Volkswagen Passat B8 dipertonton awal sebelum pelancaran – pilihan enjin 1.8L dan 2.0L TSI, tiga varian

volkswagen_passat_b8_ext-2-bm

Ini adalah Volkswagen Passat B8, yang akan dilancarkan dijangka dalam bulan ini. Ia adalah penawaran terbaru segmen D oleh jenama dari Jerman ini dan merupakan pengganti bagi Passat B7 yang sudah dijual di Malaysia sejak tahun 2011 dan kemudiannya dipasang di Pekan, Pahang (CKD) pada tahun 2012. Bagi model baru yang telah memenangi anugerah kereta terbaik Eropah 2015 ini juga, ia akan dipasang di Malaysia (CKD).

Passat B8 (generasi kelapan) menggunakan platform MQB dan berukuran 4,767 mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456 tinggi. Ini bersamaan dengan 2 mm lebih pendek, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7. Kesan daripada kedudukan yang lebih lebar dan bumbung yang rendah ini juga ditingkatkan lagi dengan ‘muka’ yang lebar, dengan terdapat garisan krom yang menyambungkan kedua-dua belah lampu hadapan.

Walaupun badan lebih pendek, jarak roda Passat B8 dipanjangkan sebanyak 79 mm, menjadi 2,791 mm dan ini menghasilkan bahagian dalam yang lebih luas. Turut menerima kesan adalah bahagian simpanan barang (but) yang meningkat sebanyak 21 liter, menjadi 586 liter dan berat yang berkurangan sehingga 90 kg hasil daripada penggunaan bahan serba ringan diperkuat pada badan dan enjinnya.

volkswagen_passat_b8_ext-6-bm

Secara keseluruhannya, dua pilihan enjin TSI turbo dengan teknologi BlueMotion disediakan bagi Passat B8 dan ia didatangkan dalam tiga varian. Paling bawah adalah 1.8 TSI Trendline, yang dikuasakan oleh enjin 1.8 TSI turbo dan padanan transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 180 PS dan 250 Nm tork. Apabila dibandingkan dengan enjin 1.8L TSI pada Passat B7, ia mempunyai 20 PS lebih kuasa. Ini kemudiannya diikuti oleh varian 1.8 TSI Comfortline yang menggunakan enjin sama tetapi kelengkapan berbeza.

Gambar yang anda lihat ini adalah varian paling tinggi iaitu 2.0 TSI Highline, yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter TSI berkuasa 220 PS dan 350 Nm tork. Transmisi pula menggunakan unit automatik klac berkembar DSG enam kelajuan.

Jika diperhatikan pada bahagian but kenderaan ini, terdapat lencana ‘308 TSI’ untuk varian 2.0 TSI dan ‘280 TSI’ untuk model 1.8 TSI. Ini adalah merujuk kepada jumlah tork yang dihasilkan oleh model masing-masing, walaupun tidak tepat iaitu 350 Nm untuk model 2.0 dan 250 Nm untuk 1.8. Konsep yang sama digunakan pada model Jetta facelift yang dilancarkan bulan lalu, yang mana boleh dilihat menggunakan lencana ‘280 TSI’ dan mempunyai kuasa 150 PS/ 250 Nm tork hasil daripada enjin 1.4 TSI.

volkswagen_passat_b8_int-1-bm

Bagi Passat 1.8 TSI Trendline, ia didatangkan dengan rim ‘Aragon‘ 16 inci, lampu kabus hadapan dan belakang serta lampu belakang LED. Pada bahagian dalam pula, tempat duduknya mempunyai pelarasan manual dengan bahagian sokongan tulang belakang juga boleh dilaras, skrin sesentuh warna ‘Composition‘ lima inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat dengan pemanas serta pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang.

Varian paling bawah ini juga datang dengan brek tangan elektrik dengan Auto-Hold, sistem pengesan kecergasan Driver Alert System dan lampu/pengelap cermin automatik. Pendingin hawa pula adalah sistem Climatronic tiga zon bersama corong tersendiri di belakang.

Mempunyai semua kelengkapan seperti 1.8 TSI Trendline, varian 1.8 TSI Comfortline pula tampil lebih bergaya dengan rim 17 inci ‘Istanbul’ (tayar ContiPremiumContact 215/55 R17), lampu utama LED sepenuhnya dan lampu siang LED.

Pada bahagian dalam, varian 1.8 TSI Comfortline mempunyai kelengkapan seperti yang boleh dijangka pada sedan segmen D. Antaranya, ia mempunyai sistem tanpa kunci ‘KESSY’, manakala tempat duduk pula dibalut dengan kulit ‘Vienna‘. Tempat duduknya mempunyai 12 arah pelarasan bersama sistem memori dan urut, dan diperlengkap dengan sistem audio skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur.

Peningkatan lain daripada model 1.8 TSI Trendline adalah cruise control dengan pengehad kelajuan, pedal penukar gear di stereng, but berkuasa elektrik (boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah kereta) dan kemasan krom di bahagian papan pemuka.

Varian 2.0 TSI Highline seperti yang anda lihat ini sebenarnya mempunyai lebih banyak kelengkapan tetapi dari luar, perkara yang membezakannya dengan varian 1.8 hanyalah rim aloi ‘Dartford‘ 18 inci (tayar ContiSportContact 235/45 R18), kemasan muncung ekzos trapezoid krom dan lencana ‘380 TSI’ yang disebut awal tadi.

Kelebihannya lebih banyak berada di bahagian dalam, yang termasuk penghalang cahaya belakang elektrik, Active Info Display (paparan meter digital seperti Audi Digital Cockpit), lampu suasana, kemasan kayu ‘Carolina‘ (varian lain menggunakan kemasan ‘Silver Diamond’), Lane Assist dan unit media yang lebih maju – Discover skrin sesentuh 6.5 inci dengan MirrorLink dan navigasi.

Casis untuk varian paling berkuasa ini juga mendapat peningkatan, termasuk XDS electronic differential lock (boleh membrek roda sebelah dalam apabila mengambil selekoh dan melawan understeer) seperti model GTI dan Dynamic Chassis Control (DCC) yang memberikan penyerapan aktif serta pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual).

Sehingga masa ini, Volkswagen masih belum dapat mengeluarkan harga bagi Passat B8 baru ini, dan pengarah jenamanya, Roland Ooi memberitahu harganya akan menjadi lebih menarik kerana kereta ini telah menerima status kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mereka juga cuba mengusahakan pakej istimewa untuk pembeli awal.

GALERI: Volkswagen Passat 2.0 TSI Highline

GALERI: Volkswagen Passat 1.8 TSI Comfortline

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required