Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC baharu vs 2.5L DI-D – berapa tahap lebih ekonomikal enjin diesel baharu ini?

mitsubishi_triton_fueltest_52

Awal bulan lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan trak pikap Triton VGT versi dipertingkat dengan enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel baharu, yang didakwa menawarkan penggunaan bahan api yang lebih baik berbanding enjin 2.5 liter DI-D terdahulu. Persoalannya, secara tepat, berapa peratuskah enjin baharu ini lebih ekonomi berbanding enjin terdahulu?

Sebelum pelancaran model baharu berkenaan, MMM telah berhubung dengan paultan.org untuk menguji dan mengesahkan penggunaan bahan api dengan membuat perbandingan terus terhadap model terdahulu. Menggunakan enjin 2.5 liter lama sebagai kayu ukur, kami akan menguji berapa tahap ekonomikal sebenar enjin 2.4 liter MIVEC ini.

Sebelum itu, ingin kami nyatakan, kami telah menguji model ini sebelum ianya dilancarkan, tetapi model yang kami terima untuk diuji belum lengkap sebagai model akhir seperti model yang dilancarkan sebagai model Triton VGT Adventure X seperti yang dipaparkan ini. Oleh itu, penggambaran hanya dilakukan setelah kami mendapatkan model yang sebenar, sama dalam pasaran.

mitsubishi_triton_fueltest_48

Untuk mendapatkan lebih kepastian, kami melakukan ujian sekali lagi dengan model sebenar ini, untuk memastikan aksesori-aksesori pada badan varian Adventure X seperti pelindung tambahan pada bampar hadapan, bar sports lengkap dengan full box pada bahagian belakang tidak menjejaskan penggunaan bahan apinya. Jelas, hasil ujian kedua kami ini adalah hampir sama dengan hasil ujian pertama kami.

Pada ujian berkenaan, untuk tahap ketepatan dan konsisten terbaik, kami memilih dua varian paling tinggi dalam barisan model iaitu 2.4 liter MIVEC Triton VGT Adventure X dan model 2.5 liter DI-D Triton Phantom Edition. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan aksesori lengkap untuk Triton, meminimakan beza berat antara kedua-duanya.

Kedua-dua trak pikap ini disediakan dalam keadaan yang sama: kedua-duanya dikosongkan tangki bahan api(hampir kepada kosong sepenuhnya yang kami berani), dan tekanan angin tayar kedua-duanya diisi pada tahap yang disarankan pengeluar. Mana-mana muatan berlebihan juga dikeluarkan. Akhir sekali, pemandu kedua juga membawa berat tambahan untuk menyamai purata berat seorang lagi penguji (Hafriz Shah).

mitsubishi_triton_fueltest_02

Untuk tujuan menjaga tahap konsisten, setiap trak pikap ini diisi dengan diesel Euro 5 menggunakan kaedah tiga-klik (tunggu sehingga nozel pam berhenti secara automatik, ulang sebanyak tiga kali dengan sela masa antaranya selama 10 saat) di stesen minyak yang sama. Meter perjalanan kedua-duanya dikosongkan di pam minyak berkenaan.

Laluan ujian sepanjang 400 km yang dirancang ke Melaka dan kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur melalui kombinasi jalan lebuhraya, jalan berliku dan juga mengharungi trafik bandar untuk memberikan simulasi sebenar pemanduan dalam situasi bercampur-campur. Untuk melengkapkan jarak yang dimahukan, kebanyakkan pemanduan adalah pada laluan lebuhraya bertol.

Kedua-dua nya dipandu dengan jarak yang baik antara satu sama lain (untuk mengelakkan kesan “drafting“), dalam konvoi yang longgar, dan bertukar kedudukan setiap 100 km. Larasan penghawa dingin (kedua-duanya dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dua zon) kami juga melaras suhu yang sama pada kedua-duanya, begitu juga tahap kelajuan kipasnya.

mitsubishi_triton_fueltest_06

Untuk memastikan ujian ini hampir dengan “dunia sebenar”, kedua-dua pemandu memandu mengikut aliran dan kelajuan dalam trafik biasa. Kelajuan dikekalkan mengikut halaju yang ditetapkan di lebuhraya, dengan menggunakan cruise control pada kedua-dua kenderaan. Kedua-dua pemandu turut bertukar posisi (beserta berat tambahan) pada pertengahan perjalanan untuk menyisihkan faktor gaya pemanduan yang berlainan.

Pada akhir ujian ini, dan tiba semula di stesen minyak tempat kami bermula tadi, kedua-dua Triton mencatatkan jarak di meter perjalanan yang sama iaitu 401.1 km. Kedua-dua trak berkenaan diisi semula dengan bahan api menggunakan kaedah yang sama seperti mula-mula tadi (menggunakan kaedah tiga-klik yang sama, di stesen minyak yang sama) untuk melihat jumlah sebenar diesel yang digunakan.

Hasilnya seperti berikut: Triton yang dijana enjin 2.4 liter MIVEC menggunakan diesel Euro 5 sebanyak 24.760 liter, manakala Triton yang dikuasakan dengan enjin 2.5 liter DI-D menggunakan 28.445 liter diesel Euro 5. Angka berkenaan bersamaan 16.2 km untuk setiap liter (6.17 liter untuk setiap 100 km) bagi Triton MIVEC baharu, dan 14.1 km/l (7.09 l/km) untuk Triton DI-D lama.

mitsubishi-triton-fuel-test_bm

Jelas, enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel pada Mitsubishi Triton baharu ini adalah 15% lebih cekap bahan api berbanding Triton dengan enjin 2.5 liter DI-D sebelum ini (menggunakan angka yang dicapai oleh Triton lama sebagai asas). Ini juga merupakan jawapan dari persoalan yang ditimbulkan tadi.

Beza antara kedua-dua enjin ini bukan sahaja sekadar penggunaan bahan api. Semasa ujian ini dijalankan, enjin 2.4 liter (2,442 cc) MIVEC Turbodiesel berkenaan sentiasa memberikan tindak balas yang responsif pada pedal pendikit (turbo lag kurang) dan apa yang lebih penting, ia jauh lebih senyap pada semua kelajuan berbanding enjin lama 2.5 liter (2,477 cc).

Kelebihan prestasi berbanding model lama juga dirasakan jauh lebih jelas ketika memandu kedua-dua trak pikap ini berbanding apa yang dipetik pada angka kuasa rasmi iaitu: 181 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2500 rpm untuk enjin baru, berbanding 178 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm untuk enjin lama.

mitsubishi_triton_fueltest_47

Semua ini, dan juga ekonomi penggunaan bahan api yang meningkat sebanyak 15%, merupakan prestasi yang mengkagumkan diberikan oleh enjin MIVEC Turbodiesel ini. Blok enjin ini juga dibina dari aluminium (pertama dalam kelasnya) yang 30 kg lebih ringan dari blok logam tuang pada enjin sebelum ini, selain sistem rantai pemasaan (timing chain) yang menggantikan sistem tali pemasaan (timing belt) pada enjin lama.

Sistem pemasaan injap bervariasi Mitsubishi Innovative Valve Timing Eletronic Control (MIVEC) – sebelum ini hanya hadir pada enjin petrol – telah membawa Mitsubishi Triton lebih hampir pada kelompok hadapan trak pikap dalam pasaran Malaysia. Ia merupakan langkah kehadapan yang jelas jika pakej unit janakuasa diambil kira.

Jadi, apa pula pendapat anda berkenaan hasil ujian kami ini? Untuk mereka yang lebih gemar menonton berbanding membaca, versi video ujian ini juga akan kami siarkan tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required