Pemilik kenderaan jenis SUV saiz sederhana kini mempunyai pilihan tayar baru apabila Goodyear melancarkan Wrangler TripleMax di Malaysia. Tayar ini ditawarkan bermula dari saiz 16 inci hingga 18 inci manakala harga pula terletak dalam lingkungan antara RM443.72 hingga RM675.22, bergantung pada saiz.
Wrangler TripleMax mensasarkan kecemerlangan dalam tiga aspek utama: prestasi brek, keadaan jalan basah dan daya tahan melawan bahaya atas jalan. Bagi aspek pertama, teknologi Hydrogrip yang diguna melibatkan rekaan bunga gabungan bahagian yang besar dan lebih banyak bucu yang boleh mencengkam jalan.
Tekanan pula boleh disebarkan kepada bahagian bunga yang utama melalui adanya permukaan bunga yang lebar dan rongga yang dioptimakan dengan bunga lima garis sepadan. Campuran polimer yang diperelok pula memberikan cengkaman lebih baik dan jarak membrek lebih pendek semasa jalan basah.
Wrangler TripleMax sepatutnya bersesuaian dengan keadaan jalan Malaysia kerana ia juga menggabungkan beberapa ciri ketahanan lain. Bahagian dinding yang dibina dengan dua lapisan menawarkan lebih ketahanan terhadap sebarang penembusan sementara bahagian dalamnya pula lebih teguh mempunyai jalinan dawai yang diperkuat, seterusnya dapat bertahan dengan impak apabila melalui bonggol ataupun lubang di atas jalan.
Pada bahagian tepi pula, Wrangler TripleMax dilengkapi dengan pelindung bibir rim dan di bahagian permukaan utamanya, ia turut diperkuat dengan dua lapisan jalinan dawai besi ultra high tensile dan fabrik.
Walaupun Goodyear Wrangler TripleMax ditawarkan sehingga saiz 18 inci sahaja, pemilik SUV yang mempunyai rim 19 inci masih mempunyai peluang kerana menurut wakil Goodyear, saiz yang lebih besar akan diperkenalkan kemudian sekiranya permintaan semakin menaik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.