daripada tiga bintang)
    • Rak stereng lebih tepat dan pantas (nisbah 16:1 daripada 20:1)
    • Radius membelok lebih kecil (5.1 m berbanding 5.3 m)
    • Penutupan pintu lebih ringan (15 kgf berbanding 25 kgf)
    • Kuasa stereng lebih ringan (2.75 kgf berbanding 3.0 kgf)
    • Kerangka lebih tegar (12,000 Nm/deg berbanding 10,000 Nm/deg)

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Hidden due to lowcomment rating. Click here to see.

    Poorly-rated. Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 104
    • labix7 on Sep 24, 2016 at 1:43 pm

      much much better than your face,

      good job proton .. now many people got jealous with u bcoz lots of improvement

      Like or Dislike: Thumb up 49 Thumb down 1
    • im punch man on Sep 24, 2016 at 1:50 pm

      which part is ugly as hell? buta mata ke buta hati nih??

      Like or Dislike: Thumb up 25 Thumb down 1
    • Ismaily on Sep 24, 2016 at 3:01 pm

      Mcm pernah masuk neraka???

      Tahniah proton!! Rasa nak angkat sebiji lh pulak.. hehe

      Like or Dislike: Thumb up 24 Thumb down 0
    • Kristal on Sep 24, 2016 at 6:46 pm

      Pernah mimpi neraka ker? Cer citer….

      Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
  • salehuddin ibrahim on Sep 24, 2016 at 11:22 am

    Terbaik.
    Yg ckp ugly..
    Sebab diri sendiri rasa hensem sgt.
    Phuiiii

    Like or Dislike: Thumb up 37 Thumb down 2
  • mohamad on Sep 26, 2016 at 9:47 pm

    Bhgn belakang adalah rekaan paling cun..bhgn depan boleh diperbaiki lagi agar sama cun..mgkin utk model facelift akan dtg..apapun syabas proton

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
  • Aidil on May 19, 2017 at 9:16 am

    Tapi pelik ada jugak yg angkat saga flx yg lama tu berbanding yg baru

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • batter saga flx….pickup menarik(lambat)
    pintu dengan dashbox bunyi….sistem silap sikit keluar lambpu engin..saya comment ni sebab saya sendiri pakai..masa standart 1.4km speed dah terhuyung hayang..model ringan…sistem gear box problem..sound angin and tayer bunyi kuat…rasa lagi rasa sedih bila gi sc dia ckap promlem soft tapi bawak balik masih sama jugak problem

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • use and u know problem

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required