PANDU UJI: Volvo S60 T6 Drive-E – sedan eksekutif ‘nakal’ dengan imej minimalis serta bersahaja

volvos60_ext-4

Volvo S60 generasi kedua diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali ketika Geneva Motor Show 2010. Mengikut jejak model generasi pertama, model ini direka tidak terlalu besar seperti S80 dan 940 mahupun model-model yang kelihatan bosan seperti S70 di mana contoh-contoh berkenaan meninggalkan kesan sehingga jenama dari Sweden ini seakan sinonim dengan imej ‘guru besar pencen’.

Bagi saya, imej yang diberikan pada S60 generasi pertama sudah pun cukup sporty lebih-lebih lagi varian paling tinggi dalam barisan S60 di Malaysia iaitu varian T5 (Volvo Cars Malaysia tidak membawa masuk model paling berkuasa – S60R kepasaran tempatan), dan ia masih lagi sesuai dengan imej seorang pemilik yang berseluar jeans, kemeja-T tanpa kolar serta berkasut sukan.

S60 generasi kedua ini diberikan elemen lebih sporty dan lebih muda oleh Volvo pada rekaannya, khususnya pada bayangan sisi badan yang kelihatan lebih energetik dari sebelum ini. Jika tanpa garisan pintu, bentuk keseluruhan dengan bahagian belakang lebih tinggi dan bahagian depan lebih tirus, model ini lebih mirip seperti sebuah coupe berbanding sedan.

Mula menerjah masuk ke pasaran Malaysia pada April 2011 dengan model versi CBU dalam varian 3.0 liter T6 AWD dan 2.0 liter T5, ia kemudian digantikan dengan model versi CKD dalam varian 2.0 liter turbo T5 dan 1.6 liter turbo T4. Tiada lagi enjin turbo lima silinder seperti pada model 850 T5 atau S60 T5 seperti sebelum ini, di mana enjin-enjin empat silinder pada S60 generasi baharu berkenaan merupakan enjin yang dikaitkan dengan enjin EcoBoost Ford.

volvos60_ext-11

Model facelift kemudiannya mula diperkenalkan untuk peringkat global pada tahun 2013, tetapi hanya hadir di Malaysia pada tahun 2015. Ia diberikan bonet hadapan lebih ‘berotot’, tiada lagi lampu panduan (driving light) yang mengapit gril hadapan dan diganti dengan lampu hadapan serta gril yang lebih panjang. Gril bahagian bawah juga kini bersambung dengan liang kemasukan udara pada bahagian sisi, yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED.

Hanya sedikit perubahan dilakukan pada bahagian belakang, secara spesifiknya rekaan pada kemasan bawah bampar yang diberikan sentuhan sedikit berbeza. Tip ekzos berkembar pada model facelift ini juga diberikan kemasan krom yang lebih menyerlah.

Bermula pada Mei tahun ini, tiada lagi model T4 dan T5 untuk pasaran Malaysia, digantikan dengan varian tunggal S60 T6 Drive-E iaitu model yang saya diterima untuk sesi uji pandu kali ini. Ia dijana enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E keluaran Volvo sendiri tanpa ada langsung campur tangan dari Ford. Walaupun varian ini berada lebih tinggi dari dua varian terdahulu, rupa luaran model ini kekal tenang dan sopan tanpa apa-apa perubahan seperti kit badan menyeluruh dan sebagainya.

Cuma, untuk unit yang saya terima ini, ia diberikan aksesori opsyenal yang terdiri dari spoiler but ringkas dan juga diffuser pada bampar belakang dari R-Design. Ia juga menerima rim opsyen ‘Ixion’ berdiameter 18-inci menggantikan rim aloi standard ‘Sadia’ berdiameter 17-inci. Kesemua rim berkenaan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 235/40/R18.

volvos60_int-2

Begitu juga ketika masuk bahagian dalaman, ia tidak diberikan kemasan gentian karbon, upholsteri balutan Alcantara mahupun jahitan benang merah. Keseluruhan kabin S60 T6 Drive-E ini diberikan tema warna hitam dengan upholsteri balutan kulit pada tempat duduk, roda stereng serta tuil penukar gear.

Ia turut diberikan kemasan aluminium grafit berkilau pada panel kawalan tengah, kemasan aloi disekeliling liang penghawa dingin dan tidak ketinggalan elemen kayu oak tiruan pada permukaan plastik papan pemuka. Semuanya kelihatan seperti sebuah sedan eksekutif normal.

Sebagai sebuah model facelift, model T6 Drive-E ini diberikan panel kluster instrumen digital bersaiz 8-inci menggantikan panel instrumen dengan meter kelajuan dan takometer analog pada model terdahulu. Tiga tema boleh dipilih oleh pemandu pada instrumen digital ini iaitu Elegence, ECO dan Performance.

Untuk tema Elegence dan ECO, meter utama berfungsi sebagai meter kelajuan manakala panel disebelah kanan diberikan tugas sebagai takometer. Untuk tema ECO pula, tolok suhu pada sebelah kiri meter utama akan berubah kepada meter penunjuk ekonomi penggunaan bahan api, bagi memberikan panduan kepada pemandu kearah pemanduan yang lebih cekap bahan api.

Saya lebih gemar untuk menggunakan tema Performance berbanding dua tema tadi. Menerusi tema ini, kluster berkenaan akan didominasi dengan warna merah. Meter utama akan bertukar menjadi takometer, manakala bacaan kelajuan pula akan diberikan dalam bentuk digit pada bahagian tengah – memudahkan fokus pemanduan di mana hanya satu sudut pandang diperlukan untuk mendapat bacaan rpm enjin dan kelajuan kereta. Panel informasi pada sebelah kanan pula berubah menjadi penunjuk kuasa enjin.

Secara keseluruhan, papan pemuka sedan Scandinavia ini jauh lebih ringkas dari pesaing-pesaing dari Jerman yang rata-ratanya kini gemar menggunakan skrin infotainmen bersaiz gergasi dengan panel kawalan yang agak ‘semak’ pada konsol tengah dan pada roda stereng serta memerlukan pelbagai larasan yang agak rumit.

Skrin infotainmen Sensus Connect High Performance bersaiz 7-inci ditempatkan pada bahagian tengah papan pemuka yang boleh memainkan DVD, MP3 serta turut berperanan sebagai paparan sistem navigasi yang boleh dikawal menggunakan suara. Sistem ini turut menerima hubungan menggunakan Bluetooth, AUX, USB dan iPOD dan dihubungkan kepada lapan pembesar suara.

Suis-suis kawalan audio dan penghawa dingin ditempatkan di bawah liang penghawa dingin tengah. Apa yang menarik, panel terapung (direka nipis dan turut diberikan ruang storan di belakangnya) ini juga menempatkan butang shortcut nyata untuk akses kepada semua fungsi yang boleh dikawal menerusi skrin di bahagian atas, termasuk suis-suis sistem bantuan pemanduan. Menerusi butang-butang nyata ini, anda tidak perlu lagi terkial-kial untuk mencari fungsi-fungsi pada skrin untuk melakukan sebarang larasan.

Ergonomik seperti perabot Ikea tidak terhenti setakat itu. Sebaik sahaja meletakkan siku pada perehat tangan, saya menyedari tangan kiri saya tidak lagi perlu diangkat untuk mencapai dan menggerakkan tuil gear. Tempat duduk belakang sedan ini juga boleh dilipat dengan nisbah pisahan 60:40.

Imej bersahaja pada S60 T6 ini berubah sebaik sahaja ia mula dipandu. Untuk pengetahuan anda, enjin Drive-E 2.0 liter empat silinder ini diberikan suapan supercharger pada paras rpm rendah dan diteruskan dengan paksaan dari pengecas turbo pada tahap rpm tinggi. Hasilnya, enjin ini mampu menghasilkan kuasa yang cukup nakal dan menyamai sebuah jentera berprestasi tinggi sebenar – 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 hingga 4,800 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu dari Aisin, menggantikan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan Powershift dari Ford sebelum ini, menyalurkan kesemua kuasa ke roda hadapan (tiada sistem AWD seperti model T6 CBU terdahulu).

Diatas kertas, gandingan enjin dan kotak gear ini membolehkan S60 T6 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Dalam dunia sebenar, angka-angka ini boleh diterjemahkan sebagai “cukup untuk membuatkan badan anda melekat ke tempat duduk ketika pedal pendikit ditekan sepenuhnya”. Walaupun tanpa alunan irama lima silinder seperti S60 T5 generasi pertama, enjin empat silinder ini tetap memberikan sensasi pemanduan yang tersendiri.

volvos60_ext-33

Jika anda menggunakan mod Sport, kuasa liar sepenuhnya akan dialirkan ke kotak gear dengan penukaran gear pada takat rpm lebih tinggi serta lebih agresif akan diberikan. Dalam situasi tertentu, terutamanya ketika melakukan pecutan agresif bermula dari kedudukan pegun atau kelajuan rendah, torque steer dapat dirasakan pada roda stereng – tipikal untuk sebuah kereta pacuan hadapan berkuasa tinggi.

Oleh sebab itu, untuk pemanduan bandar, mod pemanduan biasa lebih diperlukan bagi memberikan lontaran kuasa yang lebih jinak dan selesa. Karekter enjin ini bagi pemanduan lebuhraya juga agak mengujakan – angka 200 km/j amat mudah untuk dicapai, walaupun pedal pendikit tidak dikerah sepenuhnya.

Selain dari memberikan tukaran sesuai dengan situasi – lancar dan tidak terasa semasa pemanduan santai, agresif ketika diperlukan – nisbah gear pada transmisi lapan kelajuan berkenaan turut diberikan talaan yang cukup baik. Cruising di lebuhraya pada kelajuan 110 km/j hanya memerlukan putaran enjin yang sangat relaks pada takat 1,800 rpm, manakala untuk kelajuan 150 km/j pula hanya pada takat 2,400 rpm.

Dalam brosur rasmi, Volvo menyatakan unit janakuasa Drive-E ini menggunakan 6.7 liter petrol untuk perjalanan sejauh 100 km dalam kitaran campuran. Semasa sesi pandu uji sebenar ini, angka 8 liter/100 km dicatatkan untuk pemanduan lebuhraya dan 13 liter/100 km untuk pemanduan dalam bandar. Satu tangki penuh petrol dengan kapasiti 67.5 liter habis saya gunakan dalam jarak 430 km.

volvos60_ext-10

Kuasa yang besar pada sedan ini hadir dengan suspensi yang agak keras. Ia memberikan karekter yang sporty pada pengendalian S60 ini, dengan daya olengan yang minimal ketika melalui selekoh pada kelajuan tinggi. Dengan bantuan Corner Traction Control dan Torque Vectoring Control mirip sistem pada Ford Focus ST, pengendalian sedan ini juga agak lincah dan tajam pada jalan berliku.

Namun, karekter ini terpaksa mengorbankan sedikit faktor keselesaan. Ketika dipandu pada permukaan jalan yang teruk, getaran pada badan kereta dirasakan agak ketara lebih-lebih lagi unit yang diuji ini menggunakan rim 19-inci dengan tayar berprofil nipis. Tetapi ia tidaklah seteruk seperti memandu sebuah kereta yang diubahsuai dengan suspensi boleh laras. Kualiti material pada kusyen tempat duduk, balutan kulit, serta tahap NVH yang rendah masih lagi memberikan keselesaan sebuah sedan eksekutif mewah.

Jika anda perasan, dari mula artikel ini ditulis, saya langsung tidak menyentuh berkenaan keselamatan tetapi lebih bercerita tentang rekaan dan prestasi bukan? Adakah ini bermaksud Volvo tidak lagi menumpukan aspek yang sememangnya diutamakan sejak dari zaman ‘Volvo kereta kebal’ tersebut terhadap S60 ini?

Tentunya tidak. S60 T6 Drive-E ini dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar dan turut berfungsi sebagai sistem Amaran Lintasan Trafik (CTA) serta Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya.

Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard – mengekalkan ia dengan identiti antara kereta paling selamat dalam pasaran.

S60 T6 Drive-E diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dari kerajaan pada September lalu, dan membolehkan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM238,888 berbanding harga asal RM280,000 sebelum ini. Ia turut dilindungi dengan waranti pengeluar serta bantuan Volvo on Call selama lima tahun.

Sebagai perbandingan, Mercedes-Benz C 250 AMG Line (2.0 liter turbo berkuasa 211 hp/350 Nm) dijual pada harga RM287,888 manakala BMW 330i M Sport (2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm) pula dijual pada harga RM297,800.

Dengan pakej harga yang begitu kompetitif dan prestasi yang agak mengkagumkan, mungkin sekarang masa yang sesuai bagi mereka yang telah jemu dengan teknologi overload dari jentera-jentera buatan Jerman untuk mencuba pula jentera ‘Swedish Metal‘ yang jauh lebih ringkas ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required