Volkswagen Golf Mk7 facelift didedahkan – dapat kelengkapan seperti Passat, pilihan enjin dirombak

vw-golf-30-e1478787572463-850x532-bm

Volkswagen Golf Mk7 yang berada di pasaran sekarang sebenarnya sudah berusia empat tahun dan memang sudah tiba masa untuk ia diberikan pembaharuan. Oleh itu, Volkswagen memperkenalkan model facelift, yang boleh dikatakan menerima agak banyak perubahan.

Rekaan baru yang digunakan, dari depan melihatkan kehadiran lampu siang LED menggantikan unit halogen sebelum ini, manakala pilihan unit Xenon diganti dengan full-LED. Salur udara di bahagian bawah bampar juga direka semula supaya lebih lebar dan radar pengesan bagi kenderaan yang dilengkapi Adaptive Cruise Control (ACC) atau sistem bantuan brek kecemasan automatik kini disembunyikan di dalam lencana VW pada gril hadapan.

Pergi ke bahagian belakang, selain bampar rekaan baru yang lebih tajam, semua model juga akan mendapat lampu LED penuh dan lampu penunjuk arah sequential disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut boleh dilihat adalah kemasan corong ekzos bersegi pada bahagian kiri dan kanan.

vw-golf-23-e1478788247102-850x533-bm

Pada bahagian dalam, Volkswagen sekadar memberikan perubahan yang ringkas, tetapi berjaya menjadikan model facelift ini nampak lebih moden. Panel meternya kini boleh didapati sebagai pilihan tambahan dengan unit Active Info Display seperti pada Passat sementara skrin sistem hiburan pula lebih besar, termasuk yang paling asas adalah berukuran 6.5 inci.

Paling tinggi adalah Discover Pro, yang menerima skrin sesentuh 9.2 inci, sistem paparan seperti sebuah tablet dan butang kawalan utama di sisi. Selain sentuhan, sistem ini juga boleh menerima input pergerakan tangan di udara untuk melayari menu atau menukar lagu.

Bagi sistem sambungan, Golf Mk7 facelift ini boleh dilengkapkan dengan pengecas telefon tanpa wayar dan NFC, serta aplikasi App Connect dengan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto. Juga ditawarkan adalah aplikasi tablet Media Connect yang boleh mengawal pelbagai operasi dalam sistem hiburan.

Menariknya Media Connect ini adalah orang yang berada di hadapan boleh mengawal apa yang dipaparkan pada tablet walaupun ia berada di belakang kerana paparan di dalam tablet itu juga akan terpapar di skrin tengah kenderaan. Juga terdapat sistem Car-Net baru, yang menawarkan pelbagai servis seperti pencarian tempat menarik, Google Earth dan Google Street View, serta sistem keselamatan lain seperti panggilan kecemasan.

Bagi aspek keselamatan, kenderaan baru ini menerima banyak kelengkapan daripada Passat. Fungsi City Emergency Braking yang dinyatakan ada pada sistem Front Assist tadi kini boleh mengesan pejalan kaki, sementara Emergency Assist pula boleh mengesan sekiranya pemandu letih dan memberi amaran bunyi serta visual, sedikit sentakan pada brek untuk mengejutkan pemandu atau jika masih lagi tidak aktif, akan membawa kenderaan berhenti secara selamat di laluannya.

Satu lagi ciri baru adalah Traffic Jam Assist, yang menggunakan fungsi Adaptive Cruise Control dan Lane Assist untuk memusing stereng, membrek dan memecut kenderaan secara automatik dalam trafik yang kerap berhenti dan bergerak. Ini bersamaan dengan sistem pemanduan automatik sehingga kelajuan 60 km/j. Park Assist 3.0 generasi baru yang ada pada kereta ini juga boleh meletakkan kenderaan di dalam kotak sama ada dengan bahagian hadapan masuk dahulu ataupun belakang.

Penawaran enjin juga menerima rombakan, dengan pengenalan unit empat silinder petrol 1.5 liter turbo TSI Evo berkemampuan 150 PS dan dilengkapi Active Cylinder Technology (ACT). Terdapat juga versi Bluemotion berkuasa 130 PS yang kini boleh mematikan operasi secara penuh apabila meluncur hasil daripada sistem bateri baru yang boleh memberi kuasa kepada stereng dan brek tanpa memerlukan kuasa dari enjin.

Bagi enjin 2.0 liter TSI pada GTI, ia diberikan tambahan kuasa menjadi 230 PS (+10 PS) untuk versi standard dan 245 PS (+15 PS) untuk versi Performance. Bagi e-Golf yang menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya, jarak pergerakannya ditambah satu kali ganda lagi menjadi 300 km. Transmisi DSG tujuh kelajuan baru juga akan diperkenalkan secara berperingkat pada model yang masih menggunakan transmisi enam kelajuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required