Ford adalah antara pengeluar yang membawa banyak kenderaan modifikasi ke pameran SEMA 2016 di Las Vegas. Selain Fiesta, F-150 dan Focus, sudah tentu model yang turut berada di sana adalah Mustang. Bagi model Mustang GT4 ini, ia adalah istimewa kerana bukan untuk kegunaan di atas jalan biasa, tetapi khas untuk perlumbaan.
Ia dibangunkan bersama oleh Ford Performance dan Multimatic Motorsports untuk bersaing dalam siri perlumbaan global kenderaan sports termasuk GT4 European Series. Jika dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship, Mustang GT4 ini akan terletak satu kelas dengan kenderaan lumba seperti Porsche 911 RSR, Ferrari 488 GTE dan Aston Martin Vantage. Kereta ini juga mendapat inspirasi daripada Ford Shelby GT350R-C yang memenangi kejuaraan IMSA Continental Tire SportsCar Challenge di Amerika Syarikat bulan lepas.
“Semakin nama mustang terus berkembang dalam pasaran seluruh dunia, begitu juga dengan penglibatannya dalam dunia sukan permotoran. Mustang GT4 ini serba lengkap untuk bersaing dan menawan litar di seluruh dunia, dan kami menjangka ia akan menjadi popular di kalangan pelumba, seperti juga model produksinya,” kata pengarah global Ford Performance, David Pericak.
Enjin yang digunakan pada Mustang GT4 adalah unit 5.2 liter V8 N/A khas untuk perlumbaan dan ditala secara khusus untuk perlumbaan GT4. Enjin ini dibangunkan, diperiksa dan dibina oleh Ford Performance dengan kerjasama Roush Yates Engines.
Transmisi Holinger enam kelajuan kompak serba ringan, lengkap dengan pedal penukar di stereng digunakan untuk penyampaian kuasa dan penukaran gear transmisi ini terbukti pantas, positif dan konsisten dalam perlumbaan. Sistem takungan minyak kering turut digunakan bersama klac plet berkembar dan flywheel ZF.
Pada bahagian casis, Mustang GT4 mempunyai kelengkapan seperti penyerap hentakan Dynamic Suspension Spool Valve (DSSV) dari Multimatic untuk jangkaan lebih mudah, ketepatan, pengulangan dan kawalan kenderaan terbaik. Juga terdapat rear lower control arms yang direka khas untuk spring coil-over serta stabiliser hadapan dan belakang, dari Multimatic. Setiap rimnya menggunakan unit aloi diperkuat serba ringan dari Forgeline, serta cakera dan angkup brek Brembo.
Ciri aerodinamik ditingkatkan dengan pemasangan sayap belakang, pembelah angin hadapan, lubang udara pada hud, diveplane dan diffuser belakang. Di dalam, kenderaan lumba global ini menggunakan roll cage berkelulusan FIA dan pengumpul data MoTeC.
GALERI: Ford Mustang 5.0L GT V8 di Malaysia
GALERI: Ford Mustang 2.3L EcoBoost di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.