GALERI: Audi A4 B9 kini vs generasi sebelumnya, B8

audia4_b8vsb9-9-bm

Audi A4 generasi kelima akhirnya dilancarkan di Malaysia bulan lepas dan ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 2.0 TFSI (versi 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI akan tiba pada bulan Januari 2017). Harga pasaran bagi A4 B9 yang diimport CBU ini adalah RM248,900 (atas jalan tanpa insurans), tetapi Audi Malaysia memberikan promosi bagi mereka yang membuat pembelian awal, dengan harga RM239,900.

A4 2.0 TFSI dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan 190 hp dan 320 Nm tork pada takat rpm 1,450 hingga 4,200. Kotak gear S Tronic tujuh kelajuan dengan klac berkembar menghantar kuasa ini ke dua tayar hadapan dan untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, ia mengambil masa 7.3 saat manakala kelajuan maksimum pula adalah 240 km/j.

Itu adalah jumlah kuasa yang bagus, tetapi bagi mereka yang mahukan lebih lagi, versi 2.0 TFSI quattro (pacuan semua roda) yang akan datang nanti boleh memuaskan dengan jumlah kuasa sebanyak 252 hp dan 370 Nm tork, dari takat rpm 1,600 hingga 4,500 rpm, dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat. Ini adalah jawapan Audi untuk bersaing dengan BMW 320i (252 hp, 350 Nm, 5.8 saat) dan Mercedes-Benz C 300 (245 hp, 370 Nm, 5.9 saat).

audia4_b8vsb9-10-bm

Sementara itu, Audi A4 B8 1.8 TFSI (model generasi sebelum ini) yang kami tampilkan ini pula dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo dengan kuasa 170 hp dan 320 Nm tork daripada 1,400 hingga 3,700 rpm, dan dipadankan dengan kotak gear CVT Multitronic. Unit automatik ini telah digantikan dengan kotak gear automatik klac berkembar pada model B9, kecuali pada model 3.0 TDI diesel yang mendapat kotak gear automatik Tiprtonic lapan kelajuan bagi berhadapan dengan tork yang lebih tinggi.

Perbezaan dua model ini mungkin tidak berapa jelas bagi sesetengah orang, tetapi sebenarnya A4 B9 baru ini bukan sekadar facelift bagi B8, tetapi adalah sebuah model serba baru – setiap panel badan adalah baru dan terdapat platform Modularer Längsbaukasten yang diperbaiki di sebaliknya. Platform MLB Evo yang digunakan ini adalah untuk model berenjin hadapan menegak, dan ia turut digunakan pada model Audi Q7 sekarang. Bergantung pada varian, penggunaan platform ini boleh menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 110 kg.

Galeri sebelah-menyebelah model lama dan baru berwarna kelabu ini (kedua-duanya tanpa pakej S Line) boleh menjelaskan lagi perbezaan dan menyangkal persepsi facelift padanya. Audi A4 B9 lebih tajam dan besar (25 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar) berbanding sedan yang diganti, dengan 12 mm daripada panjang tambahan tersebut boleh didapati pada jarak roda yang kini menjadi 2,820 mm. A4 B9 juga lebih besar berbanding saingannya daripada BMW dan Mercedes-Benz. Kelihatan terlalu biasa? Ini pula bagaimana ia kelihatan dengan kit S Line, rim 17 inci dan warna yang lebih terang.

Saiz tambahan ini memberikan kelebihan pada bahagian dalam, yang lebih luas berbanding F30 dan W205. Namun, lebih menarik adalah rekaan papan pemukanya yang lebih bergaya dan minimal. Ini adalah satu perubahan yang besar berbanding kokpit B8 sebelumnya, yang mempunyai butang berwarna merah dan bersepah. Turut kelihatan adalah kualiti bahan yang baik.

Sementara anda melayari galeri ini, ambil perhatian bahawa A4 B8 yang kami tampilkan ini adalah model penghabisan yang dilengkap dengan naik taraf berjumlah RM38,000. Ini termasuklah pakej teknologi yang merangkumi lampu adaptif, kamera belakang, sistem bunyi Bang & Olufsen, MMI Navigation Plus, Comfort Key dan rim aloi Audi Sport 18 inci (satu inci lebih besar berbanding model asas).

Untuk lebih lagi berkenaan Audi A4, lihat laporan pelancaran dan spesifikasinya di CarBase.my.

GALERI: Audi A4 B9

GALERI: Audi A4 B8

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required