baic-ev200-002

Kenderaan elektrik (EV) pertama buatan Malaysia dijangka akan diperkenalkan pada bulan hadapan, iaitu di Malaysia Autoshow yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 November ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Mines. Difahamkan EV ini adalah hasil kerjasama antara Beijing Auto International Corporation (BAIC) dan syarikat Malaysia iaitu Amber Dual. Model EV pemasangan tempatan ini adalah sedan yang dibangunkan berdasarkan model hatchback sedia ada BAIC EV200.

Buat setakat ini, nama rasminya masih belum diumumkan, namun sedan EV ini dijangka mampu dipacu sejauh 200 km dalam pengecasan penuh. Perinciannya juga belum didedahkan, namun jika ia dibangunkan berdasarkan BAIC EV200, kemungkinan besar spesifikasi teknikalnya tidak jauh beza dengan model tersebut.

BAIC EV200 kelihatan lebih kurang sama dengan Mercedes-Benz B-Class generasi pertama, apabila kedua-dua syarikat terbabit saling bekerjasama di China. Bagi EV200 (model EV150/EV160 turut ditawarkan di pasaran domestik), hatchback ini memiliki kuasa 72 hp dan 180 Nm, dengan motor elektrik yang dipadankan bersama bateri lithium ion 30.4 kWh. Hatchback sepanjang 4,025 mm dan seberat 1,295 kg ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 125 km/j dan berkeupayaan dipacu dari 0-80 km/j dalam hanya 9.7 saat.

baic-ev200-003

Tahun lalu, pernah dilaporkan BAIC mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran EV bagi rantau Asia, dengan kilang pemasangannya di Gurun, Kedah dan mula beroperasi pada September atau Oktober tahun ini. Jika ia mengikut pelan asal, mungkin model produksi pertamanya akan diperkenalkan pada November ini.

Kilang pemasangan di Gurun disasarkan mampu mengeluarkan kapasiti sebanyak 20,000 unit setahun, dan dikatakan telah bersedia untuk memproduksikan model ini bagi pasaran domestik, serta mungkin akan dieksport pada masa yang akan datang, bergantung pada permit.

Malaysia Autoshow terbuka untuk semua peminat industri automotif dengan bayaran masuk sebanyak RM10 (dewasa, dan bagi pelajar pula hanya perlu menunjukkan kad pelajar untuk kemasukan secara percuma pada 10 dan 11 November ini.

GALERI: BAIC EV200