A photo posted by DRRally (@drrally) on

Mungkin ramai yang tidak tahu, Malaysia sebenarnya mempunyai seorang juara dunia dalam sukan permotoran. ‘The Flying Sikh‘ Karamjit Singh telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Production Car (PWRC) pada tahun 2002, menjadikan beliau bukan sahaja rakyat Malaysia pertama, bahkan beliau merupakan orang Asia pertama merangkul gelaran peringkat dunia tersebut. Apa yang lebih manis, kejayaan berkenaan dikecapi dengan penyertaan pertamanya dalam WRC, serta memandu untuk pasukan Petronas EON Racing Team (PERT).

Fakta ini mungkin kurang diketahui oleh kebanyakkan rakyat tempatan dan diberi pendedahan yang luas oleh media kerana semasa Karamjit berjuang merebut kejuaraan, seorang lagi pelumba negara iaitu Alex Yoong, juga sedang diberi perhatian dalam persaingannya di kancah kejuaraan Formula 1.

Untuk perlumbaan-perlumbaan di sekitar Asia Pasifik, Karamjit menggunakan jentera rali Proton/Mitsubishi Lancer Evo (Mitsubishi telah mendaftarkan nama Lancer sebagai model yang dibina bersama Proton bagi membolehkan Proton bertanding dalam kejohanan anjuran FIA menggunakan jenamanya) yang dibina oleh PERT sendiri dengan nombor pendaftaran Malaysia “PROTON 1784”.

Manakala pada kejohanan WRC untuk pusingan-pusingan di Eropah, PERT menggunakan Mitsubishi Lancer Evo VI dengan nombor pendaftaran UK “WU02 XFB” yang disediakan oleh Mellor Elliot Motorsport, syarikat yang sama membina Satria Neo S2000 dan juga baru-baru ini menyiarkan imej teaser Proton Iriz R5.

Baru-baru ini, laman instagram DRRally iaitu akaun penganjur Rally Day 2016 – acara pertunjukkan kereta-kereta Rali terbesar di Eropah – telah menyiarkan jentera juara PWRC 2002 berkenaan, menyertai pertunjukkan tersebut. Evo VI yang pernah dipandu Karamjit itu kini dimiliki oleh seorang pemandu rali persendirian di UK, masih lagi mengekalkan livery asal pasukan PERT, serta masih mampu untuk bertanding dalam mana-mana perlumbaan rali.

Ini tentunya khabar gembira buat peminat sukan permotoran tempatan kerana jentera lagenda yang pernah mengharumkan nama negara berkenaan masih dalam keadaan baik, dan dijaga oleh orang yang sepatutnya.