Volkswagen Atlas muncul – SUV MQB 7 tempat duduk

2018-volkswagen-atlas-4-e1477621983617-850x447-bm

Volkswagen akhirnya menunjukkan secara rasmi kenderaan tujuh tempat duduk barunya, Atlas. Ia adalah sebuah model penting bagi pasaran Amerika Syarikat, di mana satu per sepuluh kenderaan baru yang didaftarkan di negara itu pada tahun 2015 adalah jenis SUV saiz sederhana. Model baru ini terletak di antara Tiguan dan Touareg, dan didakwa “dibangunkan khas untuk keperluan orang Amerika.”

Tidak salah jika anda ingin mengatakan ia kelihatan seperti model CrossBlue Concept yang pernah muncul pada tahun 2013. Memang ia mempunyai rupa yang sama dengan kenderaan konsep tersebut, tetapi mempunyai sedikit perubahan. Antaranya, bahagian depan kini mempunyai gril inspirasi dari Amarok dan di sampingnya terdapat lampu utama LED dan DRL.

Bawah padanya terdapat rekaan baru bagi menempatkan sepasang lampu kabus bersama skid plate berwarna kelabu. Cermin ketiga berhampiran tiang D-pillar pula mempunyai lebih lekuk. Garis badan yang bermula dari hadapan hingga ke lengkuk roda pula dibawa daripada model konsep tersebut.

2018-volkswagen-atlas-5-e1477624712339-850x436-bm

Pada bahagian belakang, lampunya boleh dipilih untuk menggunakan LED, dan telah direka semula untuk memasukkan plet krom yang terdapat nama SUV tersebut. Muncung ekzos berkembar padanya juga diserlahkan lagi dengan warna kelabu, di dalam bampar berwarna hitam.

Walaupun kelihatan seperti salinan terus CrossBlue, Atlas sebenarnya lebih panjang dan tinggi berbanding model konsep tersebut. Ia berukuran 5,037 mm panjang (+51 mm) dan 1,768 mm tinggi (+36 mm). Walaubagaimanapun, lebarnya hanya 1,979 mm (-35 mm). Badan ini terletak di atas platform MQB sama seperti yang digunakan pada Golf.

Pada bahagian dalam, Atlas mempunyai tujuh tempat duduk – lebih satu daripada model konsep CrossBlue. Menurut Volkswagen, tempat duduk inovatif yang terdapat pada Atlas memberikan akses yang mudah kepada tempat duduk barisan ketiga, serta beberapa konfigurasi, sehingga boleh memuatkan sebuah kanu.

Papan pemuka dua tona yang diguna sama seperti CrossBlue, dan menampilkan Volkswagen Active Info Display (juga dipanggil sebagai Volkswagen Digital Cockpit di AS). Selain itu, terdapat juga sistem informasi dan hiburan Volkswagen Car-Net yang menawarkan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Apple CarPlay, Android Auto, atau MirrorLink. Sistem ini dipadankan dengan sistem bunyi Fender Premium yang mempunyai 12 pembesar suara dan amplifier 480-watt.

Dibandingkan lagi dengan CrossBlue, Atlas mendapat stereng dan tombol gear daripada Golf Mk7, manakala butang kawalan pendingin hawa pula tidak begitu moden. Panel pintu bahagian dalam juga ditukar dengan yang mempunyai pemegang lebih biasa dan tempat melaras cermin sisi turut diubah.

Menggerakkan Atlas adalah pilihan dua enjin – empat silinder 2.0 liter TSI turbo berkuasa 238 PS dan 3.6 liter VR6 dengan 280 PS. Kedua-dua enjin dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan yang menghantar kuasa ke dua tayar hadapan atau melalui sistem pacuan 4Motion untuk pacuan empat roda. Atlas 4Motion dilengkapi dengan pilihan mod pemanduan yang boleh disesuaikan dengan keadaan jalan.

Pada aspek keselamatan, Atlas (bergantung kepada varian) dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking (Front Assist), Blind Spot Monitor dengan Rear Traffic Alert, Lane Departure Warning (Lane Assist), serta Parking Steering Assistant (Park Assist).

Volkswagen juga mendakwa Atlas adalah satu-satunya kenderaan di dalam kelasnya yang ada menawarkan Automatic Post-Collision Braking System. Melalui sistem ini, jika kenderaan terlibat dalam kemalangan, kelajuan kenderaan akan dikurangkan selepas impak pertama, seterusnya mengurangkan lagi risiko untuk impak seterusnya.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Atlas akan dibuat di kilang Volkswagen di Chattanooga, Tennessee untuk pasaran Amerika Utara, bersama Passat. Menjelang penghujung tahun 2017, SUV tujuh tempat duduk itu kemudiannya akan dipasarkan pula di Russia dan Timur Tengah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required