Honda BR-V – SUV tujuh-tempat duduk diprebiu untuk pasaran Malaysia buat pertama kali di MIECC

honda_brv_bm-2

Susulan foto spyshot yang kami terima minggu lalu, Honda nampaknya pasti akan melancarkan SUV tujuh-tempat duduk BR-V kepasaran Malaysia. Pada pembukaan Malaysia Autoshow 2016 hari ini yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Honda Malaysia sudah mula mempamerkan model berkenaan untuk di prebiu bagi pasaran Malaysia.

Honda BR-V merupakan SUV yang dibina dari platform MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio. Ia berdimensi 4,455 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Sebagai perbandingan, SUV ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Walaupun ia merupakan versi crossover dari Mobilio, BR-V diberikan rekaan luarannya yang tersendiri. Muka hadapan BR-V dengan sepasang lampu hadapan (dengan lampu nyalaan siang) lebih bersegi digabungkan dengan rekaan signatur Honda Solid Wing, bampar hadapan yang kelihatan lebih lasak serta penutup enjin dan lampu kabus baharu, membezakan terus rupanya dari Mobilio.

honda_brv_bm-4

Begitu juga pada bahagian belakang, BR-V menerima lampu belakang, pintu tailgate serta bampar yang tidak sama seperti Mobilio. Untuk melengkapkan rupa sebuah SUV, BR-V turut menerima kemasan ala-skid plate pada bampar hadapan dan belakang, rel bumbung, roda aloi bersaiz 16-inci dengan tayar berprofil tinggi serta kelegaan tanah yag dipertingkatkan.

Honda Malaysia hanya mempamerkan bahagian belakang SUV ini sahaja sementera bahagian hadapan kabi ditutup dan semua cermin hadapan diberikan filem penapis yang sangat tebal. Walau bagaimanapun, jika bedasarkan model-model pasaran negara ASEAN lain, bahagian bahagian pemuka BR-V adal seiras dengan Mobilio.

Ia menampilkan roda stereng tiga jejari, pemain audio dua-DIN serta penghawa dingin manual. Tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 60:40 manakala untuk baris ketiga pula ia boleh dilipat dengan nisbah 50:50 bagi memberikan ruang kargo berkapasiti 539 liter (223 liter sekiranya tempat duduk tidak dilipat).

Barisan ketiga tempat duduk BR-V turut diberikan tali pinggan tiga poin, dan menurut Honda ia merupakan tempat duduk barisan terakhir paling selesa dalam kelasnya serta turut menerima liang penghawa dingin untuk kabin belakang.

BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ telah pun menerjah pasaran negara-negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC sama seperti City dan Jazz dengan kuasa 120 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan transmisi Earth Dreams CVT, menyalurkan kuasa hanya ke roda hadapan. Di India, BR-V turut ditawarkan dengan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC dengan kuasa 100 PS dan tork 200 Nm.

Honda BR-V yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

Masih lagi belum diketahui bila tarikh sebenar BR-V akan dilancarkan dan juga harganya untuk pasaran Malaysia. Namun boleh dijangka, ia mungkin tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat kerana sebelum ini Honda Malaysia ada menyatakan mereka hanya akan melancarkan dua model untuk tahun 2016 iaitu Honda Civic generasi kesepuluh dan juga Honda Accord facelift. BR-V juga dijangka dijual pada harga lebih murah dari Honda HR-V.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required