Skim pembeli kereta kali pertama dalam bajet 2017 – tiada duti eksais untuk kereta pemasangan tempatan

Perodua_Axia_Bezza-3

Ini adalah sesuatu yang pasti memberi kesan terhadap industri automotif dan sudah tentu menggembirakan mereka yang ingin membeli kereta buat kali pertama. Menurut laporan oleh Sin Chew Daily, Bajet 2017 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan memasukkan perlepasan cukai terhadap pembeli kereta kali pertama.

Akhbar harian berbahasa Cina tersebut melaporkan bahawa skim ini adalah untuk generasi muda dalam lingkungan umur tertentu, tetapi tidak terhad kepada pembelian kereta jenama Proton dan Perodua sahaja – kenderaan jenama luar yang dipasang di Malaysia (CKD) juga termasuk dalam skim ini.

Sumber yang tidak dinamakan dalam laporan tersebut memberitahu bahawa pihak kastam akan menamakan model kenderaan yang akan terlibat dalam skim ini, bersama kapasiti enjin. Walaubagaimanapun, dengan beberapa kenderaan mewah dan prestasi yang semakin banyak menggunakan enjin berkapasiti kecil (tetapi dengan pengecas turbo), ‘had kapasiti’ boleh ditembusi dengan kereta antaranya seperti BMW 318i (1.5L), Mercedes-Benz C180 (1.6L), Volkswagen Jetta (1.4L) dan Peugeot 208 GTi (1.6L). Sudah pasti akan ada lebih banyak tapisan dalam senarai akhir skim ini.

Laporan tersebut turut menambah bahawa skim ini akan meratakan cukai bagi semua kenderaan pemasangan tempatan, tidak kira sama ada jenama tempatan atau luar. Pada masa ini, semua kenderaan CBU dan CKD dikenakan duti eksais pada tahap berbeza – import CBU, CKD jenama luar dan buatan tempatan. Skim ini bagaimanapun tidak akan memberi manfaat kepada kenderaan import CBU.

Sekiranya skim ini menjadi kenyataan, pengeluar dan pembeli akan lebih senang hati dan keadaan pasaran yang lemah sekarang akan menerima rangsangan buat sementara, tetapi pakar memberi amaran ia akan mencipta penyelewengan pasaran. Jika tidak dilaksanakan dengan baik, ia juga akan menambah hutang isi rumah rakyat, yang mana sudah berada pada tahap antara yang tertinggi di rantau ini.

Juga, ledakan sementara seperti ini boleh memberi kesan kepada permintaan masa hadapan kenderaan. Pasaran Thailand sebagai contoh, menguncup secara teruk selepas skim untuk pembeli kali pertama ini tamat pada Disember 2012. Ia dimulakan pada September 2011. Kerajaan Thailand memberi pulangan cukai 100,000 baht kepada pembeli pertama yang memilih kenderaan buatan tempatan pada harga di bawah satu juta baht, dan enjin tidak lebih daripada 1.5 liter.

Driven_Web_Series_2014_Honda_City_vs_Toyota_Vios_vs_Nissan_Almera_003

Ini juga bukan pertama kali kita mendengar tentang “skim kereta pertama”. Pada tahun 2014, menteri belia dan sukan, hairy Jamaluddin mencadangkan “Skim Kereta Pertama Belia”, di mana anak muda yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan boleh membeli kenderaan pertama mereka (kereta pemasangan tempatan) tanpa cukai.

Di sini, kami melakukan kira-kira penjimatan yang boleh didapati melalui skim ini untuk pembeli kenderaan kali pertama dari aspek bayaran bulanan, berdasarkan bayaran muka biasa sebanyak 10% dan kadar faedah 3.5% untuk tempoh tujuh tahun.

Kita membayar tiga jenis cukai berbeza pada kenderaan – duti import, duti eksais dan GST. Harga di bawah adalah antara di Semenanjung Malaysia dan Langkawi (bebas cukai) untuk beberapa model kenderaan jenama tempatan dan luar (varian asas dan paling tinggi ditunjukkan). Untuk Perodua, ia adalah harga Sabah/Sarawak berbanding harga bebas cukai di Labuan memandangkan kami tidak mempunyai harga P2 Langkawi.

Dalam keadaan paling sesuai ini, yang membatalkan semua tiga cukai yang ada (versi laporan terkini membuang hanya duti eksais), penjimatan bulanan boleh menjadi antara RM22 hingga RM253. Sudah tentu, penjimatan cukai untuk Honda dan Toyota CKD adalah lebih tinggi daripada untuk Perodua dan juga Proton.

first-time-car-buyers-incentive-malaysia-850x281bm

Jadi, adakah langkah ini betul-betul akan memberi kebaikan kepada semua? Juga pernah dilaporkan bahawa langkah sama yang diambil oleh kerajaan Thai telah mengorbankan pendapatan dari cukai sebanyak USD2.5 bilion (RM10.48 bilion), menurut anggaran oleh Bank Dunia.

Ia juga mengakibatkan lebih 100,000 pelanggan yang masih berhutang bergelut dengan pinjaman yang diberikan kerana mereka tidak mampu untuk membeli kenderaan baru di bawah keadaan normal. Sudah tentu, memiliki kenderaan bukan setakat memerlukan bayaran bulanan, malah juga melibatkan kos lain seperti insurans, minyak dan bayaran meletakkan kenderaan. Itupun hanyalah sebahagian daripadanya.

Keadaan mungkin akan menjadi hampir sama atau lebih teruk jika skim ini diperkenalkan di Malaysia. Seperti yang ditunjukkan, kita tidak mahu menambahkan hutang (hutang isi rumah adalah berjumlah RM1.03 trilion atau 89.1% daripada GDP dan semakin bertambah) dan memberikan “alasan” kepada mereka yang baru sahaja keluar daripada universiti untuk membeli kenderaan baru mungkin akan memberi kesan buruk kepada keadaan kewangan mereka. Dengan wang simpanan berkurang sebanyak RM1,000 setiap bulan, mereka juga akan semakin sukar untuk memiliki rumah yang harganya juga semakin mahal dan tidak masuk akal.

Juga, harga kenderaan yang lebih rendah juga tidak bermakna orang muda akan mempunyai duit lebih. Besar kemungkinan ramai yang akan mengambil kesempatan untuk menggunakan bajet yang ada untuk kenderaan yang lebih besar dan mahal (contohnya, daripada memilih Myvi, mereka akan pergi kepada Jazz). Jadi persoalannya, adakah skim pembeli kali pertama ini akan membawa manfaat kepada pasaran yang disasarkan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • iswanmorazaakmal bin nordin on Mar 31, 2017 at 1:29 pm

    untuk generasi umur dalam lingkungan tertentu..saya kurang faham..bagi satu angka yg boleh faham.contoh 20 hingga 40..kalau sy yg berumur 37,baru pertama kali beli kereta baru..bagaimana…cuba jelaskan

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required