Mazda kembali mewarnai pertunjukan Specialty Equipment Marketing Association (SEMA) bagi tahun ini dengan menampilkan dua modelnya iaitu MX-5 Speedster Evolution dan MX-5 RF Kuro.
Memanglah bunyinya kedengaran seperti model yang sama dibawa oleh Mazda ke SEMA tahun lalu, namun ‘sama tidak semestinya serupa’. Kali ini Mazda bakal mempamerkan model MX-5 dengan pertambahan nama “Evolution”, dan terdapat sedikit perubahan. Paling ketara ialah warna White Ether berbanding sebelum ini Blue Ether.
Bukan itu sahaja, Speedster Evolution juga telah disingkirkan berat sebanyak 45 kg berbanding model konsep tahun lalu, kini menjadi 898 kg, di mana Mazda juga berkata ia adalah 159 jg lebih ringan berbanding MX-5 soft top.
Ia turut menampilkan roda baharu bagi menggantikan RAYS 57 Extreme Gram Lights bersaiz 16-inci. Selebihnya, tiada lagi perubahan yang dilakukan, masih kekal sama seperti terdahulu, termasuk rekaan kereta sport open-top era 50an dan ketinggian yang direndahkan.
Selain Speedster Evolution, Mazda juga akan mempamerkan model konsep MX-5 RF Kuro, yang dibina berdasarkan MX-5 targa-roof dua-tempat duduk. Seperti Speedster, ia juga ditampilkan dengan kekemasan luaran kustom semi-matte matallic yang digelar sebagai “Kuro”, bermaksud “arang” dalam bahasa Jepun.
MX-5 RF Kuro ini turut menerima suspensi yang dilaraskan daripada model MX-5 Cup, ditampilkan bersama roda RAYS 17-inci dan tayar BFGoodrich Rival G-Force 215/45. Kedua-dua model konsep ini direka dan dibangunkan oleh pasukan Rekaan Mazda di Irvine, California bagi mencipta pengalaman “Mazda Premium” di samping mengetengahkan kelebihan prestasi Mazda sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.