PANDU UJI: Toyota Vios 2016 makin progresif – lebih radikal dengan kehadiran ‘jantung’ baharu, VSC

5d3_2597

Toyota Vios atau jika ikut sebutan dalam bahasa Jepun ‘Toyota Vu-iosu’ mula diperkenalkan di pasaran dunia khususnya Asia Pasifik, sejak tahun 2002. Ia adalah menggantikan model Tercel atau pun lebih dikenali sebagai Soluna di pasaran Thailand, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Diletakkan di bawah segmen-B, nama Vios yang diambil dari bahasa Latin yang bermaksud “to move forward” ini ternyata meledak di pasaran Malaysia. Ia seakan menjadi antara model kereta kegemaran bagi golongan pertengahan terutamanya yang berusia akhir 20an hingga 50an. Selain model pesaing terdekatnya iaitu Honda City, Vios turut memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri.

Cuba perhatikan di jalan raya di seluruh Malaysia, memang Vios kelihatan di mana-mana. Popularitinya boleh dikatakan hampir sama dengan ‘abang sadonya’ iaitu Hilux, walau dalam kategori yang berlainan.

Walau pun dahulunya, ada mulut-mulut yang mengatakan bahawa Vios kurang sesuai untuk generasi muda kerana memiliki rekaan yang agak skema. Malah ada juga yang mengaitkannya dengan rupa ikan dugong. Namun selepas kelahiran generasi ketiganya pada tahun 2013, gelaran ‘dugong’ itu mula lenyap, bagai telah lapuk ditelan zaman.

Model pertama bagi Vios generasi ketiga yang dilancarkan di Malaysia pada 2 Oktober 2013 hadir dengan rekaan yang lebih dinamik. Gabungan imej ranggi dan sporty cukup membantu menyerlahkan lagi paras rupa model ini. Malah secara tidak langsung memberikan impak yang jauh berbeza berbanding adik-beradik Vios yang terdahulu.

2016-toyota-vios-64

Walau pun ia masih mengekalkan enjin yang sama dengan generasi terdahulu iaitu 1.5 liter empat-silinder sebaris, 16 injap, DOHC dengan VVT-i, namun imej yang dipertaruhkan ternyata lebih segar. Kemudian pada Januari 2015 pula, model facelift telah diperkenalkan. Walau pun tidak langsung menyentuh bahagian mekanikalnya, namun ia membawakan perubahan yang lebih segar pada bahagian luaran dan dalamannya.

Antara elemen baharu yang ditampilkan pada Vios 2015 termasuklah kemasukan Pintar, sistem penghidup enjin dengan butang start/stop, kekemasan dalaman berwarna hitam (sebelum ini ia menampilkan warna kuning air), tempat duduk balutan kulit juga berwarna hitam, scuff plate pada bahagian ambang pintu dan kekemasan krom pada pemegang pintu.

Meneruskan langkah yang lebih progresif, Toyota memperkenalkan pula satu lagi model facelift Vios pada 4 Oktober lalu, genap tiga tahun model pertama generasi ketiga berada di Malaysia.

Menampilkan enam pilihan varian iaitu 1.5 TRD Sportivo yang merupakan spesifikasi tertinggi yang dilengkapi dengan kit badan lebih bergaya, serta 1.5 GX (AT) iaitu varian baharu yang menyertai barisan Vios kali ini, selain 1.5G (AT), 1.5E (AT), 1.5J (AT) dan varian manual tunggal 1.5J (MT).

Menariknya, kini kesemua varian dilengkapi dengan lebih banyak ‘faktor X’ yang pastinya berkeupayaan kelonjakkan lagi populariti Vios di Malaysia. Apatah lagi ketika ia perlu bersaing dengan model-model jenama lain, termasuk Nissan Almera, Kia Rio sedan, Proton Persona dan pesaing terdekat pastinya Honda City.

5d3_2015

Jadi untuk mengetahui ‘faktor X’ yang ada pada Vios 2016 ini, sila baca ulasan hingga ke noktah terakhir. Di mana kami telah diundang untuk mengikuti sesi pandu uji Vios 2016 pada hari pelancarannya iaitu dari ibupejabat UMWT di Shah Alam hingga ke bandaraya Melaka.

Perjalanan hari pertama melibatkan jarak hampir 210 km menggunakan 50% lebuhraya dan 50% jalan biasa termasuk jalan di kawasan kampung dan pekan kecil. Manakala hari kedua bagi perjalanan pulang ke Shah Alam sejauh 141 km melibatkan 100% lebuhraya. Pemanduan dengan unit Vios 1.5 TRD Sportivo secara bergilir-gilir bersama Jonathan Lee (paultan.org) dan Jason Chung (paultan.org/cn). Selain 1.5 TRD Sportivo, varian lain yang turut menyertai sesi pandu uji ini ialah 1.5GX.

Faktor X yang paling utama tentunya disebabkan pembaharuan penjana kuasa yang ditampilkan. Vios 2016 kini dijanakan oleh enjin baharu iaitu 2NRFE 1.5 liter empat-silinder Dual VVT-i yang menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i yang digunakan pada model-model sebelum ini. Berbeza dari 1NZ-FE yang dilengkapi sistem VVT-i hanya pada injap kemasukan, enjin 2NR-FE pula disertakan dengan sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos.

Walau pun menggunakan enjin baharu, namun hakikatnya enjin 2NR-FE ini memiliki kuasa yang kurang daripada enjin 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm (-1 Nm).

Ini bukan bermakna Toyota sengaja ‘merendahkan gred’ bahagian enjin semata-mata mahu mendapatkan penjimatan bahan api tetapi lonjakan kuasa yang berkurangan. Alasan Toyota, mereka mahu memadankan enjin ini juga dengan transmisi baharu yang lebih berkuasa dan mengikut aliran zaman.

2016-toyota-vios-24

Jika model terdahulu, Vios dipadankan dengan kotak gear konvensional automatik empat-kelajuan, kini ia digantikan pula dengan transmisi CVT yang turut disertakan dengan mod tujuh-kelajuan maya. Sekaligus membolehkan ia mencapai penjimatan bahan api 18% lebih baik berbanding model sebelum ini. Walau bagaimana pun tiada perubahan pada kotak gear manual lima-kelajuan untuk varian paling rendah iaitu Vios 1.5J.

Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk Vios 2016 dianggarkan sekitar 20 km bagi setiap liter.

Bukan itu sahaja, pembakaran pada kebuk kini lebih sempurna di mana bahagian tepi (squish) ruang pembakaran omboh direka tirus dan pembakaran dicucuh menggunakan palam pencucuh jenis iridium.

Geseran dalam enjin juga dikurangkan dengan penggunaan pelbagai ciri baharu, antaranya lengan jumpelang yang dilengkapi galas pengguling (roller rocker arm), pemancut minyak pelincir omboh yang dipertingkat serta bahagian sisi omboh (piston skirt) yang disalut dengan resin. Penutup kepala enjin baharu ini juga direka agar dapat menebat lebih banyak bunyi dari enjin bagi mendapatkan aspek NVH yang lebih baik.

Mengikut pengamatan saya, Vios 2016 ini sangat bersesuaian dengan pemanduan secara sederhana. Jika anda seorang yang suka memandu secara agresif, lupakan Vios. Ini bukan kereta yang boleh anda lenjan dan tekan pedal pendikitnya semahu-mahunya.

Ya, enjin ini masih ada kuasa namun bukan dalam semua keadaan ia mampu dikerah sebaik mungkin. Ia memang boleh dipandu dalam kelajuan yang tinggi, terutamanya di lebuhraya, tidak begitu sukar untuk mencapai kelajuan sehingga 160 km/j. Walau pun dari kelajuan yang perlahan dan terus laju, sedikit kesabaran diperlukan untuk mendapatkan daya pecutan yang memuaskan hati anda.

5d3_1874

Namun jika naik bukit atau pun memotong kenderaan lain, kerahan tenaganya sangat perlu. Maka, ia turut mendorong bunyi enjin yang agak menderam dan bunyi itu agak jelas kedengaran dari dalam kabin. Mungkin akan membuatkan fokus anda sedikit terganggu dengan bunyi enjin. Tetapi ini hanya berlaku sekiranya enjin dikerah secara mendadak atau pun berlebihan.

Bagi pemanduan yang sederhana dan santai, terutamanya di kawasan bandar atau jalan biasa, Vios 2016 tidak mendatangkan gangguan fokus.

Dengan transmisi baharu ini, saya bersetuju dengan Toyota, ya ia lebih baik berbanding kotak gear konvensional empat-kelajuan. Transmisi ini bersifat linear, masih mampu bekerjasama secara baik dengan enjin. Namun adakalanya terasa ia sedikit lambat untuk respon terutamanya ketika naik bukit atau memotong. Jadi, kegunaan mod tujuh-kelajuan maya cukup ditagih kerana ia bertindak lebih pantas. Walau pun tiada pedal penukar gear di belakang stereng, tiada masalah kerana anjakan gear dengan menggunakan tuil gear cukup memadai.

Apa pun saya mahu memuji sistem brek yang dipadankan pada Vios 2016 ini. Dengan sedikit tekanan sahaja pada pedal brek, ia sudah cukup responsif dan stabil. Tidak seperti model terdekatnya, Honda City yang memerlukan tekanan brek lebih padu untuk mendapatkan respons yang dimahukan.

Jadi bagi pemanduan dalam bandar, khususnya jika tersekat dalam kesesakan trafik, tak perlu hendak brek mengejut atau mendadak. Pijak sedikit sahaja pedal brek, sudah mencukupi. Malahan sekiranya memerlukan anda brek mengejut, tidak perlu menekan habis pedal brek pun. Bagi varian 1.5 TRD Sportivo (termasuk1.5GX, 1.5G), ia dipadankan dengan cakera berliang untuk bahagian hadapan dan cakera solid (cakera dram untuk 1.5E, 1.5J) di belakang.

5d3_2999

Berkenaan dengan pengendaliannya, Vios 2016 mampu memberikan keselesaan pada tahap sederhana. Suspensinya terasa agak lembut, jadi olengan badan dan kesan bumpy agak mudah terasa walau pun tidak begitu keterlaluan, terutamanya ketika memandu di selekoh atau pun merentasi permukaan jalan yang beralun.

Bagi jejari pusingannya, ia boleh mencapai sehingga 5.1 m tetapi biarpun ia dilengkapi dengan stereng berkuasa eletrik, namun jika hendak membuat pusingan U atau membelok pada selekoh tajam, sterengnya tidaklah selembut yang ada pada Honda City. Tetapi lebih baik berbanding dengan Nissan Almera.

Vios 2016 turut menerima peningkatan dari segi sistem keselamatan di mana kesemua varian kini dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) di samping sistem ABS dengan EBD dan BA serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun, semua varian masih kekal dengan dua beg udara, tidak seperti varian tertinggi Honda City dan Kia Rio Sedan yang menerima enam beg udara.

Kami turut menguji kegunaan VSC di Melaka International Motorsport Circuit, sememangnya ia cukup responsif dan mampu bertindak dengan pantas dalam situasi yang diperlukan. Terutamanya jika memandu di selekoh dengan kelajuan yang sedikit tinggi, ia mampu mengelakkan kereta daripada understeer.

Bagi varian 1.5 TRD Sportivo, pastinya ia bampak lebih bergaya dan stylo berbanding varian-varian lain. Kit badan TRD Sportivo yang terdiri daripada spoiler bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, dan trunk lid spoiler serta roda aloi eksklusif 15-inci dan lencana ‘TRD Sportivo’ di bampar hadapan dan belakang. Filem Penapis Haba dan Keselamatan Premium Toyota juga didatangkan standard untuk model ini (pilihan untuk varian lain).

Dua varian tertinggi Vios 2016 iaitu 1.5 TRD Sportivo dan 1.5GX dilengkapi dengan lampu utama halogen projektor (smoked) dengan cermin hadapan akustik. Gril hadapan TRD Sportivo berwarna hitam eksklusif, manakala 1.5GX pula berwarna krom gelap. Kedua-duanya juga ditampilkan dengan lampu kabus hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan cermin sisi dengan indikator isyarat membelok berkuasa.

Manakala sedikit berbeza dengan 1.5GX yang ditampilkan dengan aerokit baharu, rim aloi eksklusif 15-inci dan lencana “X” di bahagian belakang.

Sebenarnya jika melihat paras rupa Vios 2016, perubahan yang dilakukan tidaklah sebegitu besar dan drastik. Ia masih kelihatan seiras dengan model facelift 2015 dan Vios 2013. Cuma elemen baharu yang disebut di atas membuatkan penampilannya lebih segar.

Vios 2016 memiliki ukuran dimensi 4,410 mm panjang, 1,700 mm lebar, 1,475 mm tinggi dan jarak roda 2,550 mm. Berbanding Honda City dengan 4,440 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,477 mm tinggi dan jarak roda 2,600 mm.

Menjengah bahagian kabin 1.5 TRD Sportivo, ia ditampilkan dengan trim paten gentian karbon, tempat duduk kulit hitam dengan jahitan benang merah serta grafik pada kluster instrumen yang lebih sporty dan sport analogue pada panel meter. Papan pemuka dengan material plastik sentuhan keras berwarna hitam dengan jahitan palsu juga warna hitam memang menampakkan imej yang sedikit elegan.


Elemen lain yang turut disertakan pada 1.5 TRD Sportivo ini termasuklah kemasukan pintar, butang penghidup enjin yang kedua-duanya ada pada semua varian, selain Eco indicator, roda stereng tiga-jejari dengan balutan kulit dan jahitan benang merah, tombol gear balutan kulit dan unit utama 2-DIN dengan pemain DVD bersama skrin sentuh 6.8-inci dan enam-pembesar suara bagi sistem audio.

Selain itu, ia turut menampilkan pengesan suara, AUX-Jack, USB, Bluetooth dan kamera undur. Elemen ini turut ada pada varian 1.5GX, 1.5G, dan 1.5E.

Jika sebagai penumpang di dalam Vios 2016, keselesaan memang dirasai. Tolak tepi bunyi enjin yang menderam jika tenaganya dikerah mendadak atau berlebihan. Jika kenderaan dipacu dalam kelajuan sederhana tanpa terlalu memecut, sebagai penumpang, ia tidak terganggu.

Duduk di tempat duduk penumpang belakang, terasa sedikit bumpy apabila kereta merentasi jalan berselekoh atau permukaan yang beralun. Malah untuk penumpang yang berketinggian lebih 175 sm mungkin sedikit ‘sengsara’ jika duduk di belakang kerana ruang kepalanya tidak begitu tinggi. Manakala ruang kaki pula sederhana sahaja.

Bagi ruang butnya pula, Vios 2016 berkeluasan 506 liter, berbanding 536 liter pada Honda City, Almera (490L), Persona 2016 (510L) dan Rio sedan (389L).

Tiga warna tambahan disediakan untuk dipilih dalam brosur Vios 2016 iaitu Crimson Spark Red Metallic, Super White II dan White Pearl CS (hanya ditawarkan untuk TRD Sportivo), bersama warna sedia ada iaitu Silver Metallic, Medium Silver Metalic dan Attitude Black Mica.

Disebabkan Vios 2016 kini menerima pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), maka harga untuk model baharu ini dilihat sedikit murah berbanding model sebelumnya. Di mana 1.5 TRD Sportivo berharga RM96,400, 1.5GX (RM92,800), 1.5G (RM89,800), 1.5E (RM83,900), 1.5J AT (RM79,800) dan 1.5J MT (RM76,500)

Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk insuran serta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Konklusinya, Vios ini sebenarnya sudah ada platform populariti yang tersendiri. Ada yang memilikinya hanya kerana namanya yang utuh. Apatah lagi kini pelbagai pembaharuan telah dilakukan termasuklah menampilkan imej yang lebih berketerampilan, sesuai dengan aliran masa kini. Soal harga, nah ini satu lagi bonus buat Vios 2016 yang pastinya mampu melonjakkan angka jualan bagi UMWT.

Sebelum ini, khabarnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jualan Vios sedikit kurang menyenangkan kerana model facelift sebelum ini tiada perubahan mekanikal. Justeru, kehadiran Vios 2016 dengan penjana kuasa dan transmisi baharu, serta dengan adanya VSC, pastinya ia akan membantu daripada segi penjualannya. Bagi anda yang tidak kisah dengan prestasi yang agresif, Vios 2016 ini memang patut diletakkan dalam senarai pilihan.

Untuk mengetahui perincian lebih lanjut mengenai spesifikasi setiap variannya, sila layari carbase.my.

GALERI: Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo

GALERI: Toyota Vios 1.5GX 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required