Mercedes-Benz G-Class facelift dilancarkan di M’sia – Mercedes-AMG G63 Edition 463, RM1,181,888

mercedes-amg-g-63-1

Ikon penuh legenda, Mercedes-AMG G-Class versi facelift telah pun dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) untuk pasaran tempatan. Dilahirkan sejak tahun 1979, G-Class ini telah mencipta pelbagai evolusi tersendiri dan berjaya meraih perhatian peminatnya terutamanya penggemar jentera mewah tahan lasak dan penuh adrenalin.

Bagi Mercedes-AMG G 63 facelift ini dijanakan oleh enjin AMG 5.5 liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 571 hp dan tork puncak 760 Nm pada 1,750 rpm hingga 5,250 rpm. Membolehkan SUV lasak ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.4 saat. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik AMG SPEEDSHIFT PLUS 7G-TRONIC dengan pedal penukar gear AMG pada roda stereng serta tiga mod pemanduan dengan karakteristik berbeza bagi kuasa pendikit.

Dengan teknologi talaan AMG, Mercedes-AMG G 63 ini dilengkapi dengan fungsi ECO start/stop sebagai standard bagi memberikan penjimatan bahan api dan emisi.

mercedes-amg-g-63-33

Bagi ketegaran kerangkanya, Mercedes-AMG G 63 diperbuat dengan bingkai jenis-ladder yang menawarkan kemantapan dan kestabilan. Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan prestasi off-road dengan pacuan semua-roda, kotak gear berketepatan rendah dan tiga unit karbeda yang boleh dikunci (differential lock) dipadankan pada sistem pacuan empat roda ini .

Casis AMG turut dilengkapi dengan gegelung lingkaran dan penyerap hentak istimewa bagi menukar kuasa pada enjin menjadi lebih mantap daripada segi pengendalian tanpa berkompromi terutamanya ketika dipacu di laluan off-road. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem brek AMG berprestasi tinggi dan ESP bagi keupayaan pemanduan yang lebih optimum.

Imej yang dipertaruhkan? Hah! Sudah tentu nampak begitu macho dan agresif. Model istimewa EDITION 463 ini turut didatangkan dengan gril radiator AMG twin-lourve, lampu utama Bi-xenon berserta lampu nyalaan siang LED.

mercedes-amg-g-63-6

Profil sisinya juga kelihatan mantap termasuk dengan cermin sisi berkuasa, lencana “V8 BITURBO”, brek kaliper AMG berwarna merah pada bahagian hadapan dan belakang, roda bersaiz 21-inci serta pelbagai pakej luaran keluli tahan karat. Di belakangnya pula, ditampilkan sistem ekzos sport AMG dengan dua corong berkembar krom yang terletak sebelah-menyebelah.

Menjengah bahagian kabinnya, aura agresif juga jelas kelihatan. Ia didatangkan dengan pakej eksklusif termasuk penggunaan material upholstery coklat terang dan kulit nappa hitam. Malahan garisan pada bumbung pula dihiasi dengan material gentian mikro DINAMICA berwarna hitam.

mercedes-amg-g-63-28

Serlahan gayanya juga diserikan dengan kekamasan gentian karbon AMG, selain menampilkan roda stereng pelbagai-fungsi empat-jejari AMG Performance, kluster instrumen MAG dengan paparan pelbagai-fungsi 4.5-inci, panel ambang pintu AMG dengan keluli tahan karat, serta tuil gera AMG dengan logo AMG.

BUkan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan pencahayaan ambien, bumbung matahari berkuasa, soket 12V di bahagian depan, tengah dan ruang penyimpanan barangan, pemadam api, serta kunci elektronik dengan logo AMG.

Dengan harga atas jalan RM1,181,888 (tidak termasuk insurans), SUV tahan lasak ini juga hadir dengan waranti 2+2 tahun tanpa perbatuan terhad. Mercedes-AMG G 63 ini turut ditawarkan dengan pakej warna baharu termasuk solar beam, tomato red, alien green, sunset beam dan galactic beam.

Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai Mercedes-AMG G 63 ini, sila layari Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required