Ini adalah antara model yang akan membuatkan penggemar motosikal lasak tersenyum dari pameran EICMA, Milan – CRF250 Rally. Seperti yang boleh dilihat, gayanya diambil daripada model CRF450 yang digunakan dalam perlumbaan rali Dakar, dengan penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah pula menggunakan unit LED.
Di sebalik plastik bahagian badan itu, terdapat enjin 250 cc sama seperti pada model CRF250L, dengan kuasa sebanyak 24.4 hp dan ditambah dengan mod tunggangan untuk menyesuaikan motosikal dengan keadaan jalan. Honda juga memberikan motosikal ini tangki minyak yang lebih besar, iaitu 10.1 liter dan dikatakan boleh membawanya sehingga 321 km.
Selain itu, fork hadapan daripada model CRF250L turut diganti dengan unit Showa 43 mm yang lebih panjang, dan kedudukannya juga bertambah tinggi menjadi 895 mm. Rim pula menjadi lebih besar dengan penggunaan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang bagi menjadikan ia lebih selesa di atas jalan offroad.
Secara keseluruhannya, motosikal ini mempunyai berat 157 kg dan ia disediakan dengan brek ABS, namun boleh ditutup sekiranya mahu. Bagi menjadikan motosikal ini lebih lasak, bahagian bawah enjin dilindungi dengan plet manakala tuil brek dan klac boleh terlipat ke atas sekiranya motosikal jatuh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Bila crf250 rally ini akan masuk pasaran Malaysia? Boleh bagi alamat dealer untuk model ini?